CERITA DI SEBALIK KONTRIBUSI: Pada 15 Julai 2016, Ahmad Nizamuddin Abdullah a.k.a Nizang telah memuat-naik status MOSH ZINE sedang dalam pembikinan isu ke-18. Beliau bercadang untuk menemubual Johny Comes Lately dan menjemput para pembaca zine tersebut menyumbangkan soalan-soalan temubual yang dimaksudkan. Saya teruja mengetahui isu baru Mosh Zine akan dikeluarkan. Lanjutan dari idea Nizang, saya mengambil peluang mengemukakan tiga cadangan soalan bagi tujuan interbiu bersama JCL. Alhamdulillah, ianya terpilih. Terima kasih Nizang.
Muzik bawaan Johny Comes Lately mengingatkan saya kepada Plague Of Happiness. Persamaannya adalah Ska Punk. Boleh beritahu di mana letaknya kekuatan dan ketulenan Ska Punk bikinan Johny Comes Lately? Apa yang menariknya tentang muzik Ska Punk?
Aku rasa sangat rendah diri dan sangat berbangga bila orang relatekan kami dengan POH. Memang automatik kalau orang cakap pasal ska punk di Malaysia ni band pertama yang akan keluar ialah POH.
Apa yang mengagumkan aku mengenai mereka ialah betapa bertungkus-lumusnya POH berusaha untuk capai ke tahap yang mereka dah capai sekarang. Bayangkanlah, band aliran SKA PUNK boleh dapat highlight festival rock yang arguably paling besar kat Malaysia Rock The World. Takde mana-mana festival lain kot yang di luar negara yang ada band macamni closing. Semua ini berkat dari usaha mereka yang membawa etika DIY, “friendship”, PMA dan sebagainya dalam muzik mereka.
Walaubagaimanapun, aku rasa JCL ni ada kekuatan kami sendiri dari segi muzik. Aku pun taknak muzik kami ini dibayangi mana-mana band lain sebab kalau macam tu, baik tidak perlu berkarya sebab dah ada band lain dah buat benda yang sama. Aku rasa ‘Ke Mana Kita?’ sebenar-benarnya mendefinisikan apa kami ingin cuba tonjolkan iaitu cuba untuk menjadi band yang versatile. Ini bermakna kami boleh main lagu yang benar-benar keras dan laju disamping boleh main lagu yang santai dan catchy tanpa mempunyai perbezaan ketara diantara mereka dan masih boleh dikategorikan SKA PUNK. Mungkin ini kekuatan kami. Entahlah labuuuuuu...hahah.
Mencipta lagu-lagu berkonsepkan Ska Punk bukanlah mudah dan ianya mencabar kreativiti dengan adanya instrumen-instrumen tiupan. Bagaimana Johny Comes Lately meletakkan emosi dalam penciptaan sesebuah lagu; mengolah melodi, menyusun struktur dan sebagainya antara instrumen asas dan tiupan sehingga membolehkan satu-satu lagu itu teradun dengan baik dan memberi impak kepada pendengaran?
Aku rasa buat muzik tu memang susah, hahaha...Tiada genre pun yang senang. Macam yang aku cakap tadi, crowd/pendengar kita pendengar yang bijak dan punyai citarasa muzik yang sangat tinggi. Tambahan pula, bakat-bakat yang kita ada di Malaysia ni pula bukan calang-calang. Maka persaingan antara band-band kita pun secara tak langsung memangkinkan potensi kita untuk mencabar diri sendiri agar lari dari zon selamat dan hasilkan lagu-lagu yang sedap dan punyai karakter tersendiri.
Tak kisah apa instrument pun yang dipakai; trumpet ke, tabla ke, keroncong ke, kalau lagu tu memang sedap, memang impak dia sangat memberansangkan. Venopian Solitude perform guna kompang dan aku rasa band tu power gila. Hahah...
Formula JCL banyaknya kepada banyak mencari rujukan-rujukan baru untuk dimasukkan dalam lagu-lagu kami. Ahli band ni secara konsistennya mencabar satu sama lain untuk tidak menjadi terlalu repetitive atau ulangi formula-formula yang dah pakai pada lagu-lagu sebelumnya. Sebab tu aku rasa semua lagu-lagu dalam ‘Ke Mana Kita?’ ada karakter tersendiri.
Sekitar 2007/2008, Johny Comes Lately pernah menyertai sebuah gig “Tribute to Bob Marley”. Difahamkan itu gig yang paling kalian ingati dimana disitulah Johny Comes Lately mula mendapat perhatian dari peminat-peminat muzik ska. Kongsikan sedikit sesuatu yang anda pelajari dari gig tersebut? Siapakah Bob Marley dari kacamata anda?
Gig ‘Tribute to Bob Marley’ ni sebenarnya gig pertama JCL main. Sumpah kalau dengar balik rakaman video yang kami main tu, horns sumbang ke laut. Hahahahahaha... Tapi apa yang membuat kami sentiasa ingat di gig tersebut adalah kami pergi gig ni dan memang tak harapkan apa-apa respon pun daripada crowdpada hari itu sebab kami ni memang budak-budak mentah dan hanya datang untuk berseronok. Tapi bila perform, ramai yang mula datang dan tengok kami main. Lantas menjadikan antara show yang sentiasa kami ingat sampai bila-bila. Show ni pula membolehkan kami berkongsi pentas dengan band-band best macam Pure Vibracion, Aggrobeats, Carbon 4 Teen, The Garrison dan sebagainya yang membuat-kan aku jakun dan terlalu gembira. Antara kenangan manis yang tak dapat dilupakan bila Edy Gerhana Ska Cinta ajak kami borak-borak dengannya lepas show untuk berkongsi pengalaman dan memberi sedikit sebanyak tunjuk ajar buat band kami yang kecil ini.
facebook.com/johnycomeslately
johnycomeslately.bandcamp.com
reverbnation.com/johnygoska
twitter.com/jclmalaysia
instagram.com/johnycomeslately
youtube.com/johnycomeslately
NOTA: Kontribusi 3-soalan saya sepertimana di atas adalah sebahagian kecil daripada temubual penuh bersama JCL (kendalian Nizang, turut terdapat sumbangan soalan daripada beberapa rakan lain iaitu Aqmal dan Apis) telah disiarkan dalam MOSH ZINE #18 – mukasurat 16 hingga 25. Isu terbaharu Mosh tersebut rilis pada 24 Februari 2017 lalu di mana selain JCL (cover story) juga menampilkan interbiu bersama Cinta Si Penggali Kubur, Kah Kah Celaka, Rejected Kids, The Pilgrims, The Needles dan OOMK zine. Mosh #18 berketebalan lebih 100 mukasurat berharga RM15 senaskah. Hubungi facebook.com/nizang atau facebook.com/moshzine untuk dapatkannya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan