Pita audio diskografi “Collection 2010-2016” dari band grindcore Bronco Buster ini mengandungi kesemuanya 27 buah lagu; dipetik dari dua rilisan terdahulu iaitu “Mind Corruption” EP 2012 (10 buah lagu) dan “Grind The Strait” EP 2014 (11 lagu termasuk cover band S.O.B.) serta tambahan 6 buah lagu lagi dari rakaman terbaharu pada tahun 2016. Jika diamati dengan teliti, kaset ini memperlihatkan bagaimana muzik Bronco Buster melalui proses evolusi, berkembang dan semakin dewasa dari satu rilisan ke satu rilisan hinggalah kepada lagu-lagu rakaman terkini. Itu apabila dilihat dari aspek komposisi lagu-lagu di mana arah dan halatujunya semakin lebih jelas namun secara rangkuman, Bronco Buster adalah grindcore di bawah pengaruh Napalm Death dan Terrorizer serta suntikan elemen hardcore punk yang cukup kuat. Band yang terdiri daripada Thomas (vokal), Hubert (gitar), Bryan Roki (gitar), Kris (bass) dan Max Biondi (dram) ini hakikatnya telah mula berada di laluan sebenar pengkaryaan mereka setelah berubah nama kepada Bronco Buster pada tahun 2012, setelah apa yang kita ketahui sebahagian mereka bermula dengan nama Traitor sewaktu masih di bangku persekolahan (semenjak 2004). Ternyata, “Collection 2010-2016” merupakan satu rilisan yang sangat bagus dan besar faedahnya dikeluarkan oleh pihak label untuk band grind asal Kuching, Sarawak ini lebih-lebih lagi untuk mereka di luar sana (seperti saya) yang baru mula mengenali siapa gerangannya Bronco Buster. Ini band yang lahir bersamanya potensi dan kualiti. Hebat!
Aku suka dengan nama kompilasi ini, nama yang bunyinya macam kelakar tapi hakikatnya punya makna yang cukup besar. Kompilasi Lanun vol.I mengetengahkan 7 buah band; Terssalahh, Berantakan, No Security, Benzoate, Penyangak, Nightwolf dan Cendol’s Dead. Masing-masing tampil dengan 2 buah lagu kecuali Penyangak yang menyumbangkan 3 lagu menjadikan kesemuanya 15 lagu dalam rilisan berformat cd-r berdurasi keseluruhan 29:47 minit. Pada dasarnya, kompilasi ini merupakan himpunan sebahagian daripada band-band yang bernaung, bergerak (atau sekurang-kurangnya sering menyertai gig-gig yang dianjurkan) di bawah banner komuniti kolektif Bukit Bintang Pyrate Punx. Dalam CD ini korang boleh dengar dan layan pelbagai sub-genre dari akarumbi Hardcore Punk. Memang menarik dan seronoknya, ia beri peluang pada orang-orang macam aku menikmati lagu-lagu dari band yang aku belum dengar sebelum ini seperti Berantakan dan Penyangak. Untuk makluman, lagu-lagu yang dimuatkan adalah lagu-lagu terpilih dari rilisan-rilisan terdahulu band-band yang menyertai kompilasi ini. Pada pendapat aku, terdapat 2 kekurangan pada produksi kompilasi ini. Pertama, tahap volume lagu-lagu tidak sekata, ada yang menonjol dan ada yang terkebelakang akibat pengambilan material dari sumber band yang berbeza. Mungkin akan lebih baik jika ada usaha untuk proses pengserataan bunyi (equalize) untuk keselesaan pendengaran. Namun dari satu sudut pembikinan kompilasi ini nampak jujur dalam mengekalkan integriti sebenar band-band yang diketengahkan. Yang kedua, CD kompilasi seperti ini seharusnya perlu dilengkapi dengan booklet atau sekurang-kurangnya infosheet mengandungi informasi / biografi ringkas serta foto setiap band yang dimuatkan, termasuklah maklumat lagu-lagu dari mana asal ianya diambil. Itu pasti memberi nilai promosi yang lebih baik kepada setiap band dalam kompilasi ini. Apapun, Kompilasi Lanun tetap memiliki kekuatannya yang tersendiri dengan penampilan band-band yang ada kelebihan masing-masing, bersatu melontarkan suara-suara punk dalam cara dan gaya yang tersendiri.
Aku tidak pasti samada CD ini layak dipanggil kompilasi atau sebaliknya 5-way split CD kerana rilisan ini hanya menampilkan lima buah band di mana setiap band menyumbangkan sebuah lagu sahaja. Walaubagaimanapun, aku berpegang pada isytihar yang dibuat pihak label pengeluar bahawa ini adalah kompilasi. Bersesuaian dengan judul kompilasi dan tema utamanya (From Rock To Football), kesemua band datangnya dari selatan tanahair iaitu negeri Johor Darul Ta’zim. Masing-masing hadir dengan konsep muzik yang berbeza namun bersatu atas tujuan dan semangat yang serupa iaitu menunjukkan penghormatan serta sokongan kepada pasukan Kelab Bolasepak JDT. Dari sudut muzikal, band pembuka Zero One Heroes membawa irama Oi! / Street Rock, seterusnya Orkes Marhaen dengan alunan Reggae. Lagu ketiga adalah dari band yang tidak perlu diperkenalkan kerana mereka boleh dianggap legend dalam scene oldschool Hardcore Johor iaitu NET atau nama penuhnya Never Ending Threats. Band ke-4 adalah Explicit, unit Chaos Punk yang semakin meningkat naik. Band bergelar The Final Whistle menutup CD ini dengan muzik gaya indie / alternative rock mengikut pendengaran aku. Untuk makluman, band Zero One Heroes dan The Final Whistle menampilkan Pozy (Plague Of Happiness) di posisi dram. Ini sebuah kompilasi yang sangat bagus dalam aspek kualiti bunyi rakaman. Setiap band merakam di studio yang berbeza tetapi adunan akhir dilaksanakan oleh Bob Agigi (Damokis) di Rockin' Music Studio. Turut dibekalkan booklet 8 mukasurat berwarna dilengkapi pelbagai info ringkas tentang band dan rilisan ini. Durasi keseluruhan CD kompilasi Ngauman Selatan adalah 20:40 minit. Hubungi e-mel muzikbox@hotmail.com sekiranya berminat.
Trashnoiser adalah kenalan lama saya dan banyak juga membantu menyumbangkan penulisan untuk Bangkit! Fanzine. Beliau juga pengendali blog Noise From Hell. Pseudonim Trashnoiser asalnya adalah nama untuk projek lo-bit noise beliau yang telah lama terhenti. Kini Trashnoiser kembali dengan unit Harsh Noise terbaharu diberi nama Tunarungu. Sebagai pengenalan, Tunarungu merilis sebuah promo single berjudul Menongkah Arus pada awal Januari 2017. Track selama 8:52 minit ini bengis bunyi-bunyiannya; keras, berat dan seakan kejam tanpa belas! Kalian boleh dengar/muaturun di bandcamp Tunarungu dan nilaikan sendiri kebingitannya. Menurut Trashnoiser, single ini adalah introduksi kepada rilisan EP yang sedang diusahakan, dengan tema merangkumi kritikan politik dan sosial, amarah dan kebangkitan. Ini sebuah promo yang bagus. Kebisingan yang jahat!
PANGGUNG CERITA – (Satu Cerita) EP2016 Panggung Cerita Artworks
Kumpulan muzik bernuansakan Folk Pop/Rock ini sebenarnya telah ujud semenjak 1994 lagi (menggunakan nama Penglipurlara) dan setelah sekian lama menyepi, mereka diaktifkan kembali dengan nama baru Panggung Cerita sekitar 2015. Tanpa berlengah, Panggung Cerita yang kini didokongi oleh Ary (bass), Asry (dram), Rostam (gitar) dan Ameer (vokal) serta dibantu oleh Azmer (kibod) dan Shafik (vokal latar/harmoni) mengeluarkan rilisan pertama mereka berupa EP2016 berjudul “Satu Cerita”, mengandungi lima buah lagu berdurasi keseluruhan 23:50 minit. Rakaman telah dijalankan di Frog Studio, Kg. Nakhoda di bawah kendalian saudara Azmer Shazly selaku jurutera bunyi dan adunan. EP ini direalisasikan dalam format CD bercetak, sampul berwarna dari kertas keras/tebal 260gm dan uniknya disisipkan dalam karung fabrik calico yang turut dicap logo Panggung Cerita. Difahamkan 4 lagu adalah karangan lama (dari era Penglipurlara) yang diolah semula dan diberi nafas baru manakala sebuah lagi (lagu Apa Khabar Tuan Puteri) merupakan karya terkini dari mereka. Seandainya saya diminta memberikan hanya satu perkataan untuk menyatakan pendapat tentang CD ini, maka akan saya katakan ianya adalah “NYAMAN”. Kesemua 5 lagu yang dimuatkan dalam rilisan EP ini begitu baik dan berkualiti tinggi garapan melodi dan susunan muziknya. Penyanyinya, Ameer Sohaimee memiliki tona vokal yang enak didengar, mendendangkan bait-bait puitis dari senikata yang ditulis dengan begitu berkesan. Pada saya, CD ini ibarat satu himpunan komposisi irama dan nyanyian yang dibikin halus, cukup-cukup indah dan penuh dengan penghayatan. Nikmatnya adalah satu atmosfera yang tenang serta melegakan. Ini udara segar yang begitu nyaman, hasil karya pemuzik-pemuzik matang dan berpengalaman. Ya, beberapa ahli pemuzik Panggung Cerita ini adalah bekas anggota kumpulan Happy Nightmare. Akhir kata, saya sarankan kalian selitkan EP dari Panggung Cerita ini dalam senarai panjang playlist Hardcore Punk dan Extreme Metal anda kerana ini benar-benar sesuai untuk mengisi tempoh senggang dan santai anda setelah kepenatan diasak bunyian muzik-muzik keras dan berat.
Laju! Begitu laju! Lagu-lagu singkat kurang daripada satu minit setiap lagu. Olahan riff gitar yang menarik, jeritan-jeritan suara garang serta pembelasahan dram yang mantap cukup mencuri perhatian. Ini irama Thrashcore kental dari 3 pemuzik muda dan berbakat dari Lahad Datu, menamakan diri mereka sebagai TIKAMxLARI. Demo 2016 ini mempertaruhkan 4 buah lagu, termasuk intro di mana durasi keseluruhan hanyalah 3:18 minit. Unit ini ditubuhkan pada 2014, dianggotai Mimin (gitar), WanxSejak (vokal) dan Epung (dram). Demo ini dirakam di 2 studio yang berbeza; dram di Faid Jamming Studio manakala gitar dan vokal serta proses adunan / suntingan akhir di RTRR Studio. Kualiti bunyi agak mentah namun itu sudah berbaloi untuk sebuah demo apatah lagi konsep mereka yang dilihat bingit dan pecah-kepala! Sekiranya anda menggemari muzik dari band-band seperti Sarjan Hassan, Arah Kiri, Jalan Sehala dan Makhlok Perosak umpamanya, anda pasti akan turut menyukai band TIKAMxLARI ini. Saya juga tertarik dengan ilustrasi (karya Mazwan15) yang menjadi penghias kulit luar sampul demo cd-r ini. Nota: Jika tiada aral, label kecil saya Blazt Promotion akan merilis semula demo ini untuk “Edisi Semenanjung”.
Personal use only! Jangan dicari “EP Collection 2016” band Ayam Hitam ni di pasaran, memang takkan jumpa punya, haha! CD discography ni aku bikin sendiri senang nak dengar 3 EP dorang sekaligus dalam 1 CD. Sambil drive kereta, layan Ayam Hitam la beb. Nak buat camni, korang kena ada semua EP band punk sasau ni, huhu! Amacam, menarik tak? Saranan aku, dapatkan kesemua EP Ayam Hitam di: facebook.com/bandayamhitam.
Introduksi: Panggung Cerita, sebuah ensembel gitar rancak dari Kuala Lumpur, Malaysia. Dahulunya dikenali sebagai Penglipurlara. | Deskripsi: Kuartet muzikal bernuansakan folk pop-rock moden yang santai. Bermula dengan nama Penglipurlara dari awal 90-an lagi dengan seleksi karya-karya sendiri yang tidak diperdengarkan ke khalayak umum. Setelah tempoh hibernasi yang agak lama, akhirnya inisiatif untuk kembali aktif digerakkan semula dengan beberapa sesi latihtubi, yang kemudiannya disusuli dengan proses rakaman EP bermula sekitar 2015 hingga siap sepenuhnya pada pertengahan 2016. | Pemuzik: Ari – bass / Asry – drum / Rostam – gitar / Ameer – vokal // Turut mendokong: Azmeer – keyboards / Shafik - vokal latar | Interbiu bersama Ary Fakir
Kongsikan ringkas sejarah penubuhan Panggung Cerita dan sedikit latarbelakang anggota kumpulan ini?
Kami bermula di sekitar tahun 1994, di Wasiat Studio Kompleks Wilayah.. dari sesi jamming sampai ke penubuhan Penglipurlara (nama asal Panggung Cerita) di mana anggota asal terdiri daripada 4 orang pemuzik; Aryfakir, Tam, Asri dan Arome (vokal asal). Ditubuhkan kerana kami mempunyai kecenderungan yang sama berekperimentasi dengan muzik yang baru ketika itu (meskipun pada masa yang sama masing-masing) semuanya ada projek sendiri.. tetapi Penglipurlara itu satu impian kecil kami bersama. Setelah projek kami disambung semula kami menemui vokal yang baru iaitu saudara Izat (Amer Sohaime) setelah Arome tidak dapat meneruskan perjuangan ini kerana sibuk dengan binesnya sendiri. Dengan kemasukan vokal baru ini kami mendapat inspirasi baru dalam ruang berkarya.
Apa yang tersirat di sebalik nama Panggung Cerita? Mengapa berubah nama dari Penglipurlara?
Penglipurlara menukar nama ke Panggung Cerita kerana ketika kami menghidupkan kembali projek pada 2015 sudah ada grup lain menggunakan nama Penglipurlara. Yang tersirat di sebalik nama Panggung Cerita Cuma pada falsafah asal konsep penceritaan lirik dalam lagu.. jadi Panggung Cerita kami pilih sesuai dengan konsep.
Berikan sebanyak mungkin maklumat mengenai pembikinan, kandungan dan pengeluaran EP2016?
Pembikinan EP Panggung Cerita bermula awal tahun 2015 / 2016 di mana kami dipelawa oleh saudara Azmeer untuk memulakan proses rakaman dalam bentuk digital kembali di studio miliknya Frog Studio. Akhirnya penghujung 2016 EP pertama kami berjaya disiapkan. Setelah berbincang kami menubuhkan syarikat Panggung Cerita Muzik bertujuan memasarkan karya kami secara tersusun.
Diriliskan pada 14 Disember 2016 | PANGGUNG CERITA – Satu Cerita (EP2016). Rilisan CD pertama Panggung Cerita telah dikeluarkan dan Terisi dengan 5 komposisi muzik santai buat mengubati gundah-gulana dan kegusaran dalam hari-hari anda. Senarai lagu: 1. Satu Cerita / 2. Lalu-Lalang / 3. Apa Khabar Tuan Puteri / 4. Lenggok Mak Limah / 5. Taman | Buat anda yang berminat untuk mendapatkan CDEP ini, bolehlah berhubung di facebook / instagram ataupun whatsapp ke 017-3405485 (Ameer). Harga mampu milik RM15 sahaja (+RM3 untuk kos pos).
Apakah tafsiran paling tepat untuk muzik bawaan Panggung Cerita?
Panggung Cerita ingin bebas berkarya dengan rasional dan mempunyai susunatur berdasarkan CERITA KITA WAJAH KITA.
Nyatakan artis dan kumpulan muzik yang banyak menjadi rujukan atau mempengaruhi pembentukan muzik Panggung Cerita?
Influence muzik Panggung Cerita banyak terdedah dengan lagu tempatan dan luar negara. Contoh muzik tradisional kita dari gubahan Zubir Said, P. Ramlee, SM Salim serta moden seperti Kembara, Zainal Abidin, Iwan Fals dan Ebiet G. Ade manakala luar negara seperti Led Zeppelin, The Beatles, Duran Duran dan The Police.
Apa skop penulisan lirik lagu-lagu Panggung Cerita dan rangkuman mesej yang hendak disampaikan?
Mesej utama tentang keamanan, kasih sayang dan cinta.
Ceritakan sedikit tentang video muzik “Apa Khabar Tuan Puteri”?
Video clip baru je siap pertengahan bulan Januari yang lepas. Dibuat di Studio Ruang Irama, Ara Damansara milik Zahar Pitahati. Diarahkan saudara Azmeer dan kami bersama. Sinopsis kisah tentang kehilangan seorang serikandi negara dalam nahas kapalterbang. Baru dilancarkan pada 25hb Januari 2017.
Dilancarkan pada 25 Januari 2017 | Video Muzik Rasmi pertama daripada Panggung Cerita untuk lagu ‘Apa Khabar Tuan Puteri’. Karya bertema melankolik tetapi optimis dan segar ini merupakan trek ketiga dipetik dari EP2016 – rilisan rasmi pertama Panggung Cerita. Lagu & Lirik : Ary / Gubahan Muzik : Panggung Cerita | youtu.be/jk5MzU_7HKY
Adakah Panggung Cerita aktif menyertai persembahan pentas?
Kami aktif membuat persembahan di sekitar Kuala Lumpur.. yang terakhir di Rantai Art Festival 2016 di IM4U Sentral, Puchong.
Apa halatuju dan rancangan Panggung Cerita di masa hadapan?
Halatuju dapat melahirkan album pada hujung tahun ni.. inshaallah kami mahu terus berkarya selagi diizinkan.
Mengapa disarankan pendengar muzik independen tempatan segera dapatkan EP2016? Bagaimana caranya hendak dapatkannya?
Panggung Cerita adalah band yang menerapkan unsur eksperimentasi yang rasional yang akan sentiasa segar dengan bunyian baru untuk masa depan, inshaallah. Bagi mereka yang meminati genre folk pop boleh la dapatkan EP kami Panggung Cerita berjudul “Satu Cerita” Silalah lawat facebook page kami Panggung Cerita atau instagram (untuk maklumat mendapatkan EP tersebut).
Empat (4) keluaran Bangkit! Fanzine setakat ini, termasuk 1 edisi khas KLZF2016 telah dimasukkan ke dalam album: Archive Contributions 2017 [dalam The Ricecooker Archives] pada 10 Januari 2017 dengan catatan seperti berikut:
BANGKIT! fanzines; issue #1, #2, #2.5 & the recent #3.
currently the most active fanzine detailing the local punk scene from the perspectives of a veteran metalhead who used to run the NATHIAS fanzine in the 90s.
order: https://www.facebook.com/bangkitzine/
Terima kasih kepada bro Joe Kidd (Aedes zine / Carburetor Dung / Alternative Age Entertainment / etc) dan juga The Ricecooker Archives. Up the punx!!!
Selamat Tahun Baru! Edisi Ketiga BANGKIT! FANZINE telahpun terbit dan beredar pada 1 Januari 2017. Pengeluaran isu kali ini sedikit tersasar dari perancangan awal untuk diriliskan sebelum/pada Chaos in Rumah Api #4 (23 – 25 Disember 2016). Pun demikian, meskipun sedikit tertunda, kandungannya tetap segar, malar dan semestinya padat dengan pelbagai pengisian dan maklumat terkini scene Hardcore Punk tempatan.
BANGKIT! #3 menampilkan wawancara eksklusif bersama crust thrasherATOMICDEATH yang dipilih sebagai highlight untuk isu kali ini. EXPLICIT, NOT THINGS!, WÄRFEAR, ACID DISTORTION, LOSST, xTOLAKKOKx, WEOT SKAM dan TIKAMxLARI turut mengisi slot-slot temubual dalam edisi ke-3 ini. Beberapa penulisan artikel juga disiarkan, termasuklah suntingan terkini rencana “Ada Apa Dengan Rumah Api?” di bawah kolum Hardcore Punk, Solidariti dan Kebebasan! serta liputan gig “High Life vol.1” yang telah dilangsungkan di Rainhouse, Ipoh pada 3 September 2016 lalu. Banyak lagi yang dapat anda baca dalam isu ini merangkumi 14-mukasurat seksyen ulasan CD, kaset dan zine serta 3-mukasurat segmen informasi. Ditulis sepenuhnya dalam Bahasa Melayu / 60 mukasurat / saiz A5 / glossy pro-cover.
Harga: RM8 senaskah (tidak termasuk kos pengeposan)
+ RM2 pos biasa
+ RM4 pos daftar / pos ekspress
+ RM8 poslaju Semenanjung / RM12 poslaju Borneo