Jumaat, 23 Mac 2018

BANGKIT! FANZINE – Isu #7


Diterbitkan secara rasmi pada 25 Mac 2018 | BANGKIT! FANZINE isu #7 | Edisi Ketujuh di bawah kategori “Siri Tetap” (Regular Series) ini menampilkan secara eksklusif salah sebuah band punk terawal tanahair iaitu ACID RAIN. Sejumlah 16 mukasurat memaparkan kisah tentang mereka; merangkumi dua bahagian interbiu dan sebuah artikel khas berjudul “Acid Rain: Rise From The Rubble”. Dalam isu ini juga Bangkit! turut menemubual 13DAS, THRASHIT, THY REGIMENT, HASHISHIAN, KIDS ON THE MOVE dan SECRET AGENDA. Untuk slot rencana, diketengahkan profil KARATZ, liputan gig M.C.B Terror Drones Mini Tour serta Together We Stand Part 10, dan juga artikel Punk! Aku Sudah Tua di bawah kolum Hardcore Punk, Solidariti dan Kebebasan!. Sebagaimana biasa, Bangkit! #7 tidak akan lengkap sekiranya tiada ruangan-ruangan seperti Buletin (Informasi Hardcore Punk Malaysia), ulasan-ulasan terhadap rilisan CD, Tape dan Zine di bawah seksyen Rebiu. Semua ini dipadatkan sepadat-padatnya dalam 60 mukasurat, bersaiz A5 dan ditulis sepenuhnya dalam Bahasa Melayu.

Harga: RM8 senaskah (tidak termasuk kos pengeposan)
+ RM2 pos biasa
+ RM4 pos daftar
+ RM8 poslaju Semenanjung / RM12 poslaju Borneo

Pembayaran:
MAYBANK – 153010198114
SUFIAN MOHAMED SALLEH

hubungi:
facebook.com/piankvlt – Pyan Nathias (editor)
facebook.com/bangkitzine – Bangkit! Facebook
whatsapp 019-2597570


Nota: HARGA PUKAL ISTIMEWA untuk yang minat membantu pengedaran Bangkit! Fanzine – sila berhubung!

Rabu, 21 Mac 2018

Rebiu | MY OWN MIND – Isu #0


MY OWN MIND – Isu #0
28ms / A5 / Dwi Bahasa
My Own Mind zine isu #0 yang diterbitkan pada penghujung Januari 2018 dianggap sebagai “isu percubaan”. Ianya lebih kepada “edisi pengenalan” debut official isu #1 yang berkemungkinan diriliskan secara “split zine” bersama Bangkit! Fanzine akan datang. MOM #0 menghimpunkan interbiu-interbiu lama (sekitar 2013-2015) dalam blog Noise From Hell, blog kendalian editor zine ini iaitu Johan a.k.a Trashnoiser melibatkan band seperti Perek Kasi Gerek, Tolakkok, Tarantulah, Sete Star Sept (Jepun), Exterminate, Naked Weapon, Psychotic Sufferance, Kurasakuasa dan Brayok. Terdapat juga halaman Extra/Bonus menampilkan Perpetual, Penguasa Anjing, Bakteria dan Doom (UK). Trashnoiser turut menyelitkan ruangan buletin “Noise From Hell news updates” dan Sajak-Sajak Underground. Layout zine ini boleh dikatakan kemas dan menggunakan teknik cut-and-paste. Walaupun kandungannya sedikit basi tetapi saya fikir ianya masih menarik dan berbaloi untuk dijadikan koleksi zine do-it-yourself anda. Emel trashnoiser@gmail.com untuk maklumat lanjut.


Nota: MY OWN MIND #0 adalah terbitan dan edaran Bangkit! Publishing Support Division. Keluaran terhad 50 salinan sahaja. Harga cuma RM4.00 senaskah. Hubungi facebook.com/bangkitzine atau whatsapp 019-2597570 sekiranya berminat untuk dapatkan salinan anda!

Rebiu | GRIND YOUR ASS – Isu #2


GRIND YOUR ASS – Isu #2
20ms / A4 / Bahasa Inggeris
Nama fanzine ini sering diperkatakan, kerap disebut-sebut malah ramai yang meminta agar ia kembali diterbitkan. Atas dasar ini saya percaya ianya sebuah zine yang bagus. Saya tidak pernah memilikinya sebelum ini dan sentiasa mencari peluang untuk mendapatkannya (kalau-kalau masih ada) untuk tatapan. Nasib saya baik akhirnya dapat juga salah-satu keluaran Grind Your Ass zine, isu #2. Diterbitkan sekitar 2005/2006 menurut editornya Mohd Fairulazha a.k.a Paloh. Format zine bersaiz besar ini meskipun agak nipis (hanya 20 mukasurat) akan tetapi isi kandungannya begitu padat dan sarat. Ia benar-benar menerujakan! Bersepadanan dengan namanya Grind Your Ass, pengisiannya fokus kepada genre Grindcore serta cabang-cabangnya; crust, gore, deathgrind, hardcore dan sealirannya. Isu ini menampilkan 8 interview; bersama Argon, Banzai 606, Fallen World (Singapura), Perpetual, Agathocles (Belgium), Parkinson, Spermblast dan Dosa. Saya begitu tertarik dengan semua temubual yang dijalankan. Olahan soalannya matang, konstruktif dan menyelit perbualan atas topik-topik yang advance. Pihak responden (band) turut bekerjasama memberikan jawaban-jawaban yang maksima terhadap setiap pertanyaan. Isu ini juga memuatkan banyak artikel yang bagus dan informatif, contohnya seperti The Rise of Crust, North Borneo West Bay Hardcore Scene Report dan Napalm Death Details Biography. Ruangan Reviews adalah bahagian yang perlu anda baca dalam GYA #2 ini. Ia melibatkan kuantiti produk yang besar jumlahnya merangkumi CD, Tape dan Zines. Paloh (editor) mempunyai skill dan tatacara mengulas yang serius, teliti dan terperinci. Kupasannya begitu profesional. Untuk keseluruhan, saya seperti membaca sebuah fanzine dari negara-negara Barat, tetapi saya perlu bangga bahawa zine ini dihasilkan dari Temerloh, Pahang. Wah! Harganya cuma RM2 senaskah (mungkin masih relevan dengan kos fotokopi pada waktu itu). Memang benar kata ramai, saya juga mengharap Paloh kembali menulis dan mengeluarkan lagi isu-isu baru Grind Your Ass!

Rebiu | MORBID ZINE – Isu #3


MORBID ZINE – Isu #3
28ms / A5 / Bahasa Inggeris
Morbid Zine isu #3 telah diterbitkan pada Oktober 2016 dan ianya adalah sebuah metal fanzine berpengkalan di Miri, Sarawak. Saya melihat kelahiran semula zine ini satu “kepulangan” yang sungguh baik dan penuh makna setelah ianya hiatus selama 13 tahun. Untuk makluman, penerbitan terdahulu adalah isu #1 (2002) dan isu #2 (2003). Tuan editornya yang bernama Wilson dalam isu ketiga ini telah menemubual band-band seperti Suri Mantra (Experimental Rock/Prog/Avant-Garde dari Miri), Tulah (Black Metal dari Kuching), Falling Farewell (Metalcore dari Miri), Anthroplague (Black Death Metal Kanada), Wrath Of Eden (Groove Metal dari Tawau), dan Perversion (Death Metal dari negara UAE). Terdapat juga artikel-artikel pendek berupa band profile / biografi ringkas mengetengahkan Dark Clown, Shadowmirth, Cannibal Landlord, Aramaic (UAE), Velhalla, Hypertika, Kherow, One Kill Wonder, Lahaujet, Dreadwords, Fake, Militant Attack, dan Dire Crown. Sebagaimana biasa pengisian sebuah fanzine turut dimuatkan ruangan berita “Morbid News” dan ulasan “Morbid Album Review”. Okay, meskipun nama ‘Morbid’ dan imej zine ini nampak seperti 100% metal, Wilson bijak menyelitkan beberapa band/penulisan genre lain seperti experimental dan alternatif yang mana menjelmakan sedikit kepelbagaian. Banyak perkara juga yang saya sukakan tentang zine ini. Olahan penulisannya sangat-sangat baik terutama di bahagian interbiu dan ulasan album. Yang paling saya suka adalah kecerdikan Wilson dalam kerja layout dan design, yang menjadikan zine Morbid #3 ini begitu menarik bukan sahaja dari aspek pembacaan tetapi juga tatapan mata. Ianya bersih, tersusun kemas, bervariasi dan kualiti cetakannya bagus. Morbid Zine #3 dikeluarkan terhad kepada 100 naskah, salinan milik saya bernombor 080 di mana saya perolehi dari pihak Drunkard Distro. Selanjutnya, hubungi Wilson (editor) di wilsonb@operamail.com.

Rebiu THE DICKSONS – Riot In The City


THE DICKSONS – Riot In The City
Independen
The Dicksons yang berpengkalan di Port Dickson, Negeri Sembilan telah merilis “Riot In The City" EP sekitar Ogos 2017 lalu. Pada asas keseluruhannya, muzik The Dicksons berpaksikan UK 80’s Oi!/Punk di bawah inspirasi band-band seperti Blitz, GBH, The Exploited dan The 4-Skins. Mereka ada juga menamakan beberapa band tempatan seperti The Bollocks, Carburetor Dung, The Garrison dan The Official sebagai sumber rujukan. Band yang dianggotai oleh Khalis (vokal/gitar), Sepet (gitar), Alep (bass) dan Ajeem (dram) ini memiliki kematangan dan kebolehan yang baik dalam menggubah dan menyusun lagu, menghasilkan lagu-lagu yang sedap didengar serta menghiburkan. EP berdurasi 13:32 minit ini menyajikan 5 lagu. Track pembukaan Riot In The City sememangnya huru-hara, sarat dengan kocokan ritma rancak memberontak disusuli lagu paling panjang dalam EP ini Confrontation memiliki pengaruh Oi! yang cukup tebal. Propagandha kembali lebih pantas, lebih keras dan panas kemarahannya diikuti Glory Years yang menyemarakkan semula sentuhan street rock/Oi! disulami melodi gitar yang lazat. Lagu terakhir Good For Dance sangat menarik, dan pendengar pasti tertarik untuk skankin bersama sepanjang lagu ini. “Riot In The City" sebuah EP yang hebat apatah lagi kualiti bunyinya yang superb, air tangan Tom Bollocks yang mengendalikan rakaman di Laguna Music / Greenhouse Studio pada 14 hingga 16 Julai 2017. Bangkit! Fanzine berhasrat untuk menemubual The Dicksons namun disarankan selepas mereka mengeluarkan album penuh pertama tidak berapa lama lagi. Nantikan!!

Rebiu | LIBERTY CHAOS – Tirani


LIBERTY CHAOS – Tirani
Sukma Records
EP “Tirani” oleh band bergelar Liberty Chaos ini diriliskan pada akhir Oktober 2017 dan ianya memuatkan sejumlah 7 buah lagu; Liberty Chaos, Para Penguasa, Liberate, Tirani, Chaos, Huru-Hara Negaraku, dan P.O.L.I.S. Unit berhaluan Chaos Punk ini berasal dari Kuala Kangsar, Perak ditubuhkan pada Ogos 2010. Setelah melalui beberapa fasa perubahan line-up, keanggotaan Liberty Chaos dalam rakaman “Tirani” terdiri daripada Ejan (vokal), Sumo (gitar), Andax (gitar), Oxnyee (bass) dan Arp (dram). Sukma Records melabel mereka sebagai Antifa Chaos Punk, dan ianya memang benar muzik Liberty Chaos dalam EP ini begitu meribut, penuh dengan kehuru-haraan, ritma-ritma yang cukup kencang dan garang mengiringi suara berang kemarahan vokalisnya. Nuansa bunyinya agak bising dan “barai”, difahamkan dirakam secara live recordings di String Theory Recs Studio, Ipoh. Kualiti rakamannya tidaklah teruk sangat bahkan saya melihatnya mengena-tepat dengan definasi “chaos” muzik punk Liberty Chaos. Lagu-lagunya memiliki komposisi yang baik, berinspirasikan band-band seperti Chaos UK, Disorder, Varukers, The Casualties, UK Subs dan seumpamanya, sekadar menyebut beberapa nama. Terdapat juga suntikan hardcore street punk dan crossover/thrashpunk yang menampakkan usaha band ini mewujudkan variasi. Liberty Chaos lantang menyuarakan lirik-lirik radikal, anti-fasis, anarki, penentangan terhadap korupsi dan pelbagai konsep perlawanan. Penampilan artwork oleh Makidam (Born of Freedom) pada frontcover kulit kaset memberi nilai-tambah kepada EP ini. Mainkan pada paras volume yang kuat dan rasai amarah Liberty Chaos! Pun demikian agak malang, sekitar Januari 2018 lalu diumumkan oleh Ejan bahawa band ini telah ditamatkan riwayatnya. Hubungi label sukmarecords@yahoo.com kalau-kalau tape ini masih ada diedarkan.

Khamis, 15 Mac 2018

Rebiu | TERRYROTTEN – Sperm From The Past


TERRYROTTEN – Sperm From The Past
Sukma Records / Raung Records
Rilisan EP “Sperm From The Past” seakan perlambangan kebangkitan semula sebuah band yang kini dijenamakan semula sebagai Terryrotten, selepas lebih 10 tahun ‘dibekukan’ dari nama terdahulu, No System (ditubuhkan pada 2003 di Taiping, Perak). Kepulangan Tok Moyang Gobek (bass/vokal) dan The Ghost (gitar), disertai ahli baru The Beast (dram) tampak begitu optimis dan bersemangat menerusi pertaruhan 9 buah lagu yang dimuatkan dalam EP tersebut. Difahamkan sebahagiannya gubahan semula lagu-lagu lama semasa era No System dan selebihnya adalah ciptaan-ciptaan terbaharu di bawah gabungan Terryrotten. Terma “Sick Humor Crust Punk” telah digunapakai secara meluas dalam mendefinasi muzik galasan Terryrotten. Saya melihat ‘sick’ dan ‘humor’ itu merujuk kepada tema atau konsep ruang-lingkup penulisan lirik-lirik lagu Terryrotten yang begitu kuat dengan herdikan dan sindiran terhadap kepincangan politik, korupsi serta isu-isu sosial dan kemanusiaan. Saya suka mendengar lontaran-lontaran vokalnya yang bervariasi dan bermain dengan emosi; garang, marah, memberontak dan ada masanya seakan mengeluh. Muzik Terryrotten yang dikatakan Crust Punk terbina dari kocokan-kocokan power chord yang pada asasnya mudah (simple) akan tetapi dipacu pantas, keras, kental dan agresif. Tidak sekadar bermain dengan kelajuan, struktur muzik mereka turut diwarnai petikan-petikan gitar catchy dan kreatif. Senimuzik ciptaan Terryrotten sebenarnya mengandungi kepelbagaian jika mengikut pendengaran dan pengamatan saya. Ianya hardcore punk yang turut disulami dan dikacuk bersama elemen-elemen Grind, Rock & Roll dan Thrash!. Yang menariknya juga, kesemua lagu dalam EP ini masing-masing didahului dengan intro; samada petikan klip, keratan filem dan sebagainya. Mungkin Terryrotten mahu mengujudkan identiti tersendiri menerusi pendekatan sedemikian. Dalam aspek produksi bunyi, hasil daripada proses rakaman di Decklab Studio (Taiping) di bawah kejuruteraan Jack Cheong dilihat telah membuahkan kualiti yang agak baik tanpa mengetepikan perisa “raw” yang diperlukan oleh sebuah band Crust Punk. “Sperm From The Past” adalah langkah kanan Terryrotten dalam scene HC Punk tempatan dan saya kira EP ini cetusan serta bekalan terbaik untuk band ini terus mara ke hadapan dalam berkarya.

Rebiu | TUNARUNGU – 4-Track Promo 2018


TUNARUNGU – 4-Track Promo 2018
Independen
Baru-baru ni aku terima beberapa CD rilisan Tuna-ungu, antaranya Lost Demo 2016, Kota Destruksi (Single 2017) dan yang aku ulas ni 4-Track Promo 2018. Aku tak berkesempatan nak ulas semua jadi aku pilih yang terkini sahaja, hehe! CD berdurasi 22 minit 30 saat ni mengandungi 4 track berpaksikan Harsh-Noise. Track pertama, Kota Destruksi ada elemen Industrial sikit, diikuti Hanyut & Tenggelam yang kedengaran agak Drone/Ambient Noise. Klausa Syaitan dipetik dari Nutcracker (anti-christmas compilation) dimana terdapat intro ’jingle bell’ dan track penutup Eksperimentasi Jahanam pula memang agak eksperimental nuansanya dan macam ada vokal-vokal kabur sikit. Agak menarik dan Tunarungu sememangnya dikenali sebagai komposer bunyian Harsh-Noise / HNW yang keras, buas dan bingit sebingitnya!

Rebiu | DELUSI – Terasing


DELUSI – Terasing
Fatamorgana Music Production
Saya percaya ramai antara kita yang kurang, malah langsung tidak mengenali Delusi. Mereka agak low-profile dan mungkin terpinggir dalam scene yang terpencil – Dark Ambient. Saya pernah menemubual projek bunyian ini dalam Bangkit! #5. “Terasing” ini rilisan Demo 2016, mengandungi dua track panjang; Terasing (13:27) dan Galau (16:00). Keseluruhannya, komposisi lagu-lagu gubahan Jiwa (pseudonim individu di sebalik Delusi) menerapkan alunan synthesizer yang depresif dan melankolik diadun bersama atmosferik simfoni alam, seperti desiran angin, air dan sebagainya. Irama halus seperti ini seakan membawa pendengar ke alam fantasi dan berimaginasi nasib diri; sayu, hiba dan keseorangan. Nuansanya begitu mengkhayalkan. Rilisan ini amat bagus dan disyorkan!

Rebiu | ARMADOS / TARANTULAH – Split Tape Demo


ARMADOS / TARANTULAH – Split Tape Demo
Berani Muntah Records
Split Tape ini yang menyatukan Armados (Lahad Datu) dan Tarantulah (Kuala Lumpur) telah dikeluarkan secara rasmi pada 25 Ogos 2016. Setiap band menyumbangkan 6 buah lagu; seleksi lagu-lagu terbaik dari rilisan-rilisan terdahulu masing-masing. Apa yang menarik mengenai split tape ini adalah “pertembungan di atas satu titik persamaan” – di mana kedua-dua band ini memiliki kesamaan pada asas/akar muzik mereka iaitu Metal Punk. Pertembungannya pula dilhat pada pertentangan haluan dan perbezaan pengaruh muzik masing-masing. Armados menerapkan elemen melodik, solo-solo menggigit dan kerja-gitar berkarisma dalam lagu-lagu ciptaan mereka, dan Armados berdiri di atas jenama Melodic Metal Punk. Manakala Tarantulah pula cenderung kepada nuansa raw, bunyi yang berat, crusty, riff serta beat yang lebih menjurus kepada permainan thrashing / grinding. Tarantulah mendefinasikan muzik mereka sebagai Moderate Metal Punk. Kedua-dua band ini sekali lagi berjumpa pada konsep lirik dan mesej-mesej yang serupa; kritikan politik dan sosial, kemarahan, kemanusiaan dan sebagainya. Split Tape ini sebuah rilisan yang sepatutnya menjadi salah-satu collective item kalian dan ianya menepati selera dua pihak iaitu metal dan punk, atau lebih kiranya anda sememangnya menghargai kedua-dua scene muzik ini. Recommended!