PANGGUNG CERITA – (Satu Cerita) EP2016
Panggung Cerita Artworks
Kumpulan muzik bernuansakan Folk Pop/Rock ini sebenarnya telah ujud semenjak 1994 lagi (menggunakan nama Penglipurlara) dan setelah sekian lama menyepi, mereka diaktifkan kembali dengan nama baru Panggung Cerita sekitar 2015. Tanpa berlengah, Panggung Cerita yang kini didokongi oleh Ary (bass), Asry (dram), Rostam (gitar) dan Ameer (vokal) serta dibantu oleh Azmer (kibod) dan Shafik (vokal latar/harmoni) mengeluarkan rilisan pertama mereka berupa EP2016 berjudul “Satu Cerita”, mengandungi lima buah lagu berdurasi keseluruhan 23:50 minit. Rakaman telah dijalankan di Frog Studio, Kg. Nakhoda di bawah kendalian saudara Azmer Shazly selaku jurutera bunyi dan adunan. EP ini direalisasikan dalam format CD bercetak, sampul berwarna dari kertas keras/tebal 260gm dan uniknya disisipkan dalam karung fabrik calico yang turut dicap logo Panggung Cerita. Difahamkan 4 lagu adalah karangan lama (dari era Penglipurlara) yang diolah semula dan diberi nafas baru manakala sebuah lagi (lagu Apa Khabar Tuan Puteri) merupakan karya terkini dari mereka. Seandainya saya diminta memberikan hanya satu perkataan untuk menyatakan pendapat tentang CD ini, maka akan saya katakan ianya adalah “NYAMAN”. Kesemua 5 lagu yang dimuatkan dalam rilisan EP ini begitu baik dan berkualiti tinggi garapan melodi dan susunan muziknya. Penyanyinya, Ameer Sohaimee memiliki tona vokal yang enak didengar, mendendangkan bait-bait puitis dari senikata yang ditulis dengan begitu berkesan. Pada saya, CD ini ibarat satu himpunan komposisi irama dan nyanyian yang dibikin halus, cukup-cukup indah dan penuh dengan penghayatan. Nikmatnya adalah satu atmosfera yang tenang serta melegakan. Ini udara segar yang begitu nyaman, hasil karya pemuzik-pemuzik matang dan berpengalaman. Ya, beberapa ahli pemuzik Panggung Cerita ini adalah bekas anggota kumpulan Happy Nightmare. Akhir kata, saya sarankan kalian selitkan EP dari Panggung Cerita ini dalam senarai panjang playlist Hardcore Punk dan Extreme Metal anda kerana ini benar-benar sesuai untuk mengisi tempoh senggang dan santai anda setelah kepenatan diasak bunyian muzik-muzik keras dan berat.
facebook.com/panggungceritainstagram.com/panggungcerita
soundcloud.com/panggungcerita
Tiada ulasan:
Catat Ulasan