Jumaat, 8 September 2017

Rebiu | WARDOGS – Nuclear Disorder


WARDOGS – Nuclear Disorder
Broken Noise Records
CD ni dah lama rilis, sekitar tahun 2009. Cuma aku yang tertinggal dan baru perolehinya setahun dua lepas. Kira bernasib baik juga lah, haha!. Wardogs ni band dari Kota Tinggi, Johor ditubuhkan pada tahun 2005 dan line-up terdiri daripada Farhan (gitar), Faiz (bass), Fareezi (dram) serta Izraudin (vokal). “Nuclear Disorder” menghidangkan sebanyak 8 buah lagu. Tracklist: 1. Dis Distort Reality  / 2. A.N.A.D / 3. Bones Extractor / 4. A.W.O.P.V (Bloody Campaign) / 5. Schizoid Minded Workers / 6. Off To Die!!! / 7. Control Lovers / 8. Poisoning Party For The Peoples. Durasi keseluruhan 16:04 minit. Lagu-lagu dirakam pada 31 Disember 2008 di Hardsound Studio di bawah kendalian Helmi Hakamura. Muziknya, yeahh.. bising, kotor, keras, ekstrim dan paling melampau, boleh bikin telinga berdarah!. Jeritan-jeritan vokal setajam pisau yang menikam. Kejam!. Mereka ni main Raw Hardcore yang banyak pengaruh Jap-Noise Punk. Gaya ala-ala Confuse, Disclose, GISM, Disorder dan yang sepertinya. CD diselitkan dalam 7" syle hard jacket dan turut disertakan poster besar bersaiz A3 dicetak dibelakangnya lirik-lirik lagu dan info-info lain. Menarik design-nya, memang nampak fuckin’ raw lah!. Cuba contact Broken Noise Records kot-kot masih ada lagi CD ni dalam stok mereka.
facebook.com/brokennoiserec

Rebiu | ALL NIGHT TOTAL INTOXICATION – self-titled


ALL NIGHT TOTAL INTOXICATION – self-titled
Terr-Records
Almost unheard, low profile, deep in the underground. All Night Total Intoxication atau ringkasnya ANTI menurut pemerhatian aku satu nama yang agak “terselindung”, jarang-jarang kedengaran di sebalik kemeriahan scene hardcore punk masakini. Seolah-olah mereka bergerak jauh di bawah tanah, haha! Berdasarkan pencarian di facebook mereka, ANTI yang berpengkalan di ibukota Kuala Lumpur ditubuhkan sekitar tahun 2011/2012 dianggotai oleh Rico (vokal), Hanif (gitar), Mukhriz (gitar), Fabien (bass) dan Hanafi (dram). Mereka mengeluarkan kaset self-titled EP sekitar awal Disember 2016 terbitan label baru pada ketika itu, Terr-Records. Cassette-EP ini memuatkan lima buah lagu; 1. Young Terrorist, 2. Your Epic Soul, 3. Lifeless Gods, 4. Warlord, dan 5. What Doesn't Kill You, Makes You Stranger. Hasil pendengaran aku, ini band yang muziknya buat aku terperangkap di antara keasyikan Black Metal dan kegarangan D-beat/Crust Hardcore. Mereka nampak berjaya mengadunkan elemen d-beat, metal dan hardcore dengan begitu baik. Aku pernah tanya pada ANTI tentang halatuju muzik mereka di mana mereka jawab: “We defined ourselves as crust punk and bands that influenced us are mainly Fukpig and Anaal Nathrakh. It’s something like crust hc punk mixed with blackmetal”. Memang menarik lah!. Kaset ni aku pertimbangkan sebagai satu produk berkualiti yang mungkin ramai tak tau mengenainya; baik dari segi komposisi lagu mahupun kualiti sound. Apatah lagi rakaman dibantu Ardy dan Tom laguna studio. Memang padu!!! Ditambah pula dengan konsep packaging kreatif dan lain daripada yang lain oleh pihak label. Barangsiapa yang berminat dengan band-band seperti Mayhem, Anaal Nathrakh, Satyricon, Fukpig, Tragedy dan PisschrÏst, engkorang boleh cuba dapatkan EP ni dan kenali ANTI.
facebook.com/All.Night.Total.Intoxication
facebook.com/TerrRecords

Rebiu | EMERGED – Demo 2017


EMERGED – Demo 2017
Broken Noise Records
Unit hardcore punk asal selatan tanahair berjenama Emerged ini ditubuhkan oleh bekas anggota kumpulan Hellexist. Emerged dianggotai oleh Arif (dram), Man (bass), Ejal (gitar) dan Cileng (gitar/vokal). Kemunculan band ini dalam scene perlu diberi pemerhatian khusus kerana mereka menerusi rilisan Demo 2017 dilihat begitu menakjubkan. Kredibiliti Emerged dalam merealisasi satu bentuk muzik yang berkualiti tinggi sangat terpuji. Ini salah satu band yang lahir untuk mengangkat martabat gerakan muzik punk / hardcore tempatan ke satu tahap lebih ke atas. Demo 2017 keseluruhannya berdurasi lebih 21 minit, merangkumi 4 buah lagu yang bukan calang-calang buatannya, penuh dengan kuasa dan tenaga. Intro selama lebihkurang 4:50 minit digubah begitu cantik alirannya. Bagaikan satu penjelmaan dari sudut kelam, bernaungkan seram. Saya kira ini sebuah track pembukaan yang seakan membangkitkan jiwa. Tiga lagu seterusnya; Days Now Done, Emerged dan Sink,Drown adalah manifestasi nyata band ini dalam menghamburkan irama-irama hardcore gelap, crusty dan lengkap dengan melodik-melodik serta elemen atmosferik yang menggetarkan. Saya khayal dan hanyut dalam alunan irama susunan Emerged. Mutu rakaman dan produksi bunyi yang menurut pandangan saya bertaraf baik telah menyemarakkan lagi roh muzik Emerged. Untuk makluman, material demo ini dirakam di Studio 46 Pasir Gudang (pada Februari 2015 - Disember 2016) di bawah kejuruteraan Ajen. Bagi yang masih samar-samar tentang halatuju Emerged, nama-nama seperti Tragedy, From Ashes Rise, Fall Of Efrafa dan yang sebumbung dengannya adalah antara pengaruh pembentukan muzik Emerged. Awas! Band ini dikhabarkan bakal hadir lagi dengan rilisan susulan, dalam format 7” berjudul “Astray”. Tanpa ada rasa sangsi, anda wajib senaraikan Emerged dalam radar carian anda. Amat disyorkan!!
emergedpunk666.bandcamp.com
facebook.com/emergedfamily
instagram.com/emerged.family
facebook.com/brokennoiserec

Khamis, 7 September 2017

Rebiu | TOTAL SICK – Street Punk Army


TOTAL SICK – Street Punk Army
Independen
“Street Punk Army” merupakan rilisan EP sulung dari band asal Taiping, bergelar Total Sick. Ya, mereka boleh dilihat sebagai kesinambungan legasi Taiping Huru Hara Punks akan tetapi band Total Sick tidaklah sebagaimana Karatz jika itu yang kalian bayangkan. Lagu-lagu tersenarai dalam EP ini adalah Street Punk Army, Dirty Politics, Huru Hara Punks, Bangsat, Lawan Tetap Lawan (unreleased) dan Media Control (cover The Casualties). Dalam CD berdurasi 14:05 minit ini, lagu-lagu Total Sick boleh diumpamakan sebagai satu himpunan antem punk rock yang dikuasai semangat memberontak yang meluap, lantang memperlaungkan ketidakpuasan dan semestinya dalam tempo dan nada penuh kaotik, penuh amarah!. Selain The Casualties, band-band seperti The Varukers, The Exploited dan Total Chaos cukup kuat mempengaruhi nuansa muzik Total Sick, band yang turut mempertaruhkan konsep dua vokalis. Biarpun kualiti bunyi rakaman dalam rilisan ini tidak berada pada tahap yang terbaik, ianya tetap menarik dan dilihat bertepatan dengan terma dan tema “street punk” yang diperjuangkan.
facebook.com/totalsick69

Rebiu | STORY ENDS – Instinct


STORY ENDS – Instinct
Independen
Melodic / Pop punkrock dari Kota Kinabalu, Sabah ini amat mengasyikkan! Saya benar-benar sukakan perisa-perisa kerancakan, kemanisan dan keceriaan yang dicampur-gaulkan dengan sebati oleh Story Ends dalam EP “Instinct” bermuatan 4 buah lagu ini. Tiga lagu pertama; Punk Rock Party, Progresia dan Tonight, Tonight tanpa membuang banyak masa terus mengajak pendengar menyanyi dan menari bersama. Manakala track ke-4 iaitu versi akustika untuk lagu Progresia menyajikan satu kelainan, kreativiti yang berbeza untuk lagu tersebut. Band yang dianggotai Taufek (vokal/gitar), Alter (gitar), Rody (bass) dan Khai (dram) ini diperakui menghiburkan menerusi muzik mereka, tanpa mengetepikan estetika dan etika muzik punk; menghebahkan mesej-mesej positif melalui senikata lagu-lagu mereka. Bagi yang meminati band seperti Blink-182 terutamanya, saya kira tiada masalah untuk menghargai karya-karya berkualiti Story Ends selain nama-nama seperti The Ataris, New Found Glory dan Box Car Racer yang turut disebut-sebut sebagai sumber ilham mereka dalam menulis lagu. Jika kalian menggemari muzik melodik punk / poppunk yang dihasilkan dengan bagus, baik dari segi komposisi muzik mahupun produksi bunyi, segeralah dapatkan CD “Instinct” berdurasi 16:04 minit dari Story Ends ini. Ianya berbaloi dan memuaskan!
facebook.com/storyendsband
storyends.bandcamp.com

Rebiu | BROKENTAPES INCIDENT – EP-1


BROKENTAPES INCIDENT – EP-1
Independen
Sedap! Kalau saya merasa sesebuah rilisan itu menyelerakan dan selesa pada pendengaran, tanpa ragu-ragu saya berkeinginan tinggi untuk kongsi dan syorkan rilisan tersebut kepada anda semua. Secara jujurnya, saya bukanlah pendengar atau pengikut setia muzik grunge. Saya hanya menikmati grunge semasa zaman kegemilangan Nirvana dan beberapa band-band seangkatan dengannya. Sehinggakan saya pernah perform lagu “Smells Like Teen Spirit” bersama band kolej satu ketika dahulu sewaktu masih menuntut di UPM Serdang sekitar awal 90an. Grunge tempatan yang saya ada miliki beberapa buah album pun cuma Butterfingers. Berbalik kepada BrokenTapes Incident ini, apa yang mereka sampaikan adalah di luar daripada jangkaan saya (yang ketinggalan, haha!). Rilisan yang hanya digelar EP-1 ini pada saya tidak lagi terikat pada irama grunge “tradisional” sepertimana sangkaan saya. BrokenTapes Incident dilihat memiliki sesuatu yang jauh lebih segar menerusi rilisan CD berdurasi keseluruhan 19:12 minit ini. Banyak idea-idea progresif dan riff-riff inovatif diperkasakan dalam lagu-lagu ciptaan mereka. Band yang terdiri daripada Kidd (vokal), Iskandar (gitar utama), Chad (gitar ritma), Epunk (bass) dan G-bam (dram) ini boleh dikatakan bijak dalam membentuk komposisi dan susunan muzik yang baik untuk hasilkan aliran (flow) lagu yang menarik. Melodi yang memang sedap dilayan, bahagian-bahagian bertempo perlahan dan emosional seperti dapat dirasai, silih berganti dengan bahagian-bahagian rancak, keras dan agresif. Jadi, andaikata anda mencari “wadah terkini” muzik Grunge / Modern Rock, saya sarankan kalian mencuba BrokenTapes Incident. Band ini bukanlah baru dalam arena muzik tempatan. Mereka sebenarnya sudah lebih 10 tahun bermain dalam BrokenTapes Incident cuma baru sekarang berpeluang dan berkesempatan merilis usaha pertama mereka, EP berkandungan lima buah lagu ini. Saya berfikiran BrokenTapes Incident dalam tempoh 10 tahun itu lebih banyak mengkaji dan meneliti sebelum berani dan yakin untuk keluar dengan sesuatu yang berbeza, bukan sekadar biasa-biasa atau buat benda yang sama sahaja. Membanggakan!
facebook.com/BrokenTapesIncident

Rebiu | EXPURGATED – All We Hope Is Gone


EXPURGATED – All We Hope Is Gone
GLord Records
“All We Hope Is Gone” pada dasarnya tiada beza dari segi kandungan / turutan lagu samada pada format kaset ataupun versi CD. Cuma skim warna pada sampul kaset berwarna hijau manakala kotak CD pula merah. Sembilan buah lagu disediakan Expurgated dalam rilisan EP berdurasi hampir 19 minit ini; 1. Intro/Funeral Of Earth, 2. Man O War feat. Amad (Memorial), 3. Grip Of Death, 4. Collapsed, 5. Hass Einfallen, 6. False God, 7. Dying Soul (Demo 2015), 8. All We Hope Is Gone, dan 9. Genocide. Ganas dan buas! – inilah interpretasi awal saya ketika pertama kali memutar dan mendengar “All We Hope Is Gone”. Grindviolence ditafsirkan sebagai definasi tepat galasan Expurgated, ya saya bersetuju merujuk kepada kombinasi Grindcore / Fast Hardcore dan Powerviolence yang cukup mampat dalam muzik band ini. Struktur muzik Expurgated cukup-cukup berat dan padat. Berkepelbagaian olahan dan susunannya; merangkumi riff-riff laju menggerudi, diselangi kocokan-kocokan menghenjut dan adakalanya agak doomy / gloomy seiring bait-bait lirik yang dilontar keras dan penuh perasaan. Dengan tahap permainan yang begitu kemas dan ketat, lagu-lagu Expurgated secara langsung akan mengheret pendengar (atau penonton di persembahan live) berlari-lari liar, melompat dan head-banging seiring gelombang bingit bikinan mereka. Ditunjangi Epul (bass/vokal), Mirul (vokal), Apiq (dram) dan Pojie (gitar), ini band yang tidak boleh dipandang enteng kebolehan mereka. Potensi mereka begitu besar. Seorang rakan pernah memberitahu saya bahawa Expurgated adalah jawaban Malaysia kepada Full Of Hell. Saya tidak tahu, kerana sejujurnya saya tidak pernah mendengar lagu-lagu Full Of Hell, haha! Yang saya tahu, Expurgated itu sendiri seakan sudah ada “magik” tersendiri untuk memukau saya terus menikmati rilisan “All We Hope Is Gone” EP ini berulang-kali. Ianya ibarat gempa yang amat dahsyat!
facebook.com/ExpurgatedOfficial-788524647891364
facebook.com/glordrecords

Rebiu | M.C.B – Terrör Drönes


M.C.B – Terrör Drönes
Independen
Ini contoh sebuah band yang ada semangat tinggi, keinginan dan kesungguhan untuk menjadi lebih bagus serta lebih ke hadapan. “Terrör Drönes” menutup hampir kesemua kekurangan mereka dalam Promo 2016 terdahulu. Kali ini, sound yang jelas lebih besar, malah lebih tebal. Kemasukan pemain bass dalam line-up di mana kini dianggotai Achmad (gitar), Ben (vokal), Bondi (bass) dan Ritchie (dram) telah memberi impak yang cukup baik kepada M.C.B, menjadikan Crust Punk / Grind mainan band ini kedengaran lebih kuat dan menyerlah! Vokal ala-ala Max (old Sepultura) yang cuba diseragamkan dengan nuansa muzik M.C.B juga boleh dikatakan menjadi! “Terrör Drönes” memuatkan 11 buah lagu (durasi keseluruhan 18:25 minit) dan didapati beberapa lagu (dalam 2 atau 3 buah lagu) kedengaran totally D-Beat Raw Punk. Beberapa lagu terpilih dari Promo CD terdahulu turut dirakam semula dalam usaha memantapkan lagi kualiti dan disesuaikan dengan pembaharuan-pembaharuan yang dilaksanakan oleh band berpengkalan di Kuching, Sarawak ini. Rilisan ini sebenarnya adalah versi CD unofficial, dikeluarkan dalam kuantiti terhad untuk rakan-rakan rapat M.C.B, editor zine dan record label. “Terrör Drönes” akan dirilis secara rasmi dalam format Pro-Tape oleh Green Peace Distro pada waktu terdekat ini (dijadualkan selepas musim raya aidilfitri). Nantikannya, ia pasti menarik!
facebook.com/mcbcrust

Rebiu | NO SECURITY – Live at Libertad Fest Jakarta


NO SECURITY – Live at Libertad Fest Jakarta
BBPP Records
CD Audio ini adalah hasil rakaman langsung penampilan / persembahan live No Security di acara Libertad Fest Jakarta, 17-19 Januari 2017. Terdapat 9 buah lagu diselitkan dalam rilisan DIY ini berdurasi keseluruhan 17:21 minit. CD ini didahului dengan lagu Ace Of Spades, lagu cover band Motörhead. Enam lagu seterusnya adalah lagu-lagu original No Security: Pechah, Life, Hipokrit, Claim Yourself, Sympathy dan Drunk & Destroy. Dua lagu penutup juga cover iaitu Misery (Bastard cover) dan Awas Polisi (Krass Kepala cover, menampilkan Ama). Meskipun agak minimalis buatan CD ni, bagi aku ianya masih penting kepada No Security itu sendiri sebagai arkib atau dokumentasi perjalanan band mereka. CD ini bukti kukuh mereka turut pernah terlibat dalam Libertad Fest dan sudah tentu ini koleksi / simpanan bermakna buat penyokong-penyokong muzik No Security. Pada aku, CD ni layan beb. Natural sound yang bikin terasa aura live-nya. Korang tak dapat join Libertad Fest kan? Korang masih boleh sama-sama mabok dengan No Security menerusi CD ni. Akhir kata, mambang mabok minom brendi, haha! Sempoi!

Rebiu | PELIGROSOS – Brainwash


PELIGROSOS – Brainwash
Nervhous Records
Peligrosos mendefinasikan muzik bawaan mereka sebagai Thrash Metal Punk. Band yang ditubuhkan pada tahun 2009 di daerah Tawau, Sabah ini mendapat inspirasi dari Dum Dum Tak, Gerodok serta Armados selain dipengaruhi The Casualties, Bunga Hitam, Marjinal, Sarjan Hassan, Municiple Waste, Anthrax dan banyak lagi dalam pembentukan senimuzik ciptaan mereka. Sekitar penghujung April 2017 baru lalu, Peligrosos yang terdiri daripada Sepul (vokal / gitar), Ayen (gitar utama), Acap (bass) dan Keong (dram) telah mengeluarkan “Brainwash” Cassette-EP menerusi kerjasama Nervhous Records, menyenaraikan 4 buah lagu; Korupsi, Political Assault, Media So Sial!!! dan Demokrasi Pagar Besi. Selain daripada inisiatif yang baik dalam mengolah komposisi lagu-lagu mereka (merangkumi gubahan riff dan melodi), Peligrosos diperakui mempunyai keupayaan mengujudkan keseimbangan antara genera Hardcore Punk dan Thrash Metal. Lagu-lagu band ini dimainkan laju dan agresif pada kebanyakan tempat, catchy dan bermelodik pada masa-masa tertentu. Bahagian solo gitarnya begitu menyengat! Sesetengah pendapat mungkin meletakkan Peligrosos di bawah kategori Crossover di mana saya tiada masalah untuk bersetuju dengan tafsiran tersebut. Di sudut penulisan dan penyampaian lirik, Peligrosos agak garang dan lantang mempersoalkan sistem politik, media dan penyakit sosial. Vokal Sepul kedengaran memiliki tona yang tersendiri, agak unik pada pendengaran dan boleh dikatakan menepati unsur “crossover” dalam keseluruhan muzik Peligrosos itu sendiri. “Brainwash” telah dirakam di studio Setanggi Setang Records, Lahad Datu pada 5 Disember 2016 (di bawah kendalian saudara Munir). Produksi bunyi yang berada pada tahap agak baik, cuma masih ada ruang yang mungkin perlu diperbaiki kualitinya (pada masa akan datang) agar dapat menyerlahkan lagi kekuatan muzik Peligrosos. Secara keseluruhan, elemen kreativiti yang menarik dihasilkan Peligrosos adalah satu alasan kukuh untuk kalian tidak mengabaikan rilisan EP ini. Ini band yang ada di dalamnya potensi dan kewibawaan.