TORMENTOR – Blasting Torment
Hellförced Records
Tormentor kembali berkarya dan buahtangan terbaharu mereka adalah sebuah rilisan EP dalam format pro-tape berjudul “Blasting Torment”. Saya tanpa ragu-ragu mempertimbangkan rilisan EP bermuatan 4 buah lagu ini satu susulan terbaik dari Tomentor terhadap demo terdahulu, “Thrash Assault” (2013). Tormentor yang kini bergerak secara 3-piece [hanya dibarisi oleh JayJay (bass/vokal), Unyil (gitar) dan Alen (dram)] tampak lebih dewasa menerusi EP 2017 “Blasting Torment” dan kian menghampiri halatuju serta identiti muzik Thrash Metal yang mereka kehendaki. Rakaman untuk EP 2017 ini berlangsung pada dua tarikh berbeza; Kelibat Bangsat (track no.1) dan Human Moron (track no.4) pada 9 Mac 2015 manakala Blasting Torment (track no.2) dan Hybrid Children (track no.3) pada 6 Februari 2016. Semua rakaman dan mastering dilakukan di BMT Studio, Penampang. Memang ada sedikit kelainan dari segi produksi bunyi dalam lagu-lagu yang dirakam pada fasa yang berasingan namun itu tidaklah memberi impak yang besar kepada kualiti menyeluruh EP ini. Secara rangkuman, 4 buah lagu ciptaan terbaharu Tormentor dalam “Blasting Torment” dimainkan begitu rancak, mengalir kencang dan penuh dengan keghairahan. Sesetengah bahagian diselitkan sedikit elemen melodik bagi mencetuskan variasi dalam komposisi lagu-lagu mereka. Anak-anak muda dari Tenom, Sabah ini amat berkuasa, bertenaga dan cukup merbahaya!. Lagu Hybrid Children paling menang, yang paling gila dan paling ribut. Saya anggap ia killer song dalam EP ini. Percubaan menggunakan bahasa ibunda dalam Kelibat Bangsat masih boleh dipuji namun saya kira vokal JayJay lebih cocok, lebih “jahat” dalam lagu-lagu berbahasa Inggeris. Kesimpulan saya untuk keseluruhan “Blasting Torment” berdurasi 18:01 minit ini, ianya adalah Thrash Metal sekolah-lama, diolah dengan niat untuk mendera menyeksa tengkuk leher anda.. tanpa henti, tanpa simpati!! Ini amat disyorkan!
Tiada ulasan:
Catat Ulasan