AYAM HITAM – Koboi, Babi, Pinokio & Kanak-Kanak
Independen
“Terima kasih kepada alam yang terus-menerus memberi kehidupan kepada ayam-ayam untuk kekal hidup tenang di reban masing-masing. Sebagai ayam-ayam yang bercita-cita tinggi dalam persatuan reban Ayam Hitam ini, kami berasa sangat berbesar hati setelah 3 bulan Ayam Hitam ditubuhkan secara rasmi, kami telah mengeluarkan dua EP termasuk yang ini dan sebelumnya EP Bunyi Jujur. Nak kata gelojoh, ya memang gelojoh pun, peduli apa, sebab kami nak share seni kami, pastu kami nak jual untuk lepas duit jamming akan datang. Malas dah cakap banyak, terima kasih sebab beli, jangan lupa lawan kerajaan korup!!!” – sekali lagi mohon maaf kerana saya salin kembali catatan Ayam Hitam yang terdapat dalam booklet 12-mukasurat EP kedua mereka ini. Saya fikir ianya penting dan lebih jelas untuk kalian fahami apa yang tersurat dan tersirat di sebalik “Koboi, Babi, Pinokio & Kanak-Kanak”. Ini sebuah rilisan yang luarannya tampak drastik, namun dalamannya radikal secukup-cukupnya. Anda tidak perlu melihat kepada keupayaan mereka dalam bermuzik. Muzik hanyalah sekadar sebuah platform. Dengar dan perhalusi suara-suara mereka, pesanan-pesanan mereka. Hakikat perjuangan sebenar Ayam Hitam ada pada setiap suara dan pesanan itu. Arus perlawanannya semakin deras, dalam iltizam yang kian menebal. Selain Ocha (vokal/gitar), Mat Ghandi (gitar utama) dan Epol (dram), Ayam Hitam dalam rakaman ini turut dibantu sessionist Mat Manan (bass). Tidak cuma kuatnya pengaruh blues dalam komposisi punk, band ini pada saya turut menyuntik unsur-unsur rock n’ roll, surf garage dan grind dalam aliran muzik mereka. EP 19-minit “Koboi, Babi, Pinokio & Kanak-Kanak” menghidangkan 5 buah lagu; He Was Just A Boy, Bersatulah Kaum Babi, Pinokio (Dara Puspita cover), Koboi Penyelamat Dunia dan sebuah hidden track berjudul Lawan. Hubungi efendymuslim@gmail.com atau 012-6444947 untuk lebih lanjut tentang apa adanya dengan Ayam Hitam. Dengarkan: sampai bilakah menjadi hamba, dipijak henyak dengan mereka, tiba masanya bangkit semula, rebut semua hak milik kita.
facebook.com/bandayamhitam
Tiada ulasan:
Catat Ulasan