Isnin, 7 November 2016

Interbiu | RADIGALS : 02.11.2016


RADIGALS adalah sekumpulan empat gadis radikal dari Kota Singa yang tidak perlu lagi diragukan keupayaan mereka dalam melantunkan irama Hardcore. Amarah dan suara tuntutan mereka cukup garang kedengaran menerusi lagu-lagu dan lirik tulisan band berkaliber ini. Ternyata status “wanita” yang ada pada gadis-gadis manis ini bukan satu sekatan untuk bergerak ke hadapan dalam bermain muzik keras Hardcore yang bukan juga calang-calang bikinannya. Ini wirawati Radigals, pejuang suara-suara wanita!
Temubual oleh Pyan Nathias

(1) Apa khabar? Terima kasih sudi untuk ditemubual. Sebagai pengenalan, boleh kalian kongsikan sedikit bagaimana tercetusnya idea dan perjalanan awal penubuhan band Radigals?

Alin: Khabar baik sekali. Terima kasih juga kepada anda kerana ingin interview kami. Sebelum kami bermula, kami mahu beritahu yang bahasa melayu kami kurang fasih hahah kerana sudah kebiasaan berbual campuran inggeris dan bahasa. Jadi harap maklum ya jika bahasa kami sucks. Hahah.

Esty: Radigals ditubuhkan dalam tahun 2012, kami sering lihat antara satu sama lain di shows tetapi tidak pernah berbual atau mengenali. Aku sama ex-vokalist Radigals memang sudah punya plan untuk buat band cuma kami tidak punya ramai kawan wanita di dalam scene hardcore di sini. Jadi masa tu, band All for Nothing main di Singapore lalu dia berkenalan sama beberapa wanita lain. Dari itu, kami mengajak Alin untuk bermain guitar sama kami. Dan kami mengajak satu drummer wanita metal yang kami kenal juga untuk main bersama. Kami berlatih dan main untuk shows, along the way kami ada pertukaran line-up dan sekarang kami punya Aisyah (Vokal), Cheryl (Drums), Alin (Guitar) dan saya, Esty (Bass).

(2) Dari mana kalian perolehi kemahiran bermain alat muzik?

Alin: Alin bermula bermain gitar pada umur 12 tahun. Bermain genre Hardcore pada umur 17 tahun dengan secara bersendirian. Esty belajar bermain bass apabila band ini dicantumkan, melalui youtube video tutorials.

(3) Adakah sukar untuk membentuk sebuah band yang kesemua anggotanya terdiri dari kaum hawa? Bagaimana kalian melihat band-band lain atau keseluruhan scene di mana secara umumnya didominasi oleh lelaki menerima kehadiran Radigals?

Alin: Agak sukar kerana harus melayani perangai masing-masing!! kah kah kah. Gurau aja! Saya percaya setiap band akan mengalami berbagai masalah. Kami tidak langsung rasa didominasi oleh lelaki kerana kami di sini hanya mahu membuat lagu dan berseronok seperti mereka.

Esty: Tidak susah kalau kami semua punya mindset yang sama, hormat antara satu sama lain dan boleh bekerjasama. Ia amat susah kalau kami semua secara individu tak kira apa gender punyai passion yang berbeza.

Alin: Kami amat gembira kerana kami diberikan sokongan dari band-band lain dan juga yang di dalam scene ini. Lebih banyak sokongan dari diskriminasi. Tapi tidak menjejaskan kami langsung.

(4) Pernah tidak Radigals mendapat sebarang kritikan atau sindiran bahawa kalian tidak mampu dan tidak layak bermain muzik keras dan berat seperti Hardcore?

Alin: Pernah!! Pernah sekali Alin disuruh keluar di sebuah gig. Agaknya seseorang tu rasa yang Alin tidak layak bermain musik atau bermain gitar? Tapi pemikiran harus postitif!

Esty: Ramai di antara kami sebenarnya pernah mendapat diskriminasi katakan kami tidak boleh main music, band wanita seperti kami hanya boleh tahan buat sementara sahaja, ada juga memberi komen tentang badan kami dan penampilan kita. Most of the time, we don’t give a fuck la ataupun kami akan berbual sama orang itu secara tegas beritahu mereka jangan ganggu kami dan menyuruhnya beri kami peluang untuk have fun.

(5) Apapun, tahniah kerana Radigals telah membuktikan yang kalian sememangnya sebuah band yang berwibawa, memiliki karisma serta berpotensi besar. Apa definasi sebenar muzik Hardcore bawaan Radigals?

Alin: Terima kasih! Pada kami hardcore itu positivity, friendship, anger dan juga cabaran dalam kehidupan kami.

(6) Ceritakan serba ringkas bagaimana proses sesebuah lagu ciptaan Radigals ditulis? Bahagian-bahagian mana yang dititikberatkan dan diberi lebih keutamaan dalam menyedia dan merakam sesebuah lagu itu?

Alin: Selalunya lyric kami ditulis apabila merasa marah. Pertama, kerana apabila kami marah dan kami tidak boleh buat apa-apa, satu cara untuk melepaskan kemarahan kami adalah secara menulis. Kedua, kami ingin mengongsi kemarahan kami kerana selalunya kemarahan ini adalah tentang orang-orang yang dua muka, tentang cabaran kami hadapi etc.

Esty: Secara keseluruhan, kami tidak punya bahagian yang spesifik, kami mahu menitikberatkan segalanya yang kami ingin memberitahu.

(7) Boleh senaraikan nama band-band yang sering dijadikan rujukan atau sumber inspirasi kepada kalian dalam menentukan halatuju muzikal Radigals?

Alin: Warzone, Expire, Down to Nothing, Suburban Scum. Untuk EP yang akan datang, inspirasi Alin adalah lebih daripada band-band Youth Crew!

Esty: Untuk saya pula, sikit lebih kurang sama dengan Alin cuma saya ada juga influence dari Turning Point, Breakdown, I.C.E, Firewalker, Shrapnel dan macam-macam.

(8) Terbaharu, Radigals telah mengeluarkan sebuah “selftitled” EP mengandungi 7 lagu; termasuk intro dan interlude. Ianya secara independen dalam versi cd-r dan format 8" lathe cut melalui Vanilla Thunder Records. Apa initipati EP ini? Kalian puashati dengan pengeluaran dan sambutan yang diterima?

Alin: Sungguh puas hati!! Ramai yang memberi sokongan mereka pada kami!! Kami berterimakasih kepada Azura Kathleen yang melukis cover kami, Aliff Osman dan Lexi untuk logo kami dan Apit yang menolong membentuk cd kami pada masa yang cepat.

(9) Dua label dari Malaysia; Exit Music dan VAG Records telah bekerjasama merilis EP tersebut dalam bentuk Cassette Tape.  Berikan sedikit komen kalian mengenainya.

Esty: Exit Music dan VAG Records meriliskan EP kami dalam format tape di KL Zine Fest 2016. Kami sangat berbesar hati kerana mereka ingin meriliskan kami sempena Cassette Store Day juga. Kami sangat berterima kasih dan bangga juga kerana kami adalah rilis yang pertama untuk VAG Records. Saya dan Alin dapat menghadiri KL Zine Fest dan Cassette Store Day, sangat gembira apabila bertemu dengan teman-teman di sana dan juga yang membeli tape kami.

(10) Radigals terlebih dahulu memulakan langkah awal menerusi Demo 2013. Bagaimana kalian melihat kepentingan demo ini sebagai sebuah dokumen introduksi Radigals di dalam scene Hardcore/Punk?

Alin: Sangat penting, kerana kami dapat mendedahkan diri kita lebih bukan hanya di dalam scene Singapura, tetapi juga di Malaysia dan Indonesia. Dari demo ini, kami punya organisers dari Johor dan Kuala Lumpur hubungi kami untuk bermain di sana dan dengan secara perlahan, ramai organisers luar dari Malaysia dan Indonesia juga mahu kami bermain di tempat mereka. Kami sangat berbesar hati kerana dapat peluang ini semua. Terima kasih semua kerana menyokong kami!

(11) Apa rangkuman lirik-lirik yang kalian tulis dan laungkan menerusi lagu-lagu Radigals? Adakah tema “wanita” itu sendiri menjadi teras utama dalam penulisan senikata lagu-lagu kalian?

Alin: Kami tidak selalu tulis tentang wanita. Kami hanya ada dua lagu yang ceritakan tentang wanita. Melalui lagu yang lain, rangkuman lirik-lirik lagu kami adalah tentang emosi yang terperap dalam diri kami.

(12) Radigals boleh dikatakan agak kerap beraksi live dalam gig. Pengalaman dan sambutannya sudah tentu pelbagai berdasarkan masa dan tempat. Boleh kalian terjemahkan dalam perkataan bagaimana aksi-aksi kalian di atas pentas? Adakah jantina kalian sedikit-sebanyak membataskan?

Esty: Hahah pada mulanya kami semua amat malu untuk beraksi di atas pentas kerana kami takut terjatuh atau apa-apa. Tetapi sekarang kami bedal saja la, chaos sahaja di atas pentas, saya paling suka turun dari stage dan enjoy bersama crowd apabila bermain bass. Jantina tidak sekali membataskan kami untuk melakukan apa-apa. Kami semua sama, boleh buat apa saja kami mahu.

(13) Terdiri daripada Aisyah (vokal), Alin (gitar), Esty (bass) dan Cheryl (dram); siapa dan bagaimana agaknya kalian di luar daripada bidang muzik?

Esty: Aisyah dan Cheryl bekerja di play house anak-anak kecil. Alin seorang pekerja retail dan photographer, dia juga membuat photo zines menangkap gambar-gambar wanita yang membuat sesuatu untuk perubahan. Esty seorang body therapist, mengurut di spa, membina punk theatre bersama teman yang lain, dan juga membuat zines.

(14) Apa permasalahan utama yang dihadapi golongan wanita di Singapura dan apa juga tindakan-tindakan yang diambil dalam usaha menangani masalah tersebut? Sebagai wanita, apa yang kalian ingin dan harapkan?

Alin: Masalahnya kami adalah minoriti, dan ramai antara kami rasa takut untuk meluahkan apa yang di dalam hati kami atau takut untuk menyumbang di dalam scene ini. Ramai di antara golongan wanita di Singapura tidak sedia untuk dikritik lalu mereka tidak membuat apa-apa tindakan. 

Esty: Antara satu sebab Radigals dicantumkan adalah untuk memberi motivasi dan semangat kepada wanita yang lain untuk memperjuangkan hak wanita. Kami juga sering berbual dan mengenali lain wanita di dalam scene ini, kadang-kala kalau kami lihat muka-muka baru, kami akan mengadakan perbualan dengan mereka membuat mereka selesa di sini. 

Alin: Kami hanya mengharapkan sokongan antara satu sama lain dan membuat benda secara ikhlas, dan jangan takut untuk menjadi diri sendiri.

(15) Sekali lagi terima kasih kerana meluangkan masa untuk interbiu ini. Maklumkan perancangan Radigals di masa hadapan dan sedikit kata-kata penutup?

Alin: Berpositif selalu teman-teman! Buka minda dan hati anda. 

Esty: Terima kasih kepada anda kerana sudi interview kami.

radigalshc.bandcamp.com


Nota: Interbiu ini dilaksana bagi tujuan kontribusi kepada zine DISTOPIA #1, kendalian saudari Sarajevo Amira Maisara. E-mel: zinedistopia@gmail.com.

Jumaat, 7 Oktober 2016

BANGKIT! #2.5 @ KLZFICDDO2016


Dapatkan BANGKIT! #2.5 [Keluaran Khas KLZF2016] di Kuala Lumpur: Zine Festival x Indie Comics x Distro Day Out, 8 Oktober 2016, Awegallery PJ. Diedarkan oleh DDT Distributions (cari Ahmad Nizamuddin Abdullah aka Nizang Mosh).

Info:
facebook.com/KlZineFest
kualalumpurzinefest.blogspot.com

Sabtu, 1 Oktober 2016

BANGKIT! FANZINE – Isu #2.5


Terbit dan diedar secara rasmi pada 1 Oktober 2016, BANGKIT! #2.5 adalah keluaran khas KLZF2016. Ianya bersempena acara Kuala Lumpur: Zine Festival x Indie Comics x Distro Day Out yang berlangsung pada 8 Oktober di Awegallery, Petaling Jaya. “Special Issue” ini hanya berketebalan 28 mukasurat (termasuk kulit luar), bersaiz A5 dan ditulis sepenuhnya dalam Bahasa Melayu.

BANGKIT! #2.5 memuatkan bual-bicara eksklusif berkaitan buku travelog punk rock MANSAU ANSAU (bersama penulisnya Benny Pangazou), interbiu bersama band punk AYAM HITAM (Kuala Lumpur) dan MEDIA SKEPTIC (Seremban). Rencana mengenai band all-female punk rock MISGIVE (Kota Kinabalu) dipaparkan di dalam ruangan Ekspos. Isu ini turut menampilkan informasi-informasi terkini scene hardcore punk dan penerbitan independen tempatan dan tidak ketinggalan rebiu audio. 

Atas nama “keluaran khas”, isu #2.5 menonjolkan sedikit kelainan berbanding kebiasaan di mana turut disajikan karya-karya seni termasuklah komik mini 2-mukasurat “Spirit DIY” sumbangan kartunis bebas Aku Napie dan juga segmen puisi menghidangkan beberapa buah sajak. Lakaran bergelar “Kibota” pada kulit hadapan dihasilkan oleh Adi Herman (cerita mengenainya juga ada ditulis dalam isu ini).

BANGKIT! #2.5 diedarkan secara rasmi di acara #klzficddo2016 oleh pihak dilantik: DDT DISTRIBUTIONS – fb.com/ddtdistro. Boleh juga diperolehi melalui pesanan pos sebagaimana butiran berikut:

Harga: RM3 senaskah
+ Kos Pengeposan:
RM2 posbiasa
RM4 posdaftar
RM8 poslaju Semenanjung / RM12 poslaju Borneo

Pembayaran:
MAYBANK – 153010198114
SUFIAN MOHAMED SALLEH

Hubungi:
fb.com/piankvlt – Pyan Nathias (editor)
fb.com/bangkitzine – Bangkit! Facebook
whatsapp 019-2597570

Sabtu, 24 September 2016

Ekspos | MISGIVE


Merujuk kepada arena muzik independen dan scene underground tempatan, hampir sukar untuk dicari dan ditemui sebuah kumpulan yang kesemuanya dianggotai oleh kaum wanita. Sebuah band yang menggelarkan diri mereka sebagai MISGIVE mungkin satu-satunya jawaban kepada pencarian kalian pada masa ini – mereka adalah all female punk rock band dari Kota Kinabalu, Sabah.

MISGIVE bermula pada 1 Jun 2013 dengan line-up terdiri daripada Reen Rebecca Rushell Molinus aka Reen (vokal/gitar), Celyane Anne Rodrigues Muyuk aka Yen (vokal/bass), Brenda Rodney aka Brenda (gitar utama) dan Josephine Pun Yin aka Pinpin (dram). Pada 20 April 2014 MISGIVE merilis EP pertama berjudul “Short Skirts, Shot Guns”. Kira-kira dua bulan sebelum itu, bertarikh 14 Februari 2014 mereka melancarkan single Short Skirts, Shot Guns di laman YouTube – youtu.be/Rauj2KHwDCM – sebagai langkah awal pengenalan band dan promosi pengeluaran EP.

EP “Short Skirts, Shot Guns” dikeluarkan menerusi kerjasama MISGIVE dan Kenny Cleod Productions serta BMT (Borneo Music Technology) Studio. Ianya memuatkan 5 buah lagu berdurasi keseluruhannya 13:28 minit punk rock yang cukup menghiburkan. CD tersebut diedarkan pada harga cuma RM10 dan sangat disarankan kepada penggemar-penggemar band seperti Blink-182, Rancid, Four Years Strong, Distillers, NOFX, Anti-Flag, The Loved Ones dan seumpamanya, di mana inilah band-band yang banyak mempengaruhi karakter muzikal MISGIVE.

“Short Skirts, Shot Guns” dilancarkan secara rasmi dalam satu persembahan secara akustik di at Mint Store Wawasan Plaza (Kota Kinabalu) diikuti promosi besar-besaran dalam jelajah Short Skirts, Shot Guns Tour di Semenanjung Malaysia dan Singapura pada 24 hingga 27 Mei 2014. Usaha tersebut diteruskan di Borneo apabila MISGIVE turut terlibat dalam beberapa gig di Sarawak dan negeri kelahiran mereka, Sabah. 

MISGIVE juga telah menjalani penggambaran dan melancarkan dua Video Muzik rasmi mereka iaitu; “Short Skirts, Shot Guns” MV mula dipertontonkan pada 23 Mac 2014 di youtu.be/ITDjXAF0Z_U dan “Don't Need No Words” MV pada 1 Februari 2015 di youtu.be/NQ3BWy4RONs. Kedua-dua video ini diarahkan oleh Radzie Rahman. Kredibiliti MISGIVE sebagai sebuah band yang berbakat besar dan berpotensi tinggi telah menarik perhatian Afraid Clothing, Vans dan Cort Guitar & Bass untuk menaja pemakaian dan instrumen muzik MISGIVE.

Sebagaimana lumrah kebanyakan band di dunia ini, MISGIVE turut ditimpa masalah penarikan diri anggota band bilamana pada 5 April 2015 Brenda dan Pinpin mengambil keputusan membawa haluan masing-masing untuk tidak ladgi bersama Reen dan Yen. Namun kekosongan itu segera dilengkapi oleh Sabreena Jade aka Sabby (dram) yang menyertai MISGIVE pada 16 April 2015 dan bermulalah era baru band ini bergerak secara bertiga sahaja.


Perjalanan MISGIVE tidak akan terhenti. Mereka mungkin akan meriliskan materi terbaharu tidak berapa lama lagi selain giat aktif muncul di pentas. Antara gig-gig besar yang pernah diterajui MISGIVE adalah seperti Smash Fest, The Freak Bistro Tawau (23/11/2014), Rock The World 2014, Stadium Bukit Jalil Kuala Lumpur (13/12/2014), Meet Up Kuching 2015, Le Civic Centre, Kuching (29/02/2015) dan juga Maximum Rock & Roll: The Global Edition, Karamunsing Room, Kota Kinabalu (16/05/2015).

INFORMASI
+60-10-9447250


Nota:
*Teks oleh Trashnoiser – trashnoiser@gmail.com
*Disediakan pada 16 Julai 2016
*Untuk siaran Bangkit! #2.5 – Edisi KLZF2016

Interbiu | MEDIA SKEPTIC : 15.09.2016


MEDIA SKEPTIC sebuah unit punk yang agak aktif tampil di pentas gig biarpun masih belum ada sebarang rilisan rasmi. Mulanya aku fikir mereka ini berasal dari Batu Pahat kerana mereka kerap beraksi di The Wall akan tetapi rupanya mereka anak-anak punk Seremban. Tanpa berlengah, ikuti temubual aku bersama Media Skeptic.

Boleh kongsikan serba sedikit tentang penubuhan kumpulan MEDIA SKEPTIC? Siapa line-up band ni sekarang? 
Media Skeptic start pada penghujung tahun 2014.. starting dengan 5 orang.. tapi sorang tu busy je manjang so sekarang tinggal kitorang 4.. voc - Azeen, guitar - Botak, bass - Aizat, drum - Acu.

MEDIA SKEPTIC ni kiranya datang dari circle The Wall, Batu Pahat la kan? Apa yang korang rasa paling menarik tentang komuniti The Wall? Rekomen beberapa nama band yang patut kitorang check-it-out dari belah-belah sana?
Memang kitorang starting gig di The Wall.. tapi kitorang sume asal Seremban.. yang menarik pasal The Wall.. sebab The Wall ni diy space dan mengekalkan style hc punk.. from punx to punx.. pastu geng-geng The Wall memang friendly.. tak caye lepak la sana.. semua memang masuk kepala la.. band yang direkomen semestinya Bad Idea, Black Demons, TXT, Acid Distortion dan paling latest Cip Likker.

Aku sebenarnya tak berapa tau tentang MEDIA SKEPTIC ni coz tak banyak info. Korang main jenis punk yang macamana? Band-band yang pengaruh korang?
Influence kitorang banyak dan lain-lain bagi setiap ahli band.. tapi yang lebih banyak kitorang dengar band punk yang barai.. genre tu terpulang kepada halwa telinge korang sendiri yang mendengar nak melabel kitorang men genre apa.. sebab kitorang pon bedal je.. hahah!

Apa matlamat korang buat MEDIA SKEPTIC dan main muzik punk?
Untuk have fun kat gig sambil menyampai mesej-mesej radikal melalui lagu.. startnya Media Skeptic ni untuk meriahkan balik scene Somban ni.. sambil-sambil tu dapat kuar jenjalan tengok tempat orang.. takkan nak terperuk je sini.

MEDIA SKEPTIC dah release sebarang Demo, EP.. apa-apa lah bentuk rakaman? Bagi senarai diskografi korang?
Bende da rekod.. tapi tak release-release.. buat mase ni kalau nak dengar datang gig la.. haha!

Dalam banyak-banyak gig yang MEDIA SKEPTIC terlibat, mana yang paling diingati?
Azeen: Ikutkan semua gig kitorang ingat.. tapi paling yang aku ingat gig latest ni la Year Of No Lord 11/9 kat The Key.. main sekali dengan Krass Kepala (Ina), Seven Crowns (UK), Kechik & The Sk8 Rats, Annemary, John Macbaren, Cendol’s Dead.
Aizat: Gig Mentakab Punk Rock Show tour Klabu Asap pon still ingat jugak sebab first gig yang paling jauh, banyak memori dalam perjalanan walaupun aku yang drive pegi-balik dan dapat main 3 lagu je time tu sebab tali guitar putus.
Acu: Semua gig best bagi aku la sebab setiap kali gig akan barai dan have fun.
Botak: Gig paling aku ingat ialah first gig aku sebab dari situ bermula perjalanan Media Skeptic dengan kawan-kawan yang tak putus-putus support.


Secara umum apa pendapat korang terhadap scene punk di Malaysia ni? Apa yang perlu dipertegakkan dan yang perlu dibuang jauh supaya scene muzik punk ni lebih maju dan dipandang orang?
DIY or die.. sifat rasisme, fasisme, homophobe tu yang perlu dibuang jauh.

Rancangan untuk akan datang dari MEDIA SKEPTIC?
Kalau boleh memang nak berjalan lagi jauh.. abes-abes pusing kat Malaysia ni dulu.. da setel sini pastu boleh la melangkah lagi jauh eh tak.

Kata-kata penutup?
Keep the spirit alive!!!



Nota:
*Interbiu oleh Trashnoiser – trashnoiser@gmail.com
*Disediakan pada 15 September 2016
*Untuk siaran Bangkit! #2.5 – Edisi KLZF2016

Sabtu, 17 September 2016

BANGKIT! #2.5 dalam pembikinan!!


SPECIAL ISSUE!!!. Idea ini datang secara tiba-tiba!. BANGKIT! #2.5 – sebuah keluaran khas sempena Kuala Lumpur Zine Fest yang bakal berlangsung pada 8 Oktober 2016 di Awegallery, Petaling Jaya. Harapnya edisi istimewa ini dapat direalisasikan tepat pada masa yang ditetapkan (lebihkurang seminggu sebelum acara tersebut berlangsung) sekiranya saya dapat menerima dan menghimpunkan kesemua bahan (terutamanya jawaban interbiu dan lain-lain kontribusi) dalam masa terdekat ini. Sasaran jumlah mukasurat untuk #2.5 ini hanyalah sekitar 20++ dan diedar pada kadar harga rendah, RM3 mungkin.

BANGKIT! #2.5 dijangka menampilkan bual-bicara eksklusif mengenai buku Travelog Punk Rock MANSAU ANSAU, bersama penulisnya Benny Pangazou. Ia buku mengisahkan pengembaraan band Con-Damn The Corruptor di Semenanjung Malaysia. Bakal terdapat juga wawancara bersama AYAM HITAM, band dari Kuala Lumpur yang saya gelar “punk sasau” tatkala ramai pihak melabel mereka Blues Punk. Menariknya band ini telah merilis 3 buah Demo/EP dalam masa yang singkat. Rakan penulis Trashnoiser pula menyumbangkan interbiu dengan MEDIA SKEPTIC, band punk dari Seremban dan artikel band MISGIVE.

Atas sifat istimewanya BANGKIT! #2.5, ia turut mengetengahkan sedikit kelainan berbanding isu-isu biasa di mana akan turut memuatkan karya-karya seni seperti puisi dan juga ilustrasi (komik). Nantikan sahaja penerbitan edisi ini. Ia hanya terbit sekali-sekala. Mungkin juga kuantiti pengeluarannya terhad. Yang ini bersempena KUALA LUMPUR: ZINE FESTIVAL x INDIE COMICS x DISTRO DAY OUT – facebook.com/KlZineFest.

#klzficddo2016

Nota: Imej frontcover yang didedahkan di atas hanyalah sekadar draf dan tertakluk kepada sebarang perubahan.

Isnin, 29 Ogos 2016

BANGKIT! #2 @ JBDDZF2016


Dapatkan Bangkit! #2 di Johor Bahru Distro Day & Zine Fest, 31 Ogos 2016, Embrace Hall, JB (masuk percuma). Diedarkan oleh Green Peace Distro. Info: fb.com/events/143580272745030.

Senarai Pengedar BANGKIT! #2


BANGKIT! #2 juga terdapat di label-label distro berikut:

GREEN PEACE DISTRO [Johor]
- fb.com/Green-Peace-Distro-828902057131372

RAY YUNUS [Sabah]
- fb.com/shutzine.ray

DDT DISTRO [Selangor]
- fb.com/ddtdistro
- fb.com/nizang

RAUNG RECORDS [Perak]
- fb.com/raung.rekod

ZUATH GENERATION DISTRO [Johor]
- fb.com/ZUATH-Generation-Distro-1695016894043773

NOISE HIPSTER DISTRO [Selangor]
- fb.com/noisehipster.distro

BERANI MUNTAH DISTRO [Sabah]
- fb.com/beranimuntahdistro
- fb.com/beranimuntahrecords

PERAK ALTERNATIF PRESS & DISTRO [Perak]
- fb.com/perakaltdistro
- fb.com/xPAPDx

Senarai distro akan dikemaskini dari masa ke semasa.

Isnin, 22 Ogos 2016

BANGKIT! FANZINE – Isu #2


Edisi Kedua BANGKIT! FANZINE telah terbit dan mula diedarkan pada 22 Ogos 2016. Interbiu bersama THE BOLLOCKS (highlight), PÏG-KRÜST // BAKTERIA (split interview), BRAINCËLL, KAH KAH CELAKA, NO DISTANCE, SECRET IN DEFENSE, SHARON STONED, SHITNOISE BASTARDS, TARANTULAH, TERSSALAHH dan UPTOSIXTEEN. Ekspos memperkenalkan ABHORSTENCH dan SUDIRRRMAN. Kolum “Hardcore Punk, Solidariti dan Kebebasan!” menampilkan Pidot & Green Peace Distro. Turut mengandungi rebiu audio dan literatur, artikel serta pelbagai informasi lain. Ditulis sepenuhnya dalam Bahasa Melayu. 60 mukasurat saiz A5, glossy pro-cover.

Harga: RM8 senaskah tidak termasuk kos pengeposan.
+ RM2 pos biasa
+ RM4 pos daftar
+ RM8 poslaju Semenanjung / RM12 poslaju Borneo

Pembayaran:
MAYBANK – 153010198114
SUFIAN MOHAMED SALLEH

Hubungi:
facebook.com/piankvlt – Pyan Nathias (editor)
facebook.com/bangkitzine – Bangkit! Facebook
whatsapp 019-2597570







Nota: HARGA PUKAL ISTIMEWA untuk yang minat membantu pengedaran Bangkit! Fanzine – sila berhubung!

Khamis, 11 Ogos 2016

Rebiu | SHARON STONED – ..Rebellions, Re-mixed.


SHARON STONED – ..Rebellions, Re-mixed.
Youth Crime Recordings
Ketika saya menerima rilisan berformatkan cd-r ini, saya dimaklumkan “..Rebellions, Re-mixed. Promo 2016.” terhasil ekoran kekecewaan pihak Sharon Stoned terhadap kualiti kaset “The Unfinished Business” (sound agak tenggelam-timbul atau tidak sekata akibat kegagalan pihak pengilang semasa proses penyalinan). Benar, kualiti bunyi promo cd-r ini jauh lebih baik sebagaimana yang mereka mahukan dan memberi satu kepuasan maksima kepada halwa pendengaran. Rilisan ini menampilkan 5 track berkepanjangan 15:03 minit keseluruhannya. Setiap track mengandungi 2 atau 3 buah lagu yang dirampaikan atau lebih tepat disatukan, dimainkan tanpa henti. Saya difahamkan ini adalah konsep dan juga susunatur sepertimana setlist SxS ketika beraksi live dalam kebanyakan sirkit gig yang mereka sertai. Turut dimuatkan sebuah cover lagu asal The Offsping yang dimainkan dalam nuansa hardcore SxS. Ianya cukup menarik. Muzik SxS itu sendiri sarat dan padat dengan olahan riff-riff kencang, menusuk dan membunuh, digubah dan disusun baik merangkumi pelbagai melodi dan tempo menonjolkan lagi aura hardcore sekolah lama bawaan mereka. Bayangkan bagaimana SxS di live stage serta crowd di moshpit.. dengan mainan lagu-lagu yang keras, lasak dan menggila seperti ini pasti suasana akan hiruk-pikuk dengan aksi-aksi berlari, berasak-asak dan melompat tinggi. Saya juga yakin penggemar tegar muzik metal tiada masalah untuk menerima dan nenikmati lagu-lagu SxS yang memiliki injeksi irama thrashmetal yang cukup kuat. Disarankan kalian pencinta scene muzik underground tempatan segera dapatkan rilisan ini kerana ia adalah produk hardcore yang berkualiti kandungannya biarpun fizikalnya sekadar berformatkan cd-r. Mudah-mudahan Briged Hardcore Gombak ini terus kekal lama!.
sharonstonedyouthcrime.bandcamp.com
facebook.com/youthcrime