CENTRAL DISPOSAL – self-titled
Independen
Central Disposal yang ditubuhkan di Kelang sekitar pertengahan 2004 mula mengorak langkah menerusi sebuah promo yang dikeluarkan pada September 2012. Dianggotai oleh Roi (gitar), Azrul Ihnsahn (gitar), Jeff Disposal (vokal) dan Mad SD (dram), mereka sebenarnya pemuzik-pemuzik berpengalaman yang juga pernah / sedang terlibat dalam nama-nama besar seperti Sil Khannaz, Ephemeral dan Cafergot. Setelah melalui sesi rakaman dan adunan yang dijalankan di Hotsound Studio, Kuala Lumpur pada April 2010, Julai 2010 dan April 2011 di bawah kendalian A.Zahid serta proses mastering yang dilaksanakan di USA oleh Saff Mastering, Central Disposal mengeluarkan album penuh pertama mereka secara rasmi mula diedarkan pada 31 Mei 2014. Ianya menyenaraikan sejumlah 10 buah lagu (durasi keseluruhan 40:30 minit); Wall of Fear, Holocene Extinction, Thrash or Be Thrashed, Toxic Death, Thrashing Hour, Hostile World, Mindwars, Under Attack, Liege of Inveracity dan juga Deathrow. Apa yang disajikan oleh Central Disposal menerusi album self-titled ini adalah menakjubkan! Ini album yang benar-benar prolifik, profesional dan berkualiti tinggi dalam pelbagai aspek – komposisi lagu, penulisan lirik, imej dan identiti, produksi bunyi, segalanya! – ianya begitu fokus dan berada pada satu landasan tepat sepertimana kemahuan halatuju muzikal mereka. Nuansa lagu-lagu ciptaan Central Disposal sungguh rancak; dibina dari riff-riff yang kencang dan “menendang punggung”. Gitar, bass (dalam rakaman album ini dimainkan oleh Roi kecuali Under Attack oleh A.Ihnsahn) serta dram kedengaran begitu menyatu sebati dalam tempo-tempo pantas lagu-lagu band ini. Pada detik-detik tertentu disulami solo-solo gitar yang ligat menyengat. Central Disposal benar-benar berwibawa dalam membawakan irama Thrash Metal yang menggila dan cenderung ke arah Thrash ala-Amerika. Pendekatan suara dan nyanyian Jeff cukup serasi dengan muzik Central Disposal, format vokal yang amat menepati kriteria Bay Area / East Coast Thrash Metal. Central Disposal juga bijak menyuntik elemen-elemen crossover pada sesetengah lagu, terutamanya pada lagu yang berdurasi pendek seperti Thrashing Hour dan Mindwars. Memang menghiburkan, headbanging tanpa henti. Kemantapan kualiti bunyi turut menjadi kunci kekuatan menyeluruh album ini. Kalaulah Central Disposal lahir di negara Uncle Sam di zaman kegemilangan Bay Area Thrash dahulu, mereka boleh dikatakan sebaris dengan band-band seperti Anthrax, Nuclear Assault, Exodus, Sacred Reich, Vio-lence, D.R.I. dan seumpamanya malah pemilihan Central Disposal untuk beraksi bersama Municipal Waste di Kuala Lumpur beberapa tahun lalu adalah tepat dalam kategorinya. Lihat juga kepada bagaimana booklet rilisan ini dizahirkan. Kehadiran maskot Chunkie, rekabentuk dan susunaturnya, cetakan pada permukaan atas cakera – semuanya sangat oldschool dan segera mengimbas kegemilangan scene thrash 80’an. Central Disposal serius dan sangat komited dengan apa yang mereka lakukan. Saya menyimpulkan rilisan ini sebuah album malar-segar, tidak jemu didengari, penuh dengan jiwa, malah masih kerapkali diulang putar sehingga ke hari ini. Ianya sebuah mahakarya yang akan membuatkan pendengar sentiasa rindu dengan Central Disposal dan kepingin untuk mendengar karya-karya baharu mereka.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan