Rabu, 22 Jun 2016

Rebiu | BOLOS – Isu #3


BOLOS – Isu #3
56ms / A5 / Bahasa Melayu
Norlaila Baizura Simeran kembali mendambakan dirinya sebagai penulis independen dan penerbit zine DIY bilamana gadis asal Sandakan ini melepaskan isu ketiga BOLOS sekitar Disember 2015, lebih tepat pelancarannya pada Kuala Lumpur Zine Fest di Findar’s, Jalan Panggung, KL bertarikh 19/12/2015. Beberapa halaman awal seakan tribute kepada kejadian gempa bumi yang menimpa Negeri Dibawah Bayu tidak lama dahulu, terutamanya kawasan persekitaran Pergunungan Kinabalu. Antaranya termasuklah paparan puisi Kinabalu Sayang, ilustrasi #prayfirsabah oleh Aerick serta penyiaran senikata Story From Our Land dendangan Con-Damn The Corruptor. Memandangkan jumlah mukasurat telah bertambah dan lebih tebal, isu kali ini lebih padat dan penuh dengan perkongsian. Teras utama Bolos #3 di mana mengikut kiraan saya 3/4 daripada keseluruhan pengisian zine ini adalah penulisan bersifat peribadi, anekdot, cerpen dan rencana non-music, antaranya; Catatan 22jam 20minit, Ais Kepal, Seorang Rabun, Kontra Hidup dan Aku (sumbangan Harith) dan Populasi Gelandangan, sekadar menyebut beberapa judul. Tanpa disentuh hal-hal berkaitan muzik sudah tentu zine ini seperti hilang arah. Saya sukakan segmen interbiu yang dibuat bersama Demo Untuk Rakyat (sebuah band rock bebas asal daerah kelahiran editor Bolos) dan Nizang Mosh Zine yang bercerita panjang lebar tentang pembikinan zine serta disentuh sedikit penglibatannya dalam band Dum Dum Tak. Selain interbiu, turut diselitkan seksyen prebiu band menampilkan Roses For Maya (Post-Hardcore dari Sandakan) dalam ruangan Kanta dan GayuGazer (Experimental Post-Rock dari Kota Kinabalu) di bawah ruangan Selongkar Bio. Kandungan lain yang berjaya memikat perhatian saya adalah laporan event di mana saudari Laila melapor acara Bangsat Fest Vol.1 (berlangsung di IBIS Styles Hotel Ballroom, Sandakan pada 26 April 2015) dan satu lagi di mana Laila berkongsi pengalaman serta penemuan beliau terhadap band “pelik” The Venopian Solitude yang pada ketika itu beraksi dalam satu persembahan live sempena tour Rombongan Nona Gila mereka. Dalam Bolos #3, pembaca juga dihidangkan dengan introduksi kepada pelukis Otak Zuber (kelahiran Tawau) dan penceritaan muzik Reggae. Memang isu kali ini lebih ampuh dan memuaskan. Rebiu ini tidak akan memberi makna sekiranya anda sendiri tidak mahu berusaha untuk mendapatkan zine ini. Saya mahu Bolos terus diterbitkan meskipun agak runsing dengan satu tandatanya yang dicatat Laila di helaian-helaian penghabisan isu #3 ini. Mungkin juga kebetulan dengan puisi Tanda Tanya (karya xBonekax), si cantik manis Norlaila tinggalkan persoalan “Mungkin ini adalah last isu keluaran Bolos”. Ayuh Laila! Bangkit! Ini cinta kamu. E-mel: lylaii81@gmail.com.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan