DESECRATE A.D. / BABIRUSA – split
DE/A.D Records
Kaset split 2-hala tanpa judul ini diriliskan secara rasmi pada 20 November 2016. Desecrate A.D. menghidangkan 3 buah lagu baru dirakam secara live di Sound Check Studio, Pandan Indah. Senarai lagunya adalah Violent Dissonance, Polymer dan Megalodon. Band asal Lembah Kelang yang dianggotai oleh Fariz Fury (vokal), Zul Lander (gitar), Muniff (bass) dan FJ ChaosThunder (dram) ini terus setia dengan konsep eksperimentasi mereka terhadap pelbagai genre dan sub-genre muzik keras dan berat; death/thrash metal sebagai akarumbinya, dikacuk dan diadun bersama elemen-elemen seperti hardcore/punk, blues/folk, sludge, alternative rock dan sebagainya. Jika mahu ditafsir atas satu definasi, muzik bawaan band ini boleh dikategorikan sebagai Progressive Metal. Hasil daripada rakaman live mungkin tidak dapat menyediakan kualiti yang begitu baik namun apa yang Desecrate A.D. hasilkan kedengaran begitu jujur dalam kementahan bunyinya. Seperkara yang dapat saya kesan, mereka semakin menampakkan inovasi dalam komposisi dan susunan muzik berbanding rilisan terdahulu, Rehearsal Demo 2014. Babirusa dari Malang, Indonesia menyediakan 3 buah lagu yang amat profesional dalam aspek pembikinan muzik dan rakamannya. Lagu-lagu mereka iaitu Shit Life!, Liturgi Penyesatan dan Setan Jalanan berada di bawah profil Hardcore Thrash Metal / Crossover. Band yang dibarisi oleh Fajar (vokal), Krisna (gitar), Ronny (bass) dan James (dram) ini mendapatkan inspirasi dari D.R.I, Municipal Waste, Cro-Mags, Anthrax dan seumpamanya. Alunan thrash / crossover Babirusa benar-benar menghiburkan; pantas, kemas, menerajang tanpa henti. Saya teruja untuk mengenali lebih lanjut tentang Babirusa dan mendengar lebih banyak lagu-lagu ciptaan mereka. Ayuh dapatkan split tape yang menyajikan irama metal pelbagai citarasa ini. Ianya berbaloi. Khabarnya juga tersedia dalam format CD. Segeralah perolehinya!
facebook.com/desecrateKLfacebook.com/babirusaxmlg
Tiada ulasan:
Catat Ulasan