Khamis, 7 September 2017

Rebiu | PELIGROSOS – Brainwash


PELIGROSOS – Brainwash
Nervhous Records
Peligrosos mendefinasikan muzik bawaan mereka sebagai Thrash Metal Punk. Band yang ditubuhkan pada tahun 2009 di daerah Tawau, Sabah ini mendapat inspirasi dari Dum Dum Tak, Gerodok serta Armados selain dipengaruhi The Casualties, Bunga Hitam, Marjinal, Sarjan Hassan, Municiple Waste, Anthrax dan banyak lagi dalam pembentukan senimuzik ciptaan mereka. Sekitar penghujung April 2017 baru lalu, Peligrosos yang terdiri daripada Sepul (vokal / gitar), Ayen (gitar utama), Acap (bass) dan Keong (dram) telah mengeluarkan “Brainwash” Cassette-EP menerusi kerjasama Nervhous Records, menyenaraikan 4 buah lagu; Korupsi, Political Assault, Media So Sial!!! dan Demokrasi Pagar Besi. Selain daripada inisiatif yang baik dalam mengolah komposisi lagu-lagu mereka (merangkumi gubahan riff dan melodi), Peligrosos diperakui mempunyai keupayaan mengujudkan keseimbangan antara genera Hardcore Punk dan Thrash Metal. Lagu-lagu band ini dimainkan laju dan agresif pada kebanyakan tempat, catchy dan bermelodik pada masa-masa tertentu. Bahagian solo gitarnya begitu menyengat! Sesetengah pendapat mungkin meletakkan Peligrosos di bawah kategori Crossover di mana saya tiada masalah untuk bersetuju dengan tafsiran tersebut. Di sudut penulisan dan penyampaian lirik, Peligrosos agak garang dan lantang mempersoalkan sistem politik, media dan penyakit sosial. Vokal Sepul kedengaran memiliki tona yang tersendiri, agak unik pada pendengaran dan boleh dikatakan menepati unsur “crossover” dalam keseluruhan muzik Peligrosos itu sendiri. “Brainwash” telah dirakam di studio Setanggi Setang Records, Lahad Datu pada 5 Disember 2016 (di bawah kendalian saudara Munir). Produksi bunyi yang berada pada tahap agak baik, cuma masih ada ruang yang mungkin perlu diperbaiki kualitinya (pada masa akan datang) agar dapat menyerlahkan lagi kekuatan muzik Peligrosos. Secara keseluruhan, elemen kreativiti yang menarik dihasilkan Peligrosos adalah satu alasan kukuh untuk kalian tidak mengabaikan rilisan EP ini. Ini band yang ada di dalamnya potensi dan kewibawaan.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan