KREACION – Dying World
Independen
Ketika kebanyakan band-band Thrash tempatan mahu kembali kepada nuansa “old-school” dalam olahan muzik dan sound mereka, band Kreacion yang baru sahaja mengeluarkan rilisan pertama mereka “Dying World” EP 2017 mengambil langkah berani menerapkan nilai-nilai “modern” dalam muzik Thrash Metal binaan mereka. Malah band ini lebih selesa menggelar muzik mereka sebagai New Wave of Thrash Metal. Kreacion mungkin agak asing pada kebanyakan di kalangan kita. Saya sendiri sekadar mendengar nama mereka sahaja sekitar setahun dua ini di mana nama / logo Kreacion kerap tertera pada flyer-flyer gig tempatan. Biarpun boleh dikatakan masih baru, Kreacion bukan calang-calang keujudannya. Bakat mereka umpama pisau yang diasah semakin tajam dan EP “Dying World” itu sendiri begitu bagus produksinya. Ia permulaan yang baik dari Kreacion. EP ini kandungannya 4 buah lagu (berdurasi keseluruhan lebih 16 minit) yang begitu memberangsangkan, cukup garang dan mengalir kencang. Lagu pertama, The Path adalah sebuah intro yang mengasyikkan. Lagu seterusnya Our Awakening dan Dying World tanpa belas meledakkan irama Thrash Metal yang begitu padu, berat, lasak, disuntik pelbagai citarasa yang ke hadapan; rembatan-rembatan riff gitar penuh teknikal, groove-groove progresif, solo-solo memukau, hentakan-hentakan bass dan dram yang cukup jelas menghentam. Band-band American Thrash seperti Megadeth, Death Angel dan juga Havok sebagai contoh agak mempengaruhi struktur asas muzik Kreacion. Lagu terakhir, War of Dissidense masih sebuah lagu yang hebat cuma kedengaran sedikit berlainan, seakan ada elemen Trivium di dalamnya. Difahamkan ini lagu lama (lagu ciptaan pertama) semasa menggunakan nama Godslave yang kemudiannya digubah semula untuk disesuaikan dengan identiti Kreacion. Selain daripada permainan yang kemas dan ketat, satu lagi kelebihan yang ada dalam EP ini adalah pada produksi bunyinya yang sungguh menakjubkan. Bunyi yang terhasil cukup jelas, bersih dan padat. Untuk makluman, EP ini telah dirakam dan melalui proses mastering di Sound X Studio, Kajang. Ternyata dan telah terbukti bahawa kehadiran Kreacion memberi nafas baru kepada industri kecil Thrash Metal tempatan, mungkin satu-satunya pilihan untuk kita menghirup udara segar irama Thrash (dalam konteks scene tempatan) buat masa ini. Saya sarankan anda segera dapatkan CD “Dying World” EP ini kerana ianya sebuah rilisan yang memang terbaik kualitinya dari sebuah band muda yang berpotensi cukup besar. Hail Angkatan Besi Bersekutu.
facebook.com/kreacionband
Tiada ulasan:
Catat Ulasan