PEDAL TO THE METAL – Isu #3
Faithcraft Productions
Tema riadah (berbasikal dan jelajah) seakan hilang dalam edisi lepas, isu #2. Ya, memang ada (Kayuhan di Kuala Perlis) tetapi tidaklah terlalu meriah dan menyerlah sepertimana dilaporkan di isu #1 (di mana dimuatkan 4 laporan kayuhan basikal). Identiti Pedal To The Metal sebagai media Metal Punk Berbasikal membuatkan tema kayuhan, jelajah riadah selain elemen muzik menjadi perkara pertama yang akan saya semak setiap kali isu baru Pedal To The Metal dikeluarkan. Syukur, biarpun hanya satu, isu #3 ini yang dirilis pada Jun 2016 menampilkan kembali konsep awal zine ini; didahului dengan flyer unik dan tersendiri membuka laporan kayuhan jelajah “Ride the Tide in Langkasuka – An Evening with Funeral Pyre”. Ianya sejauh 98km pada 2 April 2016 menyusuri keindahan Pulau Langkawi sekaligus bersua-muka dengan band Black/Death FUNERAL PYRE yang dianggotai oleh saudara Man (terdahulu bersama Nefarious Azarak). Menjejaki Air Terjun Chamang mengisi slot Jelajah dan Juadah, satu kawasan rekreasi yang berkesempatan dikunjungi Rammy (editor zine ini) sewaktu beliau turut serta dalam satu gig yang berlangsung di Raub. Untuk sisi muzikal, Pedal To The Metal #3 mengetengahkan sessi wawancara bersama TORCH (Pangeran rock aneh dari Pahang), DOSA (perintis Noisecore dari Perlis) dan PERPETUAL (raja Grindcore dari Sabah). Orientasi seni muzik turut dipanjangkan pada isu kali ini bilamana Rammy menulis 2 repot gig; Grundar Death Fest 4 di Embrace Hall bertarikh 26 Mac 2016 dan Bertukang Malam-Malam 7 di Kecapi Studio, Raub pada 7 Mei 2016 yang turut disertai band beliau WRECKÄR – malah band ini turut diperkisahkan di bawah halaman prebiu/analisis band selain NERVOSA, band thrash metal wanita yang mencetuskan fenomena di Sao Paulo, Brazil. Sepertimana pembaharuan yang dibuat pada isu ke-2, pemaparan karya senitulis seperti sajak dan cerpen kian bertambah kuantitinya dibantu sumbangan penulis luar/jemputan. Cuma kali ini hilang pula sudut “Ilusi Minda Sakit”. Banyak lagi rencana-rencana yang disiarkan, yang pelbagai subjek dan objektif-nya. Izinkan saya terus kepada konklusi: Pedal To The Metal telah meletakkan satu tanda aras baru dalam pembikinan zine DIY tempatan. Di sini segalanya ada, semua konsep makalah independen; kombinasi perzine (personal zine), fanzine muzik underground, kompilasi senilukis dan ilustrasi, antologi kesasteraan dan penulisan kreatif, segalanya!. Ianya perkongsian ilmiah pengetahuan dan pengalaman; geografi, sejarah, jasmani dan kerohanian. Ini majalah budaya dan kesenian. Ini buku tentang kehidupan dan peradaban. Semuanya!. Satu manuskrip hebat olahan sahabat lama saya, insan pelbagai bakat bernama Ahmad Raimi. 52ms / A5 / Bahasa Melayu / Salinan #50/100.
cyclingmetalpunk.blogspot.comra1m1.blogspot.com
faithcraftmobile.blogspot.com
terbaik ni...hail faithcraft
BalasPadamKarya-karya Rammy & Faithcraft mmg sentiasa terbaik.
Padam