Rabu, 22 Mac 2017

Rebiu | DICKIES TALE – Easy Beat With The Hardest Dick (Live Demo)


DICKIES TALE – Easy Beat With The Hardest Dick
Independen
Live Demo ini merupakan rilisan pertama dari Dickies Tale, band 3-piece asal selatan tanahair yang dianggotai oleh Syami (gitar/vokal), Daus (bass/vokal) dan Ejam (dram). “Easy Beat With The Hardest Dick” dirakam secara ‘langsung’ di Studio Carlos, Johor Bahru dan telah dikeluarkan secara rasmi pada 14 Januari 2017, sewaktu mereka menyertai gig The Southern Sanitarium di Embrace Hall. Ianya memuatkan 4 buah lagu; Aku Okay!, Kita, Mamak dan Why Should We Go? di mana durasi keseluruhan 13:42 minit. Di sudut muzikal, Dickies Tale memperdengarkan kreativiti dan keupayaan mereka menerusi irama yang boleh ditafsir sebagai Punk Rock Reggae. Mereka pada dasarnya bermain Punk Rock rancak, kencang dan kental; poppish dan melodic di bahagian-bahagian tertentu, disulami ritma-ritma Reggae yang mengasyikkan pada sesetengah lagu. Elemen reggae/ska hadir dalam lagu Aku Okay! dan lebih jelas ketara pada Why Should We Go?. Bunga-bunga bass begitu menonjol memainkan peranannya. Meskipun dirakam ‘live’, saya merasakan kualiti bunyi yang terhasil masih baik, kedengaran bersih dan selesa pada pendengaran. Beberapa lagu mempunyai sentimen humor pada liriknya namun tetap positif pada keseluruhan tema dan mesej yang mahu mereka sampaikan. Band ini menulis dan menyanyikan tentang semangat untuk hidup, erti persahabatan, kegembiraan dan pelbagai perkara lain. Not bad at all – memang boleh tahan juga daya tarikan Dickies Tale yang menamakan NOFX kecenderungan utama sumber inspirasi mereka. Kombinasi punk dan reggae yang cuba dipraktikkan tampak berhasil dan berpotensi untuk berkembang jauh lebih baik. Terkini dilaporkan demo cd-r ini telah habis diedarkan dan khabarnya Dickies Tale bakal merakam semula kesemua lagu; dengan penambahan instrumen trumpet dan lapisan gitar utama. Harapnya akan tambah menjadi.
facebook.com/DickiesTale
dickiestale.bandcamp.com

Tiada ulasan:

Catat Ulasan