Khamis, 16 Mac 2017

Rebiu | DESECRATE A.D. / BABIRUSA – split


DESECRATE A.D. / BABIRUSA – split
DE/A.D Records
Kaset split 2-hala tanpa judul ini diriliskan secara rasmi pada 20 November 2016. Desecrate A.D. menghidangkan 3 buah lagu baru dirakam secara live di Sound Check Studio, Pandan Indah. Senarai lagunya adalah Violent Dissonance, Polymer dan Megalodon. Band asal Lembah Kelang yang dianggotai oleh Fariz Fury (vokal), Zul Lander (gitar), Muniff (bass) dan FJ ChaosThunder (dram) ini terus setia dengan konsep eksperimentasi mereka terhadap pelbagai genre dan sub-genre muzik keras dan berat; death/thrash metal sebagai akarumbinya, dikacuk dan diadun bersama elemen-elemen seperti hardcore/punk, blues/folk, sludge, alternative rock dan sebagainya. Jika mahu ditafsir atas satu definasi, muzik bawaan band ini boleh dikategorikan sebagai Progressive Metal. Hasil daripada rakaman live mungkin tidak dapat menyediakan kualiti yang begitu baik namun apa yang Desecrate A.D. hasilkan kedengaran begitu jujur dalam kementahan bunyinya. Seperkara yang dapat saya kesan, mereka semakin menampakkan inovasi dalam komposisi dan susunan muzik berbanding rilisan terdahulu, Rehearsal Demo 2014. Babirusa dari Malang, Indonesia menyediakan 3 buah lagu yang amat profesional dalam aspek pembikinan muzik dan rakamannya. Lagu-lagu mereka iaitu Shit Life!, Liturgi Penyesatan dan Setan Jalanan berada di bawah profil Hardcore Thrash Metal / Crossover. Band yang dibarisi oleh Fajar (vokal), Krisna (gitar), Ronny (bass) dan James (dram) ini mendapatkan inspirasi dari D.R.I, Municipal Waste, Cro-Mags, Anthrax dan seumpamanya. Alunan thrash / crossover Babirusa benar-benar menghiburkan; pantas, kemas, menerajang tanpa henti. Saya teruja untuk mengenali lebih lanjut tentang Babirusa dan mendengar lebih banyak lagu-lagu ciptaan mereka. Ayuh dapatkan split tape yang menyajikan irama metal pelbagai citarasa ini. Ianya berbaloi. Khabarnya juga tersedia dalam format CD. Segeralah perolehinya!
facebook.com/desecrateKL
facebook.com/babirusaxmlg

Rebiu | Crossing Oceans; A Transcontinental Hard Core Punk Madness!!



Crossing Oceans; A Transcontinental Hard Core Punk Madness!!
Youth Crime Recordings / Unified Resistance Records / Hit and Burn Records / DIS346 Records / Gravest Records
Split 4-hala ini dilengkapi oleh DEATH BY FUNGI (Bombay, India), SHARON STONED (Gombak, Malaysia), LAST DITCH EFFORT (Southern California, USA) dan WARTHOLE (Surakarta, Indonesia). Pada dasarnya produk ini merupakan rilisan terbaharu dari kem briged hardcore Sharon Stoned namun sejujurnya saya sedikit terkilan kerana 2 lagu dari mereka dalam CD ini adalah lagu-lagu yang pernah saya dengar dan terdapat dalam keluaran-keluaran mereka terdahulu. Pun demikian, saya percaya pemilihan lagu tersebut adalah seleksi terbaik mewakili kematangan Sharon Stoned pada hari ini. ‘Ait The Bait’ (yang mana pernah diperdengarkan melalui kompilasi Penentangan Berterusan) menunjukkan kemampuan terkini Sharon Stoned menggubah muzik hardcore lari-lompat-lari yang laju, kental dan terejal manakala ‘WTF Happened To You?’ membuktikan kreativiti mereka meng-hardcore-kan lagu asal The Offspring. Harapnya, pada rilisan-rilisan akan datang Sharon Stoned hadir dengan lagu-lagu rakaman baru. Split “Crossing Oceans” ini dibuka dengan dua lagu dari Death By Fungi. Muzik mereka garang. Hardcore yang padat dan sarat dengan kocokan-kocokan metalik kencang dan disulami bahagian-bahagian melodik yang penuh warna. Antara pengaruh pembentukan muzik Death By Fungi adalah seperti Propaghandi, Black Flag, Dillinger Escape Plan dan Slayer. Band ketiga, Last Ditch Effort yang ditubuhkan sekitar tahun 2003 turut menyumbangkan dua lagu dalam nuansa Hardcore Punk yang lazat dan memberansangkan dengan lirik-lirik yang bertemakan hal-hal politikal. Bahagian melodiknya cantik dan cukup sedap didengar. Warthole yang bertindak sebagai band penutup 4-way split ini menyajikan 3 buah lagu di mana lagu terakhir jauh berbeza sifatnya dan dianggap bonus untuk CD ini. Dua lagu pertama dari mereka adalah irama Hardcore yang kedengaran begitu padu dan berat, diterap elemen grind secukup rasa. Yang paling menarik, track ke-3 berjudul ‘Demi Nestapa Yang Bermekaran’ pada hemat saya merupakan sebuah track bunyian drone / noise ambient selama 7:45 minit. Track bonus ini seakan menjadi kegemaran saya dan sering diulang-main, impaknya meremangkan bulu roma. Pada keseluruhannya, produk split CD berdurasi keseluruhan 19:32 minit ini adalah usaha yang benar-benar baik. Sharon Stoned melebarkan namanya ke serata pelusuk dunia manakala nama-nama asing dalam scene hardcore/punk dari pelbagai penjuru benua diperkenalkan kepada pendengar-pendengar di sini. Artwork oleh Kecoa Jahat (dari Indonesia) juga begitu menawan serta booklet 12-mukasurat diperhalusi dengan kemas dan menarik. Saya sarankan kalian segera dapatkan rilisan ini.
facebook.com/deathbyfungi
facebook.com/xSharonStonedx
facebook.com/lastditcheffortpunk
facebook.com/wartholegrind

Rabu, 15 Mac 2017

Rebiu | BRONCO BUSTER / BANNI CONFLICT – Split Tape


BRONCO BUSTER / BANNI CONFLICT – Split Tape
Straineyes Productions
Kaset split Bronco Buster dan Banni Conflict ini diriliskan dalam tahun 2015, kalau tidak silap saya sekitar bulan April tahun tersebut. Ia adalah usaha salah seorang sahabat lama saya dalam scene iaitu saudara Mazmi Arshad, pemilik label Straineyes Productions. Bronco Buster dari Kuching, Sarawak mempertaruhkan 6 buah lagu kesemuanya di mana mengikut perkiraan saya lima buah lagu daripadanya dirakam eksklusif untuk rilisan split ini serta tambahan sebuah lagu bonus berjudul ‘Freedom’ daripada rakaman Single 2012. Menarik split ini kerana lagu-lagu Bronco Buster tiada terdapat dalam kaset “Collection 2010-2016” yang saya ulas sebelum ini. Garapan muzik Grindcore yang baik, bertenaga, padu dan sesetengahnya kedengaran punkish! Ya, grindpunk atau punk grindcore memang itulah identiti Bronco Buster. Banni Conflict dari São Paulo, Brazil tampil dengan 9 buah lagu di mana 7 lagu pertama diambil dari “Cidadão Comum” EP 2015 mereka manakala selebihnya 2 lagi merupakan lagu cover untuk band Agathocles dan Wormrot. Banni Conflict telah ujud semenjak 2005 dan mengikut catatan pada inlay kaset, ianya dianggotai oleh Will (dram), PHel (bass), Mane (gitar) dan Jander (vokal). Muzik mereka bergerak pantas, begitu oldschool dan banyak pengaruh dari Napalm Death, R.O.T, R.D.P serta Extreme Noise Terror. Grindcore mereka bertemakan kriminal dan permasalahan sosial. Cubalah dapatkan split tape ini, itupun seandainya masih ada beredar di pasaran. Hubungi: straineyes@gmail.com.
facebook.com/broncobustergrind
facebook.com/banniconflictgrind
straineyes.blogspot.com

Rebiu | BRONCO BUSTER – Collection 2010-2016


BRONCO BUSTER – Collection 2010-2016
DIS346 / Broncos Distro / Bebal Mailorder
Pita audio diskografi “Collection 2010-2016” dari band grindcore Bronco Buster ini mengandungi kesemuanya 27 buah lagu; dipetik dari dua rilisan terdahulu iaitu “Mind Corruption” EP 2012 (10 buah lagu) dan “Grind The Strait” EP 2014 (11 lagu termasuk cover band S.O.B.) serta tambahan 6 buah lagu lagi dari rakaman terbaharu pada tahun 2016. Jika diamati dengan teliti, kaset ini memperlihatkan bagaimana muzik Bronco Buster melalui proses evolusi, berkembang dan semakin dewasa dari satu rilisan ke satu rilisan hinggalah kepada lagu-lagu rakaman terkini. Itu apabila dilihat dari aspek komposisi lagu-lagu di mana arah dan halatujunya semakin lebih jelas namun secara rangkuman, Bronco Buster adalah grindcore di bawah pengaruh Napalm Death dan Terrorizer serta suntikan elemen hardcore punk yang cukup kuat. Band yang terdiri daripada Thomas (vokal), Hubert (gitar), Bryan Roki (gitar), Kris (bass) dan Max Biondi (dram) ini hakikatnya telah mula berada di laluan sebenar pengkaryaan mereka setelah berubah nama kepada Bronco Buster  pada tahun 2012, setelah apa yang kita ketahui sebahagian mereka bermula dengan nama Traitor sewaktu masih di bangku persekolahan (semenjak 2004). Ternyata, “Collection 2010-2016” merupakan satu rilisan yang sangat bagus dan besar faedahnya dikeluarkan oleh pihak label untuk band grind asal Kuching, Sarawak ini lebih-lebih lagi untuk mereka di luar sana (seperti saya) yang baru mula mengenali siapa gerangannya Bronco Buster. Ini band yang lahir bersamanya potensi dan kualiti. Hebat!
facebook.com/broncobustergrind
broncobustergrind.bandcamp.com
reverbnation.com/broncobuster

Selasa, 14 Mac 2017

Rebiu | V/A – KOMPILASI LANUN Vol I


V/A – KOMPILASI LANUN Vol I
BBPP Records
Aku suka dengan nama kompilasi ini, nama yang bunyinya macam kelakar tapi hakikatnya punya makna yang cukup besar. Kompilasi Lanun vol.I mengetengahkan 7 buah band; Terssalahh, Berantakan, No Security, Benzoate, Penyangak, Nightwolf dan Cendol’s Dead. Masing-masing tampil dengan 2 buah lagu kecuali Penyangak yang menyumbangkan 3 lagu menjadikan kesemuanya 15 lagu dalam rilisan berformat cd-r berdurasi keseluruhan 29:47 minit. Pada dasarnya, kompilasi ini merupakan himpunan sebahagian daripada band-band yang bernaung, bergerak (atau sekurang-kurangnya sering menyertai gig-gig yang dianjurkan) di bawah banner komuniti kolektif Bukit Bintang Pyrate Punx. Dalam CD ini korang boleh dengar dan layan pelbagai sub-genre dari akarumbi Hardcore Punk. Memang menarik dan seronoknya, ia beri peluang pada orang-orang macam aku menikmati lagu-lagu dari band yang aku belum dengar sebelum ini seperti Berantakan dan Penyangak. Untuk makluman, lagu-lagu yang dimuatkan adalah lagu-lagu terpilih dari rilisan-rilisan terdahulu band-band yang menyertai kompilasi ini. Pada pendapat aku, terdapat 2 kekurangan pada produksi kompilasi ini. Pertama, tahap volume lagu-lagu tidak sekata, ada yang menonjol dan ada yang terkebelakang akibat pengambilan material dari sumber band yang berbeza. Mungkin akan lebih baik jika ada usaha untuk proses pengserataan bunyi (equalize) untuk keselesaan pendengaran. Namun dari satu sudut pembikinan kompilasi ini nampak jujur dalam mengekalkan integriti sebenar band-band yang diketengahkan. Yang kedua, CD kompilasi seperti ini seharusnya perlu dilengkapi dengan booklet atau sekurang-kurangnya infosheet mengandungi informasi / biografi ringkas serta foto setiap band yang dimuatkan, termasuklah maklumat lagu-lagu dari mana asal ianya diambil. Itu pasti memberi nilai promosi yang lebih baik kepada setiap band dalam kompilasi ini. Apapun, Kompilasi Lanun tetap memiliki kekuatannya yang tersendiri dengan penampilan band-band yang ada kelebihan masing-masing, bersatu melontarkan suara-suara punk dalam cara dan gaya yang tersendiri.
facebook.com/bukitbintangpyratepunx

Rebiu | V/A – NGAUMAN SELATAN


V/A – NGAUMAN SELATAN
Muzikbox Production
Aku tidak pasti samada CD ini layak dipanggil kompilasi atau sebaliknya 5-way split CD kerana rilisan ini hanya menampilkan lima buah band di mana setiap band menyumbangkan sebuah lagu sahaja. Walaubagaimanapun, aku berpegang pada isytihar yang dibuat pihak label pengeluar bahawa ini adalah kompilasi. Bersesuaian dengan judul kompilasi dan tema utamanya (From Rock To Football), kesemua band datangnya dari selatan tanahair iaitu negeri Johor Darul Ta’zim. Masing-masing hadir dengan konsep muzik yang berbeza namun bersatu atas tujuan dan semangat yang serupa iaitu menunjukkan penghormatan serta sokongan kepada pasukan Kelab Bolasepak JDT. Dari sudut muzikal, band pembuka Zero One Heroes membawa irama Oi! / Street Rock, seterusnya Orkes Marhaen dengan alunan Reggae. Lagu ketiga adalah dari band yang tidak perlu diperkenalkan kerana mereka boleh dianggap legend dalam scene oldschool Hardcore Johor iaitu NET atau nama penuhnya Never Ending Threats. Band ke-4 adalah Explicit, unit Chaos Punk yang semakin meningkat naik. Band bergelar The Final Whistle menutup CD ini dengan muzik gaya indie / alternative rock mengikut pendengaran aku. Untuk makluman, band Zero One Heroes dan The Final Whistle menampilkan Pozy (Plague Of Happiness) di posisi dram. Ini sebuah kompilasi yang sangat bagus dalam aspek kualiti bunyi rakaman. Setiap band merakam di studio yang berbeza tetapi adunan akhir dilaksanakan oleh Bob Agigi (Damokis) di Rockin' Music Studio. Turut dibekalkan booklet 8 mukasurat berwarna dilengkapi pelbagai info ringkas tentang band dan rilisan ini. Durasi keseluruhan CD kompilasi Ngauman Selatan adalah 20:40 minit. Hubungi e-mel muzikbox@hotmail.com sekiranya berminat.
facebook.com/Ngauman-Selatan-319258365106171

Khamis, 9 Mac 2017

Rebiu | TUNARUNGU – Menongkah Arus


TUNARUNGU – Menongkah Arus
Independen
Trashnoiser adalah kenalan lama saya dan banyak juga membantu menyumbangkan penulisan untuk Bangkit! Fanzine. Beliau juga pengendali blog Noise From Hell. Pseudonim Trashnoiser asalnya adalah nama untuk projek lo-bit noise beliau yang telah lama terhenti. Kini Trashnoiser kembali dengan unit Harsh Noise terbaharu diberi nama Tunarungu. Sebagai pengenalan, Tunarungu merilis sebuah promo single berjudul Menongkah Arus pada awal Januari 2017. Track selama 8:52 minit ini bengis bunyi-bunyiannya; keras, berat dan seakan kejam tanpa belas! Kalian boleh dengar/muaturun di bandcamp Tunarungu dan nilaikan sendiri kebingitannya. Menurut Trashnoiser, single ini adalah introduksi kepada rilisan EP yang sedang diusahakan, dengan tema merangkumi kritikan politik dan sosial, amarah dan kebangkitan. Ini sebuah promo yang bagus. Kebisingan yang jahat!
tunarungu.bandcamp.com
facebook.com/trashnoiser

Rebiu | PANGGUNG CERITA – (Satu Cerita) EP2016


PANGGUNG CERITA – (Satu Cerita) EP2016
Panggung Cerita Artworks
Kumpulan muzik bernuansakan Folk Pop/Rock ini sebenarnya telah ujud semenjak 1994 lagi (menggunakan nama Penglipurlara) dan setelah sekian lama menyepi, mereka diaktifkan kembali dengan nama baru Panggung Cerita sekitar 2015. Tanpa berlengah, Panggung Cerita yang kini didokongi oleh Ary (bass), Asry (dram), Rostam (gitar) dan Ameer (vokal) serta dibantu oleh Azmer (kibod) dan Shafik (vokal latar/harmoni) mengeluarkan rilisan pertama mereka berupa EP2016 berjudul “Satu Cerita”, mengandungi lima buah lagu berdurasi keseluruhan 23:50 minit. Rakaman telah dijalankan di Frog Studio, Kg. Nakhoda di bawah kendalian saudara Azmer Shazly selaku jurutera bunyi dan adunan. EP ini direalisasikan dalam format CD bercetak, sampul berwarna dari kertas keras/tebal 260gm dan uniknya disisipkan dalam karung fabrik calico yang turut dicap logo Panggung Cerita. Difahamkan 4 lagu adalah karangan lama (dari era Penglipurlara) yang diolah semula dan diberi nafas baru manakala sebuah lagi (lagu Apa Khabar Tuan Puteri) merupakan karya terkini dari mereka. Seandainya saya diminta memberikan hanya satu perkataan untuk menyatakan pendapat tentang CD ini, maka akan saya katakan ianya adalah “NYAMAN”. Kesemua 5 lagu yang dimuatkan dalam rilisan EP ini begitu baik dan berkualiti tinggi garapan melodi dan susunan muziknya. Penyanyinya, Ameer Sohaimee memiliki tona vokal yang enak didengar, mendendangkan bait-bait puitis dari senikata yang ditulis dengan begitu berkesan. Pada saya, CD ini ibarat satu himpunan komposisi irama dan nyanyian yang dibikin halus, cukup-cukup indah dan penuh dengan penghayatan. Nikmatnya adalah satu atmosfera yang tenang serta melegakan. Ini udara segar yang begitu nyaman, hasil karya pemuzik-pemuzik matang dan berpengalaman. Ya, beberapa ahli pemuzik Panggung Cerita ini adalah bekas anggota kumpulan Happy Nightmare. Akhir kata, saya sarankan kalian selitkan EP dari Panggung Cerita ini dalam senarai panjang playlist Hardcore Punk dan Extreme Metal anda kerana ini benar-benar sesuai untuk mengisi tempoh senggang dan santai anda setelah kepenatan diasak bunyian muzik-muzik keras dan berat.
facebook.com/panggungcerita
instagram.com/panggungcerita
soundcloud.com/panggungcerita

Rabu, 8 Mac 2017

Rebiu | TIKAMxLARI – Demo 2016


TIKAMxLARI – Demo 2016
Independen
Laju! Begitu laju! Lagu-lagu singkat kurang daripada satu minit setiap lagu. Olahan riff gitar yang menarik, jeritan-jeritan suara garang serta pembelasahan dram yang mantap cukup mencuri perhatian. Ini irama Thrashcore kental dari 3 pemuzik muda dan berbakat dari Lahad Datu, menamakan diri mereka sebagai TIKAMxLARI. Demo 2016 ini mempertaruhkan 4 buah lagu, termasuk intro di mana durasi keseluruhan hanyalah 3:18 minit. Unit ini ditubuhkan pada 2014, dianggotai Mimin (gitar), WanxSejak (vokal) dan Epung (dram). Demo ini dirakam di 2 studio yang berbeza; dram di Faid Jamming Studio manakala gitar dan vokal serta proses adunan / suntingan akhir di RTRR Studio. Kualiti bunyi agak mentah namun itu sudah berbaloi untuk sebuah demo apatah lagi konsep mereka yang dilihat bingit dan pecah-kepala! Sekiranya anda menggemari muzik dari band-band seperti Sarjan Hassan, Arah Kiri, Jalan Sehala dan Makhlok Perosak umpamanya, anda pasti akan turut menyukai band TIKAMxLARI ini. Saya juga tertarik dengan ilustrasi (karya Mazwan15) yang menjadi penghias kulit luar sampul demo cd-r ini. Nota: Jika tiada aral, label kecil saya Blazt Promotion akan merilis semula demo ini untuk “Edisi Semenanjung”.
facebook.com/TIKAMxLARI-620096728105957

Jumaat, 3 Mac 2017

Notasi | AYAM HITAM – EP Collection 2016




Personal use only! Jangan dicari “EP Collection 2016” band Ayam Hitam ni di pasaran, memang takkan jumpa punya, haha! CD discography ni aku bikin sendiri senang nak dengar 3 EP dorang sekaligus dalam 1 CD. Sambil drive kereta, layan Ayam Hitam la beb. Nak buat camni, korang kena ada semua EP band punk sasau ni, huhu! Amacam, menarik tak? Saranan aku, dapatkan kesemua EP Ayam Hitam di: facebook.com/bandayamhitam

Catatan: Pyan Nathias // 03/03/2017 // 12:07pm