PEDAL TO THE METAL – Isu #7
60ms / A5 / Bahasa Melayu
Pedal To The Metal #7 diterbitkan pada Mac 2018. Ini zine yang sememangnya sentiasa saya nantikan keluarannya. Terkejut juga dicatatkan tuan editornya Rammy Azmi a.k.a Ahmad Ra1m1 menderita robekan meniscal yang mengakibatkan beliau sukar berjalan beberapa minggu sebelum menyiapkan isu ketujuh ini. PTTM terus setia dengan prinsip dan konsepnya, menariknya kali ini sedikit lebih tebal hingga mencapai 60 halaman termasuk kulit luar (ah! suka benar saya menikmati frontcover-nya, ia cantik). Sebagaimana biasa seperti isu-isu sebelumnya, editor menulis dan melapor aktiviti-aktiviti berbasikal, kembara dan riadah beliau dalam isu ini; kayuhan 3 hari 2 malam bersama Marco Yolo (di sekitar negeri Perlis), travelog Merantau ke Palembang dan juga catatan panjang Menjejaki Air Terjun Kampung Tauhid, Bukit Permata. Tulisan-tulisan editor ini tidak sekadar penyaluran informasi dan perkongsian pengalaman, tetapi turut menyelitkan / dikaitkan elemen keagamaan menjadikan keseluruhan teks-teks ini memiliki nilai ilmiah yang tinggi dan nemberi banyak manfaat. PTTM #7 turut memaparkan 3 interbiu; bersama Devourer Of Light, Kvlts, dan Overhaul. Tiga genera muzik yang berbeza dan konversasi yang matang untuk anda telaah, sangat menarik! Cerpen “Ixaxaxar” sumbangan Nayyir al-Fakka bolehlah saya anggap novel mini kerana ia melibatkan 15 mukasurat, haha! Banyak lagi yang boleh dibaca dan dihayati pengisian serta mesejnya dalam zine yang cukup padat dan sarat ini termasuklah ulasan manuskrip dan ulasan muzik ghuluw. Semuanya sentiasa terbaik dari Pedal To The Metal yang baru-baru ini dikhabarkan menukar nama kepada Rakap Besi.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan