P-RM – (ro) Demo
Independen
Alternative Folk Punk adalah satu pilihan yang tepat dari P-RM dalam menyampaikan mesej melalui senimuzik. Ianya boleh ditafsirkan sebagai lagu-lagu rakyat, nyanyian-nyanyian jalanan dalam attitude punk. Kumpulan ini didokongi oleh Petak Daun (vokal), Ali Ibrahim Ali (bass), Ramlee Maarof (melodica), Ayon M. Osman (gitar) dan Kerk Kuding (dram). Saya tidak pasti apa di sebalik singkatan nama P-RM, namun di permukaan cd-r ada tertulis Pedulikan Rasukan Momok, mungkin itu yang dimaksudkan. Lihat satu lagi kelainan yang ada dalam “pilihan” P-RM, mereka memasukkan instrumen melodica atau nama lainya pianica dalam senilagu mereka. Demo (ro) mengikut pada senarai dibariskan 4 lagu (Sedar Sekadar Sedar, Menjadi Manusia, Meriam Air dan LK-PPK) akan tetapi demo ini sebenarnya mengandungi sebuah lagi lagu tambahan, diletakkan sebagai hidden track, berjudul Ditindas Pemikiran [merujuk kepada soundcloud mereka]. Lagu ekstra ini dimainkan secara akustika. Kesemua lagu-lagu ciptaan P-RM kedengaran begitu sempoi, gubahan melodi serta susunan muzik yang santai dan menangkap, menarik pendengar untuk turut berdendang bersama. Menjiwai suara mereka, merasai ekspresi dan aspirasi mereka. P-RM bagaikan kumpulan Kembara atau Kopratasa dalam nuansa yang berbeda. Lirik-lirik P-RM persis himpunan puisi warga marhaen, senikata yang ditulis dengan puitis, namun sinis dan kritis pada masa yang sama. Mesej mereka adalah sindiran dan kritikan terhadap isu-isu semasa, permasalahan sosial dan politikal dalam negara. Demo 18:54 minit ini adalah karya-karya bebas yang cukup baik dan murni sifatnya dari anak-anak punk Kedai Buku Mak Ali, Kajang.
facebook.com/PdashRMinstagram.com/p.rm.nop
soundcloud.com/user-67618882
Tiada ulasan:
Catat Ulasan