Rabu, 24 Mei 2017

Rebiu | HEGEMONI – Korban Ketidakadilan Sosial


HEGEMONI – Korban Ketidakadilan Sosial
Kolektif Parti Dunia Ketiga
Hegemoni, band asal Terengganu hadir dengan rilisan berjudul “Korban Ketidakadilan Sosial” pada penghujung Januari 2017. CD ini memuatkan sejumlah 13 buah lagu, dirakam di Erylasia Studio oleh ‘komplot’ yang terdiri daripada Che (vokal), Mie (gitar utama / solo), Bean (gitar kedua / solo), Eman (gitar ritma / vokal latar), Amin (bass / vokal latar), Iwan (dram / vokal latar) dan John (dram kedua). Muzik Hegemoni diklasifikasikan Anarcho Punk. Jenisan punk rock yang senang diterima, mudah dihadam. Untuk perbandingan, muzik band ini ada persamaan dengan Marjinal, atau jika band tempatan, seperti Con-Damn The Corruptor. Sekadar gambaran. Bagi saya, Hegemoni ada kekuatan tersendiri. Seakan ada sesuatu yang diterapkan dalam membentuk identiti dan direksi sendiri. Saya benar-benar sukakan penulisan lirik-lirik lagu mereka yang mana menurut pendapat saya, kreatif dan unik. Lirik-lirik tulisan Hegemoni umpama satu pembentangan manisfesto yang panjang berjela, namun sarat dengan makna, bernas juga pada pengisiannya. Kualiti rakaman masih pada kadar yang baik, meskipun tidaklah yang terbaik. Kalian pendengar perlu mainkan CD ini dengan kuat untuk dapat merasai muzik Hegemoni itu hidup bernyawa, dan roh lirik-lirik yang mereka lagukan meresapi jiwa. Ini band yang berdiri teguh bersamanya filosofi dan ideologi; menjulang kebebasan bersuara, menegak kebenaran, menuntut keadilan. Lantang menolak sekeras-kerasnya semua sistem menindas dan pembodohan. Saya tidak pasti rilisan ini dikategorikan demo atau sebuah album penuh. Apapun, pemilikan CD berdurasi keseluruhan 61:02 minit ini sesuatu yang cukup-cukup berbaloi. Satu pakej yang turut diiringkan dengan helaian lirik dan informasi (bersaiz A3), helaian artikel (bersaiz A4), penampal (9cm x 9cm) dan pelekat (5cm x 5cm) percuma. Sambil-sambil menikmati “Korban Ketidakadilan Sosial”, baca juga dua artikel; Punk! Punk! Apa Adanya? serta Sedar, Bangkit, Lawan!. Kesemuanya ini, saya maksudkan CD, muzik, lirik, barang iringan malah institusi Hegemoni itu sendiri dalam satu pakej, adalah lengkap dan mantap.
facebook.com/hegemonikolektif
facebook.com/partiduniaketiga

Tiada ulasan:

Catat Ulasan