KONTRADIKSI – Puduraya (Catatan Peribadi dan Kawan-Kawan)
20ms / A5 / Bahasa Melayu
Mentelaahi zine ini mengimbau kenangan zaman remaja saya sekitar 1991-1995. Puduraya umpama nadi sebahagian daripada perjalanan hidup pada ketika itu. Di situlah pusatnya beratur panjang berebut-rebut mendapatkan tiket bas ekspres (kekadang terpaksa beli dari ulat tiket) untuk pulang ke kampung sempena hari perayaaan mahupun cuti semester. Di situlah penghubung berulang-alik setiap hujung minggu dari UPM Serdang untuk saya ke Central Market melepak bersama teman-teman scene underground, memulakan langkah kaki ke venue-venue gig ataupun ke Kompleks Campbell / Pertama mencari kaset-kaset terbaru. Di Puduraya juga saya pernah dapatkan beberapa t-shirt metal (imported) dan psssttt... di sana juga saya ada beli buku Permata Yang Hilang (rasanya buku panduan ni masih ada tapi lupa sorok kat mana, hahaha!). Berbalik kepada Kontradiksi, isu pertama zine kendalian Khairul Mohd Zan [fb.com/kairu.rukawa] ini adalah sebuah himpunan memoir Puduraya, segalanya-galanya seputar Hentian Puduraya; perkaitannya dengan persekitaran, pengalaman dan kehidupan si penulis serta rakan-rakannya. Dirilis pada hari berlangsungnya KLZF 2016, isu Puduraya ini menyiarkan 4 buah catatan (selain Khairul turut disumbangkan oleh Zeezam, Sayap Anonymous dan Azizi Smallman), kutipan status dan komen-komen di laman sosial facebook, sedikit petikan fakta dari Arkib Negara, beberapa foto lama dan 4 buah puisi (sajak) bertemakan terminal bas yang cukup-cukup bersejarah tersebut. Pengisiannya mengundang pelbagai emosi di sebalik nostalgia-nostalgia tersebut; senyum tawa, pahit duka, seram sejuk, malah linangan airmata. Hentian Puduraya kini hanya tinggal sejarah, diubahsuai dan dijenamakan semula menjadi Pusat Transformasi Bandar (UTC). Untuk makluman, editornya saudara Khairul bukan asing dalam bidang penulisan bebas dan penerbitan zine. Beliau pernah berkarya menerusi Kebebasan Insan, Boycott Manifesto, Harapan Insan Hina waima Kontradiksi sebelum ini pernah terbit dalam format newsletter untuk 2 keluaran. Hubungi: terminalogik@gmail.com.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan