Khamis, 5 April 2018

Rebiu | MANUSIASI – Isu #6


MANUSIASI – Isu #6
36ms / A5 / Dwi Bahasa
Belumpun lama isu #5 dikeluarkan, Manusiasi Zine segera menyusul dengan isu keenam yang rilis secara rasmi ketika berlangsungnya Kuala Lumpur Zine Festival, 9 Disember 2017. Meskipun agak nipis kali ini, semangat dan kekuatannya tetap sama sepertimana keluaran yang lepas. Cuma penggunaan font yang terlalu kecil membuatkan teks sedikit sukar untuk dibaca. [Nota: Saya ada diberitahu mereka mencuba teknik (memindah dari microsoft word ke adobe photoshop) yang pernah saya kongsikan di facebook tak berapa lama dahulu, rupanya saya sedar saya silap kerana “ajaran sesat” saya itu mungkin boleh mendatangkan kepayahan kepada yang mahu mencubanya, huhu, maafkan saya]. Manusiasi #6 dibuka oleh 3 penulisan di bawah ruangan “Diskusi Bebas” dan beberapa sajak menarik di dalam slot “Puisi”. Temuramah bersama The Electric Ape In Stereo yang berpaksikan muzik Ambient / Instrumental Post Rock mengisi kolum “Interview Band”. Pembaca juga dihidangkan beberapa penulisan / nota peribadi dalam sekyen “Cerpen Curhat”. Ruangan “Interview Santai” adalah bahagian yang paling saya cari dalam isu ini, kerana saya temui kelainan di dalamnya menerusi Manusiasi #5 tempohari. Isu #6 ini menampilkan Servants (alternative emo rock dari Puchong), Hello Kuching (sebuah penggerak aktiviti seni, muzik, sukan lasak, dll. di Sarawak) dan Ballroom Recital (post-rock / post-hardcore dari KL). Kita boleh lihat dan memahami pendapat-pendapat responden (yang mungkin tidak pernah diajukan persoalan sedemikian) mengenai isu rogol, penculikan kanak-kanak dan LGBT. Idea temubual seperti ini bagi saya sangat baik, perlu dikekalkan pada isu-isu seterusnya dan sudah tentu ianya bertepatan dengan halatuju Kolektif Sarata, sebuah kolektif yang didokongi para editor dan penulis utama Manusiasi Zine.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan