CINTA SI PENGGALI KUBUR – PuisiCore
Tempang Records
Unik dan berkelainan. Ini yang dapat saya ungkapkan ke atas rilisan ini. Saya melihat ia sesuatu yang berbeza seawal cassette tape ini berada di pasaran lagi. Namanya sudah cukup menambat perhatian di mana pada saya Cinta Si Penggali Kubur satu nama yang tak pernah terlintas di fikiran untuk digunapakai oleh sebuah band. Tape ini memuatkan 8 buah lagu + 2 lagu bonus berdurasi keseluruhannya lebihkurang 13 minit [tracklist sama di Side A dan Side B]. Ternyata mereka juga berada di luar kotak dari segi muzik dan persembahan mereka. Kita biasanya mendengar deklamasi sajak diiringi petikan gitar akustik yang menghanyutkan tetapi CSPK melakukannya kontra kepada kelaziman itu. Puisi-puisi mereka diperlaungkan dalam pelbagai ekspresi marah dan rintihan berlatarbelakangkan mainan gitar distorted dan raw (tanpa ketukan dram). Jelas, CSPK hadir dengan idea yang mereka jenamakan sebagai puisicore yang hampir sukar untuk ditemui dari mana-mana band lain. Puisi-puisi yang ditulis juga menarik, puitis dan sebahagiannya sarkastik. Dua lagu bonus adalah percubaan CSPK memasukkan instrumen dram dan berdiri sebagai sebuah band lengkap. Meskipun secara jujur saya lebih menyukai ketulenan idea, daya kreativiti dan sifat-sifat innovasi pada 8 lagu pertama tadi, bonus yang ditampilkan ini tidaklah mengecewakan. Terutamanya lagu terakhir Tok Adi Stone yang bernuansakan Black Doom Metal pada pendengaran saya. Penambahan bunyian kibod menyerlahkan lagi suasana kelam dan suram dalam lagu tersebut. Saya selalu terfikir kalaulah ada band yang boleh mengisi kekosongan satu-satunya band Doom Metal tempatan iaitu MODAR, ia akan sangat baik untuk scene tanahair. Mungkinkah CSPK? Siapa tahu. Kedua-duanya pun dari negeri yang sama, Terengganu. Secara keseluruhan, tape ini adalah satu rilisan yang cukup bagus buat pendengar yang mencari alternatif kepada kebiasaan.
facebook.com/cintasipenggalikuburcintasipenggalikubur.bandcamp.com
facebook.com/TempangRecords
Tiada ulasan:
Catat Ulasan