Isnin, 8 Ogos 2016

HC PUNK DALAM HIDUP KU!

Hardcore Punk, Solidariti dan Kebebasan. Ini tagline Bangkit! Fanzine. Ketiga-tiga perkataan ini bukan sahaja berkait-rapat dalam satu aspek tetapi juga memiliki makna dan tafsiran yang lebih luas dalam pelbagai sudut; pada diri seseorang dan persekitaran hidup ini. Aku berhasrat untuk menjadikan kolum ini ruangan tetap dalam setiap isu Bangkit!. Untuk edisi pertama ini aku menjemput saudara Benny Pangazou menulis...


Salam sejahtera para pembaca sekalian. Nama aku Ben atau juga dikenali dengan nama pena aku Benny Pangazou. Well, Pangazou tu bukan nama bapa aku mahupun nama keluarga aku. Pangazou tu adalah nama gelaran bagi pemburu kepala bagi pahlawan kadazan pada zaman dahulu meskipun aku bukan kadazan dan berbangsa rungus norway, tapi dalam bahasa rungus pun Pangazou mempunyai makna yang sama iaitu pemburu kepala. Aku pakai nama tu sebab aku suka benda-benda yang berkait dengan ritual, mistik dan juga budaya tapi itu tidak bermakna aku seorang pengamal ilmu hitam!. Aku ada menjalankan satu record label dan juga mini distro yang bernama DIAKI NU RECORDS & DISTRO yang dulu dikenali dengan nama Headhunter Records. Aku juga merupakan penulis zine Choosing Path yang kini baru menginjak isu ke-2. Aku juga merupakan seorang pemain gitar dan vokalis untuk kumpulan band kelakar yang bernama Con-Damn The Corruptor. Ok ini bukannya ruangan untuk memperkenalkan diri diri tapi ruangan ni untuk berkongsi cerita tentang punk!. Mau berkenalan nanti kau boleh kontek aku di facebook atau whatsapp.

Ok aku sebenarnya bukannya seorang pakar layak untuk menceritakan apa benda yang dipanggil punk ni tapi aku akan cuba kongsikan sikit pengalaman aku sepanjang aku mengenali benda alah punk ni. Punk datang pada seseorang itu dalam banyak cara dan setiap orang itu ada pembawaannya tersendiri dan cara dia berfikir sebab punk ianya adalah idea dan bukannya sesuatu yang ada tertulis di dalam mana-mana kitab. Baik-buruknya punk itu bergantung pada kau. Aku pada asalnya cumalah seorang budak biasa yang selalu menjadi mangsa buli di mana-mana saja. Aku juga minat pada kumpulan band yang mengangkat imej belah tengah masa tu macam New Boyz, Boboi, Westlife dan macam macam lagi. Aku kenal benda punk ni daripada seorang kawan aku yang bernama Deden. kalau mau tau lebih lanjut pasal dia kau boleh sembang dengan aku di whatsapp atau facebook. Daripada dia aku mula baca zine dan juga dengar band band yang sudah semestinya kau tidak akan dengar di media mainstream pada masa itu dan waktu itu adalah sekitar 2003. Tapi walaupun begitu aku juga sangat meminati muzik metal dan band metal pertama yang aku kenal adalah Pantera!.

Masa berlalu pantas akhirnya kawan aku tu tadi pindah ke Penang untuk bersekolah di sana dan bila dia sudah tiada bermakna sudah tiada la punk dalam hidup ini. Tapi mungkin sudah jodoh aku dengan punk ni selepas kawan aku tu pindah, aku bertemu lagi dengan kawan yang lain dan berkongsi minat yang sama dan keadaan ini berlarutan sehinggalah hari ini. Dan apa yang kamu nampak pada aku hari ini adalah hasil tinggalan kawan aku 10 tahun dulu... tapi jangan ingat yang aku ni punk yang diprogram yang harus ikut begini dan begitu kerana aku mencorakkan punk mengikut acuan hidup aku sendiri. Dalam punk ni kau boleh pilih untuk mengambilnya secara serius, suka-suka, ataupun part time. Secara serius di sini bermaksud mengaplikasikannya di dalam kehidupan ko sehari-hari... suka-suka pula maksudnya cuma minat pada muziknya sahaja... manakala part time pula minatnya itu bermusim... bila nampak kawan aktif balik ber-punk dia pun sibuk mau ber-punk tapi bila kawan sudah hilang maka secara automatiknya dia pun hilang juga dan kembali ke kehidupan normalnya ataupun dia akan pergi ke budaya lain macam skins, metal, indie, hip hop dan banyak lagi dan golongan part time inilah yang orang sebut poser.  Bagi aku, poser ni adalah normal sebab ianya adalah salah satu proses pembelajaran hidup dan mencari jati diri. Tidak payah mau fuck diorang sangat sebab yang poser ni juga yang beli stuff-stuff band kau!. Dan kau harus ingat yang satu masa dulu pun kau juga pernah berada di tempat diorang. So tugas kau adalah membimbing budak-budak tu bukan mencerca diorang.

Dalam punk ni aku belajar banyak perkara ada yang baik dan ada yang buruk. Well, standard la kan budaya punk ni ciptaan manusia memang ada slack-nya. Tapi kau sebagai manusia mesti pandai menilai mana yang baik mana yang buruk. Dan melalui punk ni juga aku melihat dunia ini dari sudut yang berbeza. Aku belajar untuk tidak mendiskriminasikan kaum lain kerana aku juga pernah didiskriminasi oleh kawan-kawan aku dulu hanya kerana aku berlainan bangsa dari diorang dan menganggap bangsa diorang adalah bangsa yang standard!. Pergi mampus kau dengan pride kau tu tidak ingin aku punya kawan macam kau. Punk mengamalkan semangat equality atau kesamarataan. Dalam punk semua manusia itu sama tiada mulia tiada hina semua sama rata kerana samada kau hitam atau putih mahupun kelabu taik itik kau tetap seorang manusia yang dicipta oleh Tuhan dari nenek moyang kita nabi Adam dan isterinya Hawa melainkan kau bertuhankan charles darwin maka kau adalah dari golongan monyet!. Tapi monyet pun hidup bermasyarakat so apa sebabnya kau mesti hidup berpuak-puak?.

Punk mengajar aku supaya jangan percaya pada politik dan juga ahlinya sebab semua yang keluar daripadanya adalah palsu dan penuh dengan penipuan.  Percaya ka kau kalau kerajaan cakap diorang mau hapuskan kemiskinan di negara ni? Tidak! Aku tidak percaya sebab bila semua rakyat sudah kaya dan senang, rakyat sudah tidak perlukan lagi kerajaan dan tidak akan mengharapkan kerajaan lagi. Kerajaan cuma akan bagi “gula-gula” saja supaya kita akan terus berharap pada diorang. Lepas tu muncul lagi parti baru kononnya untuk membela nasib rakyat tapi 2x5 ja kehkehkeh!. Aku tidak pernah percaya pada politik dan ahlinya!.

Aku juga belajar untuk menjadi diri aku sendiri. Aku sebenarnya tidak berapa memikirkan sangat pasal fesyen punk ni walaupun itu juga adalah salah satu sebab aku tertarik pada budaya serpihan ni. Tapi setiap kali bila aku pakai dressing punk, ada satu perasaan yang muncul dalam diri aku iaitu KEYAKINAN! Aku rasa aku la yang paling hensem saat mengenakan battle jacket dan boot. Aku rasa inilah aku! Tapi bukan bermakna aku akan berpakaian begitu sehari-hari. Aku akan sesuaikan dengan keadaan juga sebagai contoh adalah tidak rasional untuk aku berdressing punk hanya untuk membeli garam dan kicap di kedai runcit cukup la sekadar berseluar pendek, baju band dan selipar jepun jangan dilupa wallet sekali sebab walau kau punk macamana pun, kalau kau tidak bawa duit kau tidak akan dapat membeli kicap dan garam itu. Aku hanya akan berdressing punk bila aku rasa aku mau saja.

Punk juga merupakan kasih sayang bak kata Pisschrist PUNK IS LOVE!. Kau ingat punk tu tiang lampu ka? Punk pun manusia juga macam kau ada perasaan ingin disayangi, menyayangi, geram, marah dan macam-macam lagi. Sebab tu wujudnya aktiviti macam food not bombs, buku jalanan, d.i.y workshop dan macam-macam lagi. Itu adalah satu tindakan yang menunjukkan yang punk peduli pada masyarakat sekeliling. Saat seseorang itu kelaparan tanpa makanan disebabkan kemiskinan, food not bomb muncul menghulurkan makanan. Saat orang itu kehausan ilmu akibat tidak mampu bersekolah, muncul buku jalanan. Saat orang itu mempunyai bakat tapi dia tidak tau apa yang boleh dilakukan pada bakatnya itu, muncullah d.i.y workshop untuk mengajar kemahiran pada yang memerlukan. Ilmu bukan untuk didagangkan, ilmu adalah hak setiap manusia dan makanan juga adalah hak setiap orang samada kau orang kadazan atau orang mexico bila kau lapar kau akan cari makanan dan bila kau ada rezeki yang lebih apa salahnya kau kongsi dengan orang yang memerlukan? Kalau kau kongsi, orang lain gembira kau pun dapat pahala insya-Allah rezeki kau akan bertambah. Ini pun mau aku ajar ka?.

Dalam punk ni aku dapat ramai kawan hampir seluruh dunia la senang cakap. Dari kawan sekampung, KK, Kedah, Johor, KL, Penang, Ipoh, Kuala Pilah, Norway, Sweden, Bulgaria, Beijing, Seoul, Tokyo semua la, aku dapat kenalan dari punk ni la. Aku yakin budak clubbing tidak ada kawan yang ramai macam aku. Kau pernah rasa ka berbual, lepak, minum kopi dengan line-up band yang power? Ataupun bergurau senda sambil ketawa guling guling dengan vokalis band yang kau minat? Dalam punk ja kau akan rasa benda-benda yang siok tu tanpa perlu ada VIP PASS apa lancau semua tu. Tidak perlu menang pertandingan untuk duduk di backstage bersama artis tu. Kau siap boleh beli stuff/material direct face to face dengan tuan punya band lagi tau. Dalam punk tiada jurang antara peminat dan band!. Yang ada cuma persahabatan yang saling menyokong yang membuatkan kau kuat menempuh hidup ni. Bila aku pergi gig atau acara yang bersangkutan dengan punk ni aku mesti jumpa kawan-kawan lama dan baru dan lama kelamaan aku rasa semua adalah family aku dan aku berada di dunia yang lain dan inilah yang membentuk komuniti. Mau join dengan budak punk ni tidak payah mau bayar yuran ahli ataupun menyerahkan keperawanan kau sebab punk bukan kumpulan gengster atau kumpulan terancang. Mau join budak punk cuma bawa diri, akal fikiran dan semestinya hormat itu adalah kuncinya. Paling penting jangan rasis sebab punk terima kau seadanya tanpa mengira latar belakang kau dan punk untuk semua.

Dalam punk juga aku juga belajar untuk menghormati pandangan orang lain dan tidak memperlekehkan orang lain. Sukahati kau la dengan kau punya ideologi asal kau tidak menyusahkan orang lain dan aku, teruskan saja tapi kalau apa yang kau buat tu salah aku kena tegur kau juga sebab aku berada dalam kategori jiran yang baik dan mengambil berat... bukan untuk aku tapi untuk diri kau sendiri juga.

Banyak lagi yang aku mau tulis sebenarnya ni tapi nanti kalau aku tulis panjang-panjang risau pula aku zine ni akan ter-split dengan tulisan abang Pian pula kehkehkeh aku cuma penulis jemputan ja dan aku berterima kasih pada abang Pian sudi jemput aku dalam zine dia ni. Kau pula lepas ni jangan asal nampak ja budak punk terus chop budak punk ni jahat siapa tau dia tu jaga solat dan selalu tolong mak dia di rumah jangan asal nampak orang berserban tu terus chop orang tu warak sedangkan pikor dragon ball tu selalu berserban pun tapi tidak pernah solat tau. Jaga diri hindari nyamuk aedes. Tiada aedes tiada denggi!.

Teks oleh Benny Pangazou [4 Februari 2016]
Emel: mohdaidil.pangazou.pulianabdul@gmail.com
Facebook: facebook.com/benny.pangazou
WhatsApp: 011-2535525

NOTA: Sepertimana disiarkan dalam BANGKIT! #1.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan