Jumaat, 9 Jun 2017

BANGKIT! #5 dalam pembikinan!!


Sekadar perkongsian: Rekabentuk (draf akhir*) kulit luar BANGKIT! #5 didedahkan. Semuanya sudah siap; merangkumi interbiu, rencana, buletin dan sebagainya KECUALI bahagian rebiu yang masih semput & sangkut, huhu!! Tunggulah, lepas musim cuti raya aidilfitri (disasarkan rilis sekitar Julai 2017). BANGKIT! #6 pun dah ada terima setakat ni dua jawapan interbiu. Dalam pada itu BANGKIT! "keluaran khas Zine Fest" juga dalam pembikinan. Ini sahaja yang saya ada dan mampu buat untuk scene dan kawan-kawan.

Berkenaan BANGKIT! #5, isu kali ini menampilkan temubual bersama BAD IDEA sebagai coverstory / highlight. Di samping interbiu-interbiu bersama DERITAxTERUS, EMERGED, BROKENTAPES INCIDENT, HEGEMONI, PELIGROSOS, TOTAL SICK, STORY ENDS, DELUSI dan EXPURGATED. Dalam isu kelima ini juga akan ada artikel (di bawah kolum "Hardcore Punk, Solidariti dan Kebebasan") ditulis oleh Farisi Che (vokalis band Hegemoni) serta ulasan showcase Showdown In Borneoland oleh Adi Herman.

*draf akhir bermaksud boleh jadi ada perubahan pada saat akhir.

Pyan Nathias, 9 Jun 2017

Sabtu, 3 Jun 2017

Rebiu | MIRA MESLI feat POZY PLAGUE – Langkah 1555


MIRA MESLI feat POZY PLAGUE – Langkah 1555
One Triple Five Records

Ini sebuah projek Pop Punk yang baru lahir di selatan tanahair, Johor Bahru; menampilkan Mira (vokal, gitar & bass) dan Pozy (dram). Gabungan dua bakat ini telah menzahirkan sebuah album mini berjudul “Langkah 1555”, keluar dan beredar secara rasmi pada 15 Mei 2017. Mira atau nama sebenarnya Amira Shahira Mesli adalah artis / pemuzik indie dan finalis Mimpi Ke Bintang TV2 (2012) manakala Pozy bukan orang asing dalam scene muzik tempatan. Beliau antara pemain dram terbaik di negara ini, selain Plague Of Happiness turut dikenali peranan besarnya dalam Narsamum, Damokis, Eleventh Avenue dan banyak lagi.

EP “Langkah 1555” keluaran One Triple Five Records (label milik Pozy) mempertaruhkan 5 buah lagu, berdurasi keseluruhan 16:30 minit. Kesemuanya dinyanyikan dalam bahasa ibunda kecuali Don’t Wanna Lose You. Secara muzikal, projek ini menyajikan irama Pop Punk yang mesra pendengar (radio-friendly) dan menghiburkan. Mira Mesli tidak hanya memiliki tona vokal yang enak dan bersesuaian dengan nuansa muzik yang dimainkan, tetapi juga pemain gitar dan komposer yang baik. Gandingannya bersama Pozy Plague bijak mengolah melodi-melodi yang lembut manis, disulami kocokan-kocokan rancak yang penuh keceriaan, kaya juga dengan pelbagai riff yang menarik dan menangkap. Struktur dan susunan muziknya kreatif dan impresif. Lagu-lagu kegemaran saya dalam CD ini adalah dua yang terakhir; Langkah 1555 dan Anugerah.

Kualiti Studio46 sebagai sebuah studio rakaman profesional memang telahpun diperakui, dan itu memberikan banyak kelebihan serta kekuatan kepada album mini “Langkah 1555” dari segi produksi bunyi. Sedap, melekat. Anda di luar sana saya syorkan segera dapatkan rilisan ini. Nanti boleh sama-sama sing-along. Hidangan Mira Mesli feat Pozy Plague pasti akan memenuhi selera peminat-peminat Blink-182, Alkaline Trio dan yang seumpamanya. Kalau mahu, boleh cuba-cuba dengar dulu menerusi dua single mereka; Anugerah dan Setia (cari di YouTube). Jika berminat, terus hubungi 0108267471 / 0127554662.

facebook.com/onetriplefiverecords

Rabu, 24 Mei 2017

Rebiu | HEGEMONI – Korban Ketidakadilan Sosial


HEGEMONI – Korban Ketidakadilan Sosial
Kolektif Parti Dunia Ketiga
Hegemoni, band asal Terengganu hadir dengan rilisan berjudul “Korban Ketidakadilan Sosial” pada penghujung Januari 2017. CD ini memuatkan sejumlah 13 buah lagu, dirakam di Erylasia Studio oleh ‘komplot’ yang terdiri daripada Che (vokal), Mie (gitar utama / solo), Bean (gitar kedua / solo), Eman (gitar ritma / vokal latar), Amin (bass / vokal latar), Iwan (dram / vokal latar) dan John (dram kedua). Muzik Hegemoni diklasifikasikan Anarcho Punk. Jenisan punk rock yang senang diterima, mudah dihadam. Untuk perbandingan, muzik band ini ada persamaan dengan Marjinal, atau jika band tempatan, seperti Con-Damn The Corruptor. Sekadar gambaran. Bagi saya, Hegemoni ada kekuatan tersendiri. Seakan ada sesuatu yang diterapkan dalam membentuk identiti dan direksi sendiri. Saya benar-benar sukakan penulisan lirik-lirik lagu mereka yang mana menurut pendapat saya, kreatif dan unik. Lirik-lirik tulisan Hegemoni umpama satu pembentangan manisfesto yang panjang berjela, namun sarat dengan makna, bernas juga pada pengisiannya. Kualiti rakaman masih pada kadar yang baik, meskipun tidaklah yang terbaik. Kalian pendengar perlu mainkan CD ini dengan kuat untuk dapat merasai muzik Hegemoni itu hidup bernyawa, dan roh lirik-lirik yang mereka lagukan meresapi jiwa. Ini band yang berdiri teguh bersamanya filosofi dan ideologi; menjulang kebebasan bersuara, menegak kebenaran, menuntut keadilan. Lantang menolak sekeras-kerasnya semua sistem menindas dan pembodohan. Saya tidak pasti rilisan ini dikategorikan demo atau sebuah album penuh. Apapun, pemilikan CD berdurasi keseluruhan 61:02 minit ini sesuatu yang cukup-cukup berbaloi. Satu pakej yang turut diiringkan dengan helaian lirik dan informasi (bersaiz A3), helaian artikel (bersaiz A4), penampal (9cm x 9cm) dan pelekat (5cm x 5cm) percuma. Sambil-sambil menikmati “Korban Ketidakadilan Sosial”, baca juga dua artikel; Punk! Punk! Apa Adanya? serta Sedar, Bangkit, Lawan!. Kesemuanya ini, saya maksudkan CD, muzik, lirik, barang iringan malah institusi Hegemoni itu sendiri dalam satu pakej, adalah lengkap dan mantap.
facebook.com/hegemonikolektif
facebook.com/partiduniaketiga

Rebiu | BRAWK – Never Join The Army


BRAWK – Never Join The Army
Independen
Brawk telah pun meriliskan Demo 2017 mereka berjudul “Never Join The Army” pada akhir Mac lalu. CD dicetak profesional ini memuatkan 5 buah lagu, termasuklah saduran We Got The Beat lagu asal The Go-Go's. Promosi awal rilisan ini bermula sekitar Februari di mana Brawk melancarkan video lirik Friends By My Side, lagu pertama dalam demo ini [rujuk: youtu.be/QkCwgnoU5zI]. Band yang pada dasarnya berpaksikan Punk Rock / Crossover ini ditubuhkan oleh Asy (bekas vokalis The Splatters) dan disertai beberapa orang lama dalam scene; Roi (gitar), Man (bass) dan Emri (dram). Selain daripada semangat The Splatters diserap ke dalam jiwa Brawk, “Never Join The Army” cukup bijak mengambil inspirasi British Punk era 70an/80an, diadun bersama rentak Rock & Roll yang rancak menghiburkan serta diselit eksperimentasi bunyian metal dan free-jazz bagi menjelmakan udara segar dalam muzik mereka. Penglibatan pemuzik-pemuzik berpengalaman dari band, genre dan pengaruh yang berbeza dilihat sebagai satu kelebihan dan lebih banyak pilihan kepada Brawk dalam membentuk nuansa muzik gubahan band ini. Tiada sebarang komen untuk kualiti bunyi kerana ia memang pada tahap yang begitu baik. Ini rilisan demo yang dibikin mengikut piawaian album. Bayangkanlah, gigitan-gigitan solo gitar kedengaran cukup menyengat manakala petikan bass seakan melantun-lantun di gegendang telinga. Apa yang dapat disimpulkan, kesemua 5 lagu dalam Demo CD berdurasi keseluruhan hampir 15 minit ini tidak dicipta dan dirakam untuk kalian sekadar mendengar sahaja, ianya untuk kita turut serta riang gembira meraikannya; menyanyi dan berdansa bersama mereka. Brawk benar-benar rawk!! Rebiu ini diakhiri dengan kata-kata keramat: United we stand! We shall not be divided.

Sabtu, 20 Mei 2017

BANGKIT! FANZINE – Isu #4.5


BANGKIT! FANZINE isu #4.5 kini telah terbit dan mula beredar secara rasmi pada 20 Mei 2017. Ini sebuah lagi Keluaran Khas: Thrash Metal Buatan Malaysia atau dipanggil EDISI THRASH.MY. Ianya menampilkan interbiu bersama HEREAFTER yang telah kembali dengan album keempat “Insignia”, ANTACID yang baru mengeluarkan EP “Force of Thunder”, VERMINATOR yang berkeyakinan tinggi menerusi album debut “Fatal Devastation” dan wakil dari Sabah, TORMENTOR yang meledak dengan Cass.EP “Blasting Torment”. Turut dibawakan temubual bersama SARJAN HASSAN (penjana irama Thrashcore / Crossover yang tidak asing dalam scene punk dan metal), EXOTHERMIX (thrasher muda yang memiliki potensi besar) serta wakil Thrash Metal dari Sarawak, MILITANT ATTACK. Keluaran Bangkit! #4.5 ini menjadi lebih bermakna buat aku sendiri kerana berpeluang dan berkesempatan berbual-bicara bersama MIE FTG dalam ruangan Figura Thrash! – di mana bro Mie bercerita tentang kumpulan FTG, band-band beliau selainnya dan sudah tentu mengenai pengetahuan dan pengalamannya melalui zaman awal scene Thrash Metal di negara ini. Paparan-paparan lain adalah segmen Buletin Thrash Metal Malaysia termasuklah laporan khas dari CENTRAL DISPOSAL dan VAULT serta ekspos KREACION. Macam biasa ada juga ruangan rebiu CD & Tape, artikel dan lebih menarik dilengkapi komik Spirit DIY edisi Thrash! sumbangan kartunis independen Aku Napie.

Harga: RM7 senaskah (tidak termasuk kos pengeposan)
+ RM2 pos biasa
+ RM4 pos daftar
+ RM8 poslaju Semenanjung / RM12 poslaju Borneo

Pembayaran:
MAYBANK – 153010198114
SUFIAN MOHAMED SALLEH

hubungi:
facebook.com/piankvlt – Pyan Nathias (editor)
facebook.com/bangkitzine – Bangkit! Facebook
whatsapp 019-2597570












Nota: HARGA PUKAL ISTIMEWA untuk yang minat membantu pengedaran Bangkit! Fanzine – sila berhubung!

Jumaat, 19 Mei 2017

Rebiu | THRASHIT – Kaiser of Evil


THRASHIT – Kaiser of Evil
Witches Brew
Kredibiliti Thrashit sebagai sebuah penjana senimuzik Thrash Metal yang berkualiti dari negara kita memang tidak dapat dinafikan. Mereka telah mendapat perhatian luar, bermain di beberapa metalfest berprestij di Eropah dan ditawarkan merilis album debut “Kaiser of Evil” di bawah label dari Jerman. Rilis pada 26 Februari 2016, CD full-length pertama Thrashit ini cukup hebat! Ianya menyenaraikan 8 buah lagu; Pressure, Fallen War, Neckbanger, Son Of Bastard, Thrashing and Slaughter, 666 Days in Hell, Kaiser of Evil dan Thrashit. Saya kira unsur-unsur Teutonic Thrash 80’an yang pekat melekat dalam muzik Thrashit telah menarik minat Witches Brew untuk mengeluarkan album ini (malah baru-baru ini pula dalam format 10" Pic Disc LP). “Kaiser of Evil” memuatkan rakaman semula 4 buah lagu dari EP 2014 di mana lagu-lagu tersebut diberi nafas baru serta penambahbaikan. 4 lagu baru adalah ciptaan-ciptaan yang segar, berkarisma dan semakin menampakkan identiti Thrashshit. Kemasukan Beno (gitar) menyertai Jorn (vokal/gitar), Erulz (bass) dan Logan (dram) dilihat memberi impak besar kepada muzik Thrashit yang mana kedengaran jauh lebih agresif, semakin heavy, disuntik variasi riff-riff teknikal serta susunan muzik yang kian matang dan pelbagai. Beno sebagaimana yang kita ketahui sebelum ini bersama Reaper turut memuntahkan solo-solo gitar yang berbisa. Vokal Jorn pula bertambah keras, garang dan penuh dengan amarah. Tidak sekadar thrashing yang kompleks dan meluru, komposisi lagu-lagu Thrashit turut diseimbangkan dengan elemen straight-forward serta sedikit dos gelombang awal Black Metal dan idea Punk / Crust mewarnai lagi integriti Thrash Metal bikinan band ini. Kerja-kerja rakaman (termasuk mixing dan mastering oleh Daryl Ang) di Icon Music Studio, Puchong pada September – November 2015 menghasilkan produksi bunyi yang amat membanggakan. Saya sarankan anda segera dapatkan CD berdurasi 24:04 minit ini. Salinan saya: 626/700.

Rabu, 17 Mei 2017

Rebiu | CENTRAL DISPOSAL – self-titled


CENTRAL DISPOSAL – self-titled
Independen
Central Disposal yang ditubuhkan di Kelang sekitar pertengahan 2004 mula mengorak langkah menerusi sebuah promo yang dikeluarkan pada September 2012. Dianggotai oleh Roi (gitar), Azrul Ihnsahn (gitar), Jeff Disposal (vokal) dan Mad SD (dram), mereka sebenarnya pemuzik-pemuzik berpengalaman yang juga pernah / sedang terlibat dalam nama-nama besar seperti Sil Khannaz, Ephemeral dan Cafergot. Setelah melalui sesi rakaman dan adunan yang dijalankan di Hotsound Studio, Kuala Lumpur pada April 2010, Julai 2010 dan April 2011 di bawah kendalian A.Zahid serta proses mastering yang dilaksanakan di USA oleh Saff Mastering, Central Disposal mengeluarkan album penuh pertama mereka secara rasmi mula diedarkan pada 31 Mei 2014. Ianya menyenaraikan sejumlah 10 buah lagu (durasi keseluruhan 40:30 minit); Wall of Fear, Holocene Extinction, Thrash or Be Thrashed, Toxic Death, Thrashing Hour, Hostile World, Mindwars, Under Attack, Liege of Inveracity dan juga Deathrow. Apa yang disajikan oleh Central Disposal menerusi album self-titled ini adalah menakjubkan! Ini album yang benar-benar prolifik, profesional dan berkualiti tinggi dalam pelbagai aspek – komposisi lagu, penulisan lirik, imej dan identiti, produksi bunyi, segalanya! – ianya begitu fokus dan berada pada satu landasan tepat sepertimana kemahuan halatuju muzikal mereka. Nuansa lagu-lagu ciptaan Central Disposal sungguh rancak; dibina dari riff-riff yang kencang dan “menendang punggung”. Gitar, bass (dalam rakaman album ini dimainkan oleh Roi kecuali Under Attack oleh A.Ihnsahn) serta dram kedengaran begitu menyatu sebati dalam tempo-tempo pantas lagu-lagu band ini. Pada detik-detik tertentu disulami solo-solo gitar yang ligat menyengat. Central Disposal benar-benar berwibawa dalam membawakan irama Thrash Metal yang menggila dan cenderung ke arah Thrash ala-Amerika. Pendekatan suara dan nyanyian Jeff cukup serasi dengan muzik Central Disposal, format vokal yang amat menepati kriteria Bay Area / East Coast Thrash Metal. Central Disposal juga bijak menyuntik elemen-elemen crossover pada sesetengah lagu, terutamanya pada lagu yang berdurasi pendek seperti Thrashing Hour dan Mindwars. Memang menghiburkan, headbanging tanpa henti. Kemantapan kualiti bunyi turut menjadi kunci kekuatan menyeluruh album ini. Kalaulah Central Disposal lahir di negara Uncle Sam di zaman kegemilangan Bay Area Thrash dahulu, mereka boleh dikatakan sebaris dengan band-band seperti Anthrax, Nuclear Assault, Exodus, Sacred Reich, Vio-lence, D.R.I. dan seumpamanya malah pemilihan Central Disposal untuk beraksi bersama Municipal Waste di Kuala Lumpur beberapa tahun lalu adalah tepat dalam kategorinya. Lihat juga kepada bagaimana booklet rilisan ini dizahirkan. Kehadiran maskot Chunkie, rekabentuk dan susunaturnya, cetakan pada permukaan atas cakera – semuanya sangat oldschool dan segera mengimbas kegemilangan scene thrash 80’an. Central Disposal serius dan sangat komited dengan apa yang mereka lakukan. Saya menyimpulkan rilisan ini sebuah album malar-segar, tidak jemu didengari, penuh dengan jiwa, malah masih kerapkali diulang putar sehingga ke hari ini. Ianya sebuah mahakarya yang akan membuatkan pendengar sentiasa rindu dengan Central Disposal dan kepingin untuk mendengar karya-karya baharu mereka.

Selasa, 16 Mei 2017

Rebiu | MILITANT ATTACK – Attack, Kill & Thrash!


MILITANT ATTACK – Attack, Kill & Thrash!
Independen
Serangan-serangan Thrash yang begitu membunuh! Saya mengulang dengar tak terhitung entah berapa kali untuk terus menikmati kepuasan yang dihidangkan Militant Attack menerusi EP “Attack, Kill & Thrash!” ini. Percayalah, ini produk Thrash Metal tempatan yang sangat berkualiti dan cukup berbaloi untuk dimiliki seandainya kalian antara yang terlepas pandang mengenai rilisan ini sebelum ini. “Attack, Kill & Thrash!” dikeluarkan sekitar Oktober 2015, memuatkan 7 buah lagu kesemuanya, berdurasi 28:34 minit secara keseluruhan. 4 lagu pertama adalah lagu-lagu ciptaan baru (The Beginning, Thrash ‘till Death, Attack The System dan Design To Kill) direkod di Tsitra Studio sekitar Januari hingga September 2015 dengan bantuan Bernie Joel Geres untuk proses mixing dan mastering. 3 lagu seterusnya dianggap bonus kepada EP ini, lagu-lagu lama Militant Attack (Systematic Slaughter, Stupid Syndrome dan Violent Riot) yang terpilih dari rilisan-rilisan mereka terdahulu dirakam semula secara live di Bingitzone Studio (adunan oleh Joe). EP dimulai dengan intro The Beginning, sebuah instrumental 1:16 minit yang indah dan tenang, Militant Attack kemudiannya tanpa berlengah meletuskan huru-hara pada lagu-lagu seterusnya melalui riff-riff Thrash yang pantas dan keras, permainan-permainan yang buas pada masa yang sama dikendali kemas, kedengaran teknikal di beberapa tempat disulami bahagian-bahagian straight-forward yang tepat-ke-muka, petikan-petikan solo gitar yang tajam, bassline yang menonjol serta hentakan-hentakan padu dan meribut dari bahagian dram. Banyak lagi perkara-perkara menarik yang dilaksanakan oleh Militant Attack dalam EP ini terutama pada lagu-lagu bonus juga. Anda akan hanya tahu sekiranya rilisan berformat pro-CD ini ada di tangan anda. Militant Attack yang dioperasikan oleh Worm (vokal utama & gitar ritma), Junk (vokal latar & gitar utama), Kayvil (bass) dan Kevin (dram) perlu diawasi pergerakan mereka. Apa tidaknya, mereka telah membunuh saya berkali-kali menerusi kehebatan senjata Thrash Metal mereka.

Isnin, 15 Mei 2017

Rebiu | VAULT – Live in Osaka


VAULT – Live in Osaka
Basement Records
Live Tape ini dikeluarkan pada 27 September 2014, bersempena Cassette Store Day pada tahun tersebut jika tidak silap saya. “Live in Osaka” memuatkan 10 track yang dirakam secara langsung semasa Vault mengadakan persembahan di acara True Thrash Fest di Osaka, Jepun pada 19 Februari 2012 dan kemudiannya melalui proses mastering oleh Rex Killer (Antacid) di Metalforce Studio. Vault dalam rakaman ini dibarisi Fizan (vokal), A’it (gitar), Ayen (gitar), Sen (bass) dan Ebi (dram). Side One menampilkan Intro, Raging Force, Bastards, Black Leather Cult dan Ripping Noise Terror manakala Side Two menyenaraikan Victim of Pain, Fuck Off and Die!!!, Onslaught of Death, Heavy Metal Attack dan War Fucking War. Tape ini memperdengarkan bagaimana gempitanya Vault di atas pentas serta penerimaan / sambutan pihak luar terhadap sebuah band speed / thrash dari dari Malaysia. Tape “Live in Osaka” sudah tentu arkib terbaik untuk salah satu sejarah dalam perjalanan karier Vault dan ia juga memberi peluang kepada penyokong Vault menikmati apa yang mereka sampaikan di Negara Matahari Terbit tersebut meskipun sekadar format audio. Begitu terasa hangat dan aura live-nya. Personaliti menghiasi kulit kaset adalah Mikitoshi Matsuo (pemilik Rockstakk Records dan penganjur True Thrash Fest).

Rebiu | VAULT – War Fucking War


VAULT – War Fucking War
Basement Records
Izinkan saya dahului dengan pencerahan beberapa fakta mengenai rilisan Vault “War Fucking War” yang hendak diulas ini (Nota: maaf jika ada kesilapan, hanya berdasarkan sedikit kajian dan apa yang diketahui – editor). Fakta yang pertama mengenai produksi tape ini di mana salinan yang saya miliki adalah cetakan ketiga (3rd pressing) oleh Basement Records. Versi kaset paling awal untuk rilisan “War Fucking War” adalah keluaran bersama Hammerblow Records (sebuah label yang bertapak di Kajang) dan Basement Records pada 15 November 2012. Keluaran edisi pertama tersebut terhad 200 unit dengan artwork yang berbeza (ilustrasi yang agak simple) dan disediakan dalam 3 warna sampul yang berbeza iaitu biru, hijau dan kuning. “War Fucking War” sebenarnya terlebih dahulu (rujuk: versi asal) dikeluarkan dalam format 10" vinyl LP (blue transparent vinyl) terhad 105 salinan oleh Basement Records pada 16 Oktober 2012. Rilisan format 10" vinyl LP menampilkan artwork yang berlainan berbanding versi awal format tape. Berkaitan salinan ulangcetak ketiga versi kaset yang saya ulas ini, ianya rilis pada 30 Jun 2014, menggunakan artwork yang ditampilkan pada rilisan format 10" vinyl LP tadi. [Untuk makluman tambahan, Basement Records turut mengeluarkan repress kedua format vinyl iaitu 12" marble-green vinyl LP pada Julai 2014 menampilkan artwork yang baru]. Fakta yang kedua merujuk kepada kandungan rilisan “War Fucking War”. Jumlah dan senarai lagu tetap sama pada semua versi format / ulangcetak iaitu 12 track kesemuanya (berdurasi keseluruhan 41:40 minit). Kebanyakan tanggapan mengisytihar “War Fucking War” adalah kompilasi / koleksi semua lagu Vault dari rilisan "Raging Force" Demo 2006 (Final Punishment Records, Belanda) dan "Fuck Off and Die!!!" Demo 2009 (Dying Victims Productions, Jerman) serta ekstra dua lagu previously unreleased iaitu Victim of Pain dan War Fucking War. Hakikat sebenarnya pengeluaran “War Fucking War” adalah materialisasi rasmi 2 lagu tersebut, yang mana mengikut perancangan asal dicadangkan untuk projek split 7" bersama Appäratus (tidak dapat dikeluarkan kerana 2 lagu Vault tersebut melebihi had durasi format 7") disertakan Demo 2006 dan Demo 2009 sebagai bonus. [Penerangan ini turut dicetak pada inlay cover rilisan “War Fucking War” ini]. Ok, mengenai lagu-lagu Victim of Pain (3:24) dan War Fucking War (4:28), kedua-dua track ini direkod sekitar tahun 2008 dan ianya kesinambungan manifestasi oldschool Speed / Thrash metal bikinan Vault yang penuh dengan kelajuan, kemarahan serta tebalnya semangat punk / d-beat dalam garapan muziknya. Kualiti rakaman juga pada tahap yang baik dan menghasilkan bunyi “analog” yang jelas dan cemerlang. Ini rilisan yang sepatutnya ada dalam simpanan anda kerana ianya bukan kompilasi, tetapi rilisan official untuk 2 lagu yang tak dapat dimuatkan dalam split bersama Appäratus. [Untuk makluman, split tersebut direalisasikan dengan 2 lagu lain dari Vault iaitu Nuklear Inversion of the Black Kross (2:15) dan Ripping Noise Terror (2:54) dalam 7" vinyl EP berjudul “Metal-Mëister / Rå-Punk Kontrol!!” 2009, Basement Records].