Sabtu, 6 Oktober 2018

Rebiu | DISTOPIA – Isu #2


DISTOPIA – Isu #2
40ms / A5 / Bahasa Melayu
“Menakjubkan!”. Saya katakannya begitu bukan kerana editornya seorang perawan jelita tetapi kerana Distopia itu sendiri. Ia memang sebuah zine yang benar-benar menakjubkan dalam keseluruhan kualiti; idea, penulisan, pengisian, rekabentuk dan susunatur, cetakan, segalanya!. Distopia berevolusi dengan pantas, membesar dan semakin dewasa, berdiri pada integriti, kredibiliti serta identitinya yang tersendiri. Saya semakin kagum dengan segala usaha Sarajevo Amira Maisara yang melakukan kerja keras dalam penerbitan Distopia, meletakkan zine ini pada tahap yang terbaik dan sempurna. Distopia #2 telah diterbitkan pada Ogos 2018, dilancarkan edarannya semasa Cyberjaya Zine & DIY Fest bertarikh 11 dan 12 Ogos 2018. Isu kali ini kian padat, disusun kemas dalam garapan layout yang menarik. Sebaik didahului Nota Editor dan coretan Blues Untuk Aku, halaman-halaman awal turut memuatkan 6-mukasurat penulisan Monolog, sambungan catatan Mei 2015 (terdahulu dari Isu Eksperimental); perkongsian selengkapnya pengalaman editor ini sendiri yang diberkas, dilokap dan disoalsiasat polis (ekoran menyertai himpunan anti-GST pada 1 Mei 2015). Empat artikel yang menjurus kepada perbincangan isu-isu sosial dan masyarakat perlu dibaca dengan teliti dan difahami intipatinya; “Jaminan Kecukupan dan Kuasa Makanan” (oleh Padi), “Kebersamaan Dalam Komuniti” (oleh Karim Abdullah), “Membebaskan Sang Melayu Terakhir” (Fadiah J.) dan “SDG’s idea Utopia selepas kegagalan projek MDG’s?” (oleh Sarajevo). Rencana-rencana ini sarat dengan isi. Dua sesi temubual diletakkan di bawah ruangan Fokus; bersama Ieda Mazlan (artis / aktivis seni) dan Cha.Koy (sebuah band berkonsepkan Mathrock). Selainnya, Distopia #2 turut dilengkapi ulasan filem di bawah kolum Seni & Budaya serta beberapa paparan lain. Untuk sebuah zine yang di dalamnya penuh dengan ilmu, mesej dan pengajaran-pengajaran yang boleh dimanfaatkan, zine Distopia ini amat-amat saya syorkan. Menakjubkan! Hubungi: zinedistopia@gmail.com.

Rebiu | seriGALA


seriGALA
72ms / A5 / Bahasa Melayu
Zine seriGALA ini terhasil dari gabungan tiga tenaga yang memiliki satu jiwa yang sama. Ketiga-tiga individu ini bukanlah asing dalam scene penulisan independen dan penerbitan zine do-it-yourself malahan mereka berpengalaman luas dan sudah cukup lama dalam bidang ini. Mereka yang dimaksudkan adalah Nizang (editor zine Mosh), Dhani Ahmad (editor Sebutir Bintang Merah) dan Bam Bear (zine Norifumi). Saya kurang pasti samada seriGALA ini penerbitan yang bersifat one-off ataupun akan ada siri-siri seterusnya kerana tidak pula dinyatakan bahawa yang ini adalah isu #1. Zine seriGALA terbit dari kesepakatan mereka bertiga mendokumentasi penulisan-penulisan di facebook dan blog dalam format zine; bahan bercetak di atas kertas yang akan kekal selama mana disimpan rapi di tangan. Nizang menghidang beberapa temuramah mini yang mengikut rancangannya tidak akan dimasukkan dalam zine Mosh. Kebanyakan perbualan ringkas berkonsepkan lima soalan dipetik dari blog beliau iaitu Sketch Your Brain, antaranya melibatkan band-band seperti In A Sense, Peligrosos, Republik Anak Timur, P-RM, Klabu Asap, Shizuka Ben Aman, Verminator, dan artikel Pelajar Autism. Dhani Ahmad juga menyajikan interbiu lima soalan bersama responden yang pelbagai latarbelakangnya; Amir Farid dan Khairul Azmin (geng pengayuh basikal), Lot Buku, Bang Man (punk rocker), Benz Ali (aktivis, penulis & penerbit buku), Adam Adli & Khalid Ismath (aktivis), Fahmi Reza (aktivis) serta band-band seperti Akajita dan Not Things!. Dhani turut menyediakan ruangan ulasan zine serta dua artikel menarik; “Kawalan Kebersihan Aras Tinggi” dan juga “Qu Puteh Sang Rebel”. Bam Bear yang cukup saya kenali menerusi ulasan-ulasan beliau terhadap produk-produk muzik band tempatan termasuklah zine dan buku turut mengabadikan penulisan-penulisan beliau yang selama ini hanya di facebook di dalam zine seriGALA. Gaya penulisan dan pendekatan ulasan Bam Bear cukup berbeza, unik dan tersendiri. Memang benar seriGALA ini zine baru namun sebaliknya kerjasama trio Nizang, Dhani dan Bam Bear telah menyuntik satu nilai yang cukup besar dalam kemunculan seriGALA itu sendiri. Saya begitu mengharapkan ini bukan yang pertama dan terakhir. Saya mahu ada isu kedua dan edisi-edisi seterusnya. Teruskanlah menulis meskipun sekadar di laman maya, simpan salinannya di dalam hard disk ataupun pendrive, dan tiba masanya satu hari nanti kembalilah ke meja rundingan berbincang tentang seriGALA #2. Untuk makluman pembaca, zine seriGALA yang saya ulas ini berharga RM8 senaskah, terbitan Karya Raya pada Jun 2018 dan diedarkan oleh Kidal. Segeralah dapatkannya!
facebook.com/karyarayapublishing
facebook.com/kolektifkidal

Jumaat, 5 Oktober 2018

Rebiu | ULTIMATE DARKNESS – Volume IV


ULTIMATE DARKNESS – Volume IV
108ms / A4 / Bahasa Inggeris
Jika sekiranya anda merasakan zine metal Deadhead adalah yang terunggul di negara ini, anda perlu melihat juga zine Ultimate Darkness dan menilai semula tanggapan anda selama ini. Ultimate Darkness tidak memerlukan penulisan-penulisan berbentuk negatif, provokasi dan mempergunakan media seperti ini untuk memburuk-burukkan satu pihak yang lain. Ultimate Darkness membawa sifat dan sikap sebenar sebuah fanzine metal tulen. Zine yang baik adalah zine yang menjadi perantara dalam komuniti muzik itu sendiri; melaungkan kekawanan, mempromosikan keakraban, menjunjung satu semangat yang sama – UNITY!. Ultimate Darkness yang dikendalikan dua bersaudara Ason dan Karl telah kembali menerusi isu ke-empat, keluaran Disember 2017 / Januari 2018. Ini zine yang cukup tebal, kuantiti pengisian yang begitu besar, dicetak profesional dengan kerja-kerja design & layout yang sangat kemas dan tersusun rapi. Anda perlu memperuntukkan masa selama berbulan-bulan untuk menghabiskan bacaan setiap teks yang terkandung di dalam Volume IV ini. Kalaulah anda fikirkan RM25 agak mahal untuk senaskah Ultimate Darkness #4, anda silap!. Ini zine yang dijamin akan mengembalikan kepuasan maksima yang anda mahukan terhadap nilai yang telah anda laburkan. Isu ini mengandungi sejumlah 45 buah temubual “eksklusif” bersama begitu banyak band-band penting dalam scene metal antaranya Frederick Melander (ex-Bathory), Possessed, Morbid, Tenali Jarva (ex-Sentenced / Impaled Nazarene), Grand Belial’s Key, Acheron, Abyssic Hate, Nocturnal Breed, Torturer dan banyak lagi kalau hendak disenaraikan kesemuanya. Ianya termasuk juga bersama band-band elit Asia antaranya Necrotic Chaos, Surrender Of Divinity, Athotorgh, Paganfire, Antacid, sekadar menyebut beberapa nama. Wawancara-wawancara ini diperbuat begitu terperinci, mengorek dalam sedalam-dalamnya, menyelongkar segala cerita yang mungkin selama ini tersimpan rahsia. Kepadatan Ultimate Darkness #4 disaratkan lagi dengan reviews section yang terpecah kepada dua; “Sepulchral Voice’ (produk-produk CD terkini) dan “Old Funeral” (rilisan-rilisan era 80an dan 90an). Selain itu terdapat juga artikel-artikel band, record label, laporan konsert dan sebagainya sepertimana yang sewajibnya ada dalam sebuah fanzine metal, bukannya ruang untuk meluahkan emosi, melepaskan dendam atau irihati pada satu pihak yang tidak bersependapat. Malaysia berbangga memiliki satu penerbitan zine metal bertaraf antarabangsa yang sehebat ini, Ultimate Darkness!

Rebiu | AWE METAL – Parodi Album Metal (edisi Inktober 2017)


AWE METAL – Parodi Album Metal (edisi Inktober 2017)
52ms / A5 / Bahasa Melayu
Cabaran Inktober (idea asal Jake Parker) telah menjadi fenomena di kalangan para pelukis dan kartunis seluruh dunia samada dari artis profesional mahupun amatur termasuklah mereka yang baru berjinak-jinak dengan bidang senilukis bahkan yang tiada langsung pengalaman melukis ingin juga turut serta menyahut cabaran ini. Inktober mengkehendaki setiap pelukis / kartunis menghasilkan satu karya menggunakan dakwat (ink) hitam pada setiap hari dalam bulan Oktober (setiap tahun) di mana ianya bermakna pada hari terakhir bulan tersebut akan terhasil 31 buah karya drawing / artwork. Jerry atau nama sebenarnya Rozairi Yahya sebelum ini pernah tampil dengan zine komik Acah-Acah telah dengan jayanya menyahut cabaran Inktober tahun 2017 yang lalu. Beliau memilih tema “Parodi Album Metal”, memparodikan frontcover rilisan-rilisan metal piliihannya. Sebagaimana kata Jerry, beliau bukannya bermaksud untuk ‘menyindir’, jauh sekali ‘menghina’ atau ‘menganjing’ tetapi sekadar memperlihatkan penghargaan Jerry terhadap album-album metal kegemarannya – dilihat dari sisi yang berbeza, lucu dan penuh usikan nakal. Jerry memparodikan banyak album-album metal, yang terkenal seperti Sodom “Agent Orange”, Darkthrone “Transilvanian Hunger”, Cromok “Image Of Purity”, Iron Maiden “Fear Of The Dark” sehinggalah ke rilisan-rilisan demo underground antaranya Ablasa “Maarijim Min Nar” dan Omen “Where Ravens Forever Fly”. Jerry memiliki satu bakat yang selama ini agak tersembunyi, stroke lukisan yang begitu tersendiri dan untuk lukisan-lukisan parodi Inktober 2017 ini penuh dengan idea-idea yang tak terjangka, nakal serta melucukan. Kesemua himpunan lukisan ini kemudiannya diterbitkan dalam satu format artzine DIY pada November 2017, dilengkapi dengan beberapa penambahan bahan lain termasuklah deskripsi yang memperjelaskan lagi inisiatif parodi yang beliau lakukan. Zine ini didatangkan dalam dua versi frontcover yang berbeza dan setiap versi pula berlainan juga mini poster percumanya. Jika anda seorang collector (pengumpul), anda pasti mahu mendapatkan kedua-duanya meskipun pada pengisian keseluruhannya adalah sama sahaja. Versi pertama menampilkan frontcover parodi kulit demo Rator “Evil Symphony” dan mini poster parodi Burzum “Filosofem” manakala versi kedua pula Nebiras “As The Sky Turns Black” bersama mini poster Darkthrone “Under A Funeral Moon”. Oh ya, sebelum terlupa dimaklumkan bahawa Awe Metal adalah watak utama dalam Acah-Acah Komik Zine selain Pojie Black, dua karakter yang melatari parodi-parodi album metal dalam zine ini. Semuanya menarik dan terbaik!
facebook.com/acahacahkomikzine

Rabu, 3 Oktober 2018

Notasi | Sajak-Sajak Rebel Anak-Anak Punk; ulasan KuZine


Zine; Sajak-Sajak Rebel Anak-Anak Punk.
Kandungan; Puisi & ilustrasi.
Terbitan; Bangkit! Fanzine.
Tahun terbit; Jun 2018.
Penulis; 26 penulis.
Pereka ilustrasi; 5 pereka ilustrasi.
Harga; RM8.

Zine yang mengandungi 46 buah puisi dan 8 buah ilustrasi ini adalah sebuah rakaman sejarah tentang suara-suara dari anak-anak Punk berkenaan isu-isu yang berputar di sekeliling mereka.

Tidak ada yang tidak disentuh mereka, bermula dari hal-hal kekuasaan (Mr Andalas, Adi Herman, Alip Moose, Nuar Cashaft, Petak Daud);

kepada isu-isu pemikiran masyarakat (Mr Andalas, Syima Azlan, Rien Sd, Kuntum, Fadzil Mohamad, Redo Gemok, M. Firdaus Kamaluddin, Kodi Amain, Sijasad Bersiong, Han, Amir Fadli, Petak Daud);

beralih kepada sikap-sikap ahli politik (Rien Sd, Acek Marhaen, Ayiefitri, Man Rabaxx, Fadzil Mohamad, Sijasad Bersiong, Sufian Mohamed Salleh, Amir Fadli);

berpindah semula kepada puisi-puisi yang merujuk semula kepada sikap diri sendiri (Khairul Kontradiksi, Ocha Vozvyshenny, Kodi Amain, Redo Gemok, Anak Sial, Sue Emoqwin, Man Dugong, Tinie Tebuan, Farisi Che, Amir Fadli);

dan akhirnya sebuah puisi cinta dari Mr Andalas.

Antara puisi pilihan kami di KuZine adalah;

1. Di Mana Anarkis Pada Usia 30-an, tulisan Sue Emoqwin; 
2. Mimpi, tulisan Man Dugong, dan; 
3. Erti Kekalahan, tulisan Mr Andalas.

Zine ini turut memuatkan 8 ilustrasi/lukisan daripada Fadzee Tussock, Roots Radicals, Ieda Mazlan, Harshziqr, dan Fahmi Reza.

Kata SO Husain, dalam kata pengantar untuk zine ini; "...suara-suara dari anak-anak muda yang dikumpul di dalam kompilasi ini jelas membuktikan sebaliknya. Nyata sekali ada antara mereka yang berkesedaran tinggi mengenai segala ragam kenanaran, kebobrokan, kebejatan, kebebalan, konflik dan polemik yang berlegar di sekitar mereka. Terbukti ada sebahagian anak muda, setidak-tidaknya seperti yang dipaparkan di sini, sangat sedar tentang posisi dan peranan intelektual, kultural, sosial dan politikal yang boleh dan perlu diambil dan dimainkan mereka demi mengubah paradigma masyarakat,"

Apabila membaca zine ini, dapat atau tidak kita pasti akan menghidu bau amarah, turut merasa kesakitan yang dilihat dan dihadapi oleh penulis-penulis. Hal-hal buruk yang dirasakan tidak tepat ditulis dengan lantang dan jujur. Tetapi kemudiannya, kita menjadi keliru pula, apabila membaca puisi-puisi yang turut mempersoalkan tempoh kelakuan yang dilakukan kita. Dan kekeliruan itu pastilah tidak lengkap pula apabila selesai membaca kumpulan puisi ini tanpa ada perasaan untuk melakukan sesuatu demi mengubahnya.

Tetapi, perlawanan pastilah hal-hal yang berterusan, dan tulisan-tulisan ini barangkali menjadi penyedar dan pengingat kepada penulis-penulis, masyarakat dan seluruh anggota manusia di masa akan datang untuk terus melakukan sesuatu.

Malah tulisan-tulisan ini, menjadi bukti bahawasanya di zaman dan era ini, pemikiran dan idea adalah ruang yang tidak terbatas. Kita semua berhak berfikir, dan kemudiannya kita juga berhak mengatur susunan perkataannya.

Puisi-puisi di dalam kumpulan ini juga adalah bukti, bahawasanya puisi mempunyai tugasnya sendiri. Salah satu darinya adalah, puisi harus menerangkan benar dan salah, menghuraikan mudah dan susah.

Untuk membeli zine ini, boleh terus menghubungi Pyan Nathias di Facebook, di facebook.com/bangkitzine, atau terus email ke sufianmohamedsalleh@gmail.com.

ulasan oleh KuZine;

Isnin, 1 Oktober 2018

BANGKIT! #10 dalam pembikinan!!


Hari ini hari pertama di bulan Oktober 2018. Saya kembali ke meja editor untuk mempersiapkan isu ke-sepuluh Bangkit! Fanzine. Saya menangguhkan sekejap kerja-kerja penulisan dan penerbitan Bangkit! #10 kerana agak “sibuk” dengan pengeluaran Edisi Eksklusif: Generacion Suicida in Malaysia serta keluaran 4 CD terbaharu Blazt Promotion. Bangkit! #10 akan menampilkan 10 interbiu keseluruhannya; P-RM, DESTROYING EARS, GERODOK, NATANG, 199X, S.A.M, BROKEN ARM, SPLIT TONGUE serta BAMM! ZINE manakala INFLUËNZIA (yang sudah diketengahkan dalam Generacion Suicida in Malaysia) akan disiarkan semula dalam layout yang berbeza serta lebih banyak foto. Harapnya semua kerja penulisan berbaki (ruangan ulasan cd / tape / zine terutamanya) dapat diselesaikan dengan lancar dan Bangkit! #10 boleh diterbitkan pada akhir Oktober ini.

Jumaat, 28 September 2018

Eksklusif / Terhad | GENERACION SUICIDA IN MALAYSIA


BANGKIT! FANZINE brings forth an Exclusive Edition: Generacion Suicida in Malaysia. This is in conjunction with their S.E.A Tour 2018 and Malaysia is part of their destination. The band will play in Kuala Lumpur, Penang and Batu Pahat by end of this September. This 24-pages issue contains an exclusive conversation with the band itself; GENERACION SUICIDA from Los Angeles, USA. Also in this issue you will find interviews with TIGER PUSSY (Philippines), DEMISOR (Singapore), INFLUËNZIA (Malaysia), MY OWN VOICE (Italy) and SUFFER THE PAIN (Sweden). Up The Punx!

PAY NO MORE THAN RM3


THIS ISSUE: BET003 ● EXCLUSIVE EDITION ● SEPT.2018

Rabu, 19 September 2018

Edisi Terhad TIGA TAHUN UP THE PUNX bakal diterbitkan!


NOVEMBER bakal tiba kurang lebih sebulan setengah sahaja lagi. November setiap tahun, Bangkit! Fanzine akan meraikan ulangtahun keujudan blog UP THE PUNX, sebuah blog yang saya mulakan pada November 2015. Itu blog yang mencetuskan idea pembikinan seterusnya menjadi media online rasmi kepada Bangkit! Fanzine itu sendiri. Jika sekiranya kalian terlepas pandang, isu tahun terdahulu menampilkan Brawk, Ajax Salaman dan sebagainya. Untuk tahun 2018 ini saya sudahpun bersedia (90% siap) untuk penerbitan edisi Eksklusif/Terhad TIGA TAHUN UP THE PUNX. Ia mungkin tidak membawa apa-apa makna buat kalian namun sebaliknya bagi saya secara peribadi, isu ini begitu istimewa. Ianya adalah sebuah perjuangan, kecintaan dan pengorbanan. Up The Punx!

Rabu, 12 September 2018

Notasi | KOLEKSI PERIBADI PSYCHOTIC ART ZINE


Warna-warni suka-duka kehidupan Allahyarham Amir Fadli diluahkannya sepenuh jiwa menerusi mahakarya Psychotic Art Zine. Terima kasih Amir tinggalkan ini semua. Cinta, kasih, semangat, perjuangan, pengorbanan, segala-galanya kau bekalkan menerusi setiap catatan, coretan dan lakaran yang ada dalam naskah-naskah berharga ni. Aku sayangkan kau Mir. Aku pasti akan rindu dan tertunggu-tunggu terbitnya isu baru Psychotic Art Zine. 

Nota: Ini adalah kesemua koleksi PAZ yang aku miliki setelah arwah kembali mengaktifkan artzine ini menerusi PAZ Book 1 (penjilidan artwork terpilih dari isu-isu awal) dikeluarkan pada November 2013. Aku ada 2 atau 3 isu terdahulu yang terbit dalam tempoh 1998/1999 sehingga tahun 2004 cuma terasa malas pula nak selongkar kotak-kotak yang ada di dalam stor. 

Pyan Nathias, 12 September 2018

Selasa, 4 September 2018

Notasi | AL-FATIHAH UNTUK AMIR FADLI

Pada 3 September 2018 sekitar jam 2:56 petang, aku memuat-naik satu posting di laman facebook milikku seperti berikut:


Allahu. Aku hilang kata-kata. Sampai hati kau tinggalkan aku Mir. Dah lama aku kenal kau Mir. Teringat aku banyaknya kenangan dengan kau zaman kita lepak Kodai Sopan Wisma Punca Emas. Kita jamming band projek Carnage. Encourage kau buat zine Psychotic Art. Macam-macam Mir. Even sampai sekarang kita masih berkolaborasi.. release split cd band kau Psychotic Sufferance, release projek noise kau Abhorstench, kau juga tak ketinggalan contribute tiga puisi dalam Sajak-Sajak Rebel Anak-Anak Punk. Persahabatan kita tak pernah putus since aku mula duduk Seremban 1995 dulu. Maaf Mir aku tak berkesempatan menjenguk kau di wad tempohari. Tapi kau tau Mir tiap kali aku lihat wajah kau dalam foto-foto yang disebar kawan-kawan, setiap itu juga aku panjatkan doa agar kau kembali berada dalam kesihatan yang baik. Aku tau kau sakit dan aku nak sangat kau sembuh. Aku nak kau pulang ke rumah, riang gembira bersama isteri & anak-anak kau Mir. Rindu kat kau Mir, last kita jumpa masa KLZF2017 lepas kan. Kau pergi juga ye Mir. Allah sayangkan kau kan Mir. Sedih aku Mir. Aku tak percaya kau dah takde. Allahuakbar. Ya Allah, Kau lindungilah sahabatku ini. Dia seorang yang sangat baik ya Allah. Rahmatilah dia dunia & akhirat. Mir... aku tak tau nak cakap apa dah.. aku benar-benar kehilangan kau Mir. Aku halalkan semua persahabatan kita selama ni, dan aku mohon kau juga halalkan juga semua yang ada dalam persahabatan kita. Tenang-tenang Mir kau di sana, satu hari nanti aku pasti menyusul. Aku harap kita ketemu lagi nanti di alam yang satu lagi. Sayang kau Mir. AL-FATIHAH untukmu sahabatku Amir Fadli bin Mohamad Zulkafli (15.02.1977 – 03.09.2018). – Pyan Nathias, 22 Zulhijjah 1439.


Berpisah hanya di alam nyata, persahabatan sentiasa kekal di hati. Terima kasih kawan. Foto dari blog yang pernah arwah Amir usahakan: psychoticartzine.blogspot.com.